Sunday, September 6, 2009

KERUGIAN BAGI WANITA YANG MENOLAK PERKAHWINAN

Sepertimana yang diberitakan kepada kita oleh akhbar Berita Harian, hari ini terdapat segolongan wanita yang menolak perkahwinan. Antaranya memandang perkahwinan sebagai satu bebanan yang menyekat kebebasan. Bila berkahwin, kuasa mutlak dalam menentukan hidup berubah dan terpikul pula dengan kerja-kerja mengurus rumahtangga dan anak-anak. 

Justeru itu ramai yang lebih rela jadi andartu walaupun pada hakikatnya, ianya tidak dapat memberi kebahagiaan pada jiwa. Ada juga yang tidak berkahwin disebabkan terlalu memilih calon yang sekufu dan ada yang tidak sempat memikirkan perkahwinan kerana terlalu sibuk dengan tugas-tugas dan karier kerjanya. 

Sebelum ini saya ada memberi pandangan bagaimana hendak menyelesaikan masalah andartu. Kali ini saya akan dedahkan pula tentang kerugian wanita yang tidak mahu bekahwin; tetapi bukan kepada wanita yang tidak berkahwin kerana tiada jodoh. Kalau sudah tidak ada  jodoh, wanita tersebut tidak boleh dipersalahkan kerana sudah takdir menentukan demikian. Masalahnya sekarang, terdapat wanita yang ada peluang berkahwin tetapi menolak dengan alasan-alasan sepertimana yang saya sebutkan di atas tadi. 

Perkembangan tentang wanita yang tidak gemar berkahwin bukan sahaja berlaku di dalam masyarakat bukan Islam tetapi juga berlaku di kalangan masyarakat Islam. Sikap demikian bukan sahaja bertentangan dengan kehendak ajaran Islam yang menggalakkan perkahwinan  tetapi juga bertentangan dengan fitrah semulajadi manusia yang hidupnya memerlukan pasangan. Bahkan sunnatullah kejadian manusia, ada lelaki dan ada wanita yang saling memerlukan antara satu sama lain. Ibarat talian elektrik yang memerlukan positif dan  
negatif untuk melahirkan cahaya. 

Di Malaysia, walaupun terdapat di dalam masyarakat Islam sikap memilih hidup membujang tetapi tidak begitu berleluasa seperti di barat. Sungguh pun demikian pada pandangan Islam, orang yang tidak berkahwin dianggap jelek. Menyerupai para pendita Kristian. Golongan ini juga tidak akan mendapat kesempurnaan dalam agama dan mengalami kerugian di dunia dan di akhirat. 

Kejelekan tidak berkahwin khususnya bagi kaum wanita, adalah lebih banyak berbanding dengan lelaki. Kerana umumnya bagi kaum wanita, pintu syurga lebih banyak bermula dan berada di sekitar rumahtangga, suami dan anak-anak. bagi kaum wanita, untuk mendapat maqam salehah dan menjadi ahli syurga di akhirat adalah amat mudah. Ini adalah berdasarkan sabda Rasulullah s.a.w.

Sekiranya seorang wanita dapat melakukan empat perkara iaitu sembahyang lima waktu, puasa di bulan Ramadhan, menjaga maruah dan taat kepada suami maka masuklah syurga mana-mana yang ia kehendaki.” 

Sekiranya seorang wanita itu tidak berkahwin, ia tidak akan dapat mencapai kesempurnaan pada maqam yang keempat. Walau sehebat mana sekalipun ia bersembahyang, berpuasa dan menjaga maruah, wanita yang tidak berkahwin tidak akan mendapat kelebihan pada mentaati suami. Sedangkan kelebihan mentaati suami mengatasi segala-galanya bagi seorang wanita, sehinggakan redha Allah s.w.t. pun bergantung kepada redha suami. 

Selain daripada itu di antara kelebihan wanita yang berkahwin bahawa ia akan diberi pahala seperti pahala jihad fisabilillah di kala mengandung. Apabila ia menyusukan anak maka setiap titik air susu akan diberi satu kebajikan. Berjaga malam kerana mengurus anak akan diberi pahala seperti membebaskan 70 orang hamba. Wanita yang berpeluh kerana terkena bahang api ketika memasak untuk keluarganya akan dibebaskan daripada neraka. Bagi wanita yang mencuci pakaian suminya akan diberi 1000 pahala dan diampuni 2000 dosa. Lebih istimewa lagi ialah bagi wanita yang tinggal di rumah kerana mengurus anak-anak akan dapat tinggal bersama-sama Rasulullah s.a.w di syurga kelak. 

Bahkan wanita yang rela dijimak oleh suami juga akan mendapat pahala dan lebih hebat lagi bagi wanita yang mati kerana bersalin akan mendapat pahala seperti pahala syahid. Semua kelebihan-kelebihan ini tidak akan dapat diperolehi bagi wanita yang menolak perkahwinan. Malah di dunia akan selalu berada di dalam fitnah dan di akhirat menjadi golongan yang rugi. Oleh itu wanita dianjurkan berkahwin apabila telah menemui pasangan yang sekufu. Yang dimaksudkan sekufu yang utama ialah dari segi iman, walaupun lelaki tersebut telah berkahwin. Sabda Rasulullah s.a.w

Apabila datang kepada kamu lelaki yang beragama dan berakhlak maka kahwinlah dia, kalau tidak akan timbul fitnah dan kebinasaan." Para sahabat bertanya, “Bagaimana kalau ia telah berkahwin?” Jawab Baginda s.a.w, “Kahwinilah juga ia (diulang sebanyak tiga kali).” 

Begitulah besarnya pahala bagi wanita yang berkahwin. Tidak perlu bersusah-payah untuk keluar rumah seperti kaum lelaki atau berslogan seperti kebanyakan wanita hari ini. Hanya dengan duduk di rumah sebagai seorang isteri dan ibu sudah memperolehi banyak pahala. Kalau suami redha dengan perlakuan seorang isteri itu maka akan terus masuk syurga tanpa melalui kesukaran. Nikmat ini tidak akan dapat diperolehi oleh wanita yang menolak perkahwinan kerana dia telah menolak untuk menjadi calon wanita salehah yang berada dibawah naungan suami. 

Wednesday, September 2, 2009

Selamatkan Rumahtangga Dengan Hikmah Puasa


5FB53-squeeze

“Ya Allah, susah sangat ke nak picit ubat gigi ni elok-elok?” rengus si suami.

Geram melihat tiub ubat giginya penyek-penyek dipicit isteri. Dia memicit ubat gigi itu dengan tertib, dari bawah ke atas.

Kemas.

Si isteri pula memicit sesuka hati.

Setiap pagi kerja si suami ialah membetul dan mengemaskan tiub ubat giginya yang penyek di sana sini.

“Hishh, geramnya aku. Kau tak faham-faham ke? Aku ceraikan engkau talak satu!” sumpah si suami.

Bergegar arasy Allah Subhanahu wa Ta’aala!

BENCANA RUMAHTANGGA

Kisah di atas adalah di antara kisah paling pelik yang pernah diceritakan kepada saya tentang mudahnya pasangan hari ini memutuskan ikatan perkahwinan. Hanya kerana masalah ubat gigi, ikatan akad AKU TERIMA NIKAHNYA boleh terbubar begitu sahaja.

Baru berkahwin seminggu, atau sudah dua puluh tahun bersama, faktor masa itu juga sudah tiada makna.

Seminggu, sepatutnya masih hangat dengan bulan madu. Tetapi talak jatuh dengan begitu mudah.

Dua puluh tahun, sepatutnya sudah begitu saling serasi lagi memahami. Tetapi talak jatuh bagi semua itu tiada ertinya lagi.

Kehancuran institusi rumahtangga masyarakat kita semakin membimbangkan. Kita itu adalah kita yang Muslim. Melayu yang Muslim. Penceraian sudah menjadi kebiasaan. Daripada artis hingga kepada orang kebanyakan. Bercerai dan meruntuhkan masjid yang dibina, sudah menjadi perkara enteng bagai tidak punya sebarang harga dan makna.

Salah satu faktor terbesar yang menyumbang kepada kesengsaraan sosial ini ialah hilangnya daya kawalan diri.

Bacalah apa sahaja buku motivasi, ceramah yang hebat-hebat, tips yang bersusun tersenarai, segalanya hilang daripada pertimbangan apabila manusia hilang kawalan diri.

2259

ERTI GAGAH YANG SEBENAR

Renungkan pesanan Nabi sallallaahu ‘alayhi wa sallam:

syadid

“Bukanlah dikatakan gagah itu orang yang kuat bergusti. Akan tetapi yang dikatakan gagah itu orang yang dapat memiliki (mengawal) dirinya ketika marah” [Hadith Muttafaq ‘alayh]

Juara gusti gagal mempertahankan rumahtangganya jika gagahnya hanya pada menumpaskan musuh di gelanggang, tetapi tidak pada daya kawalan diri yang tinggi semasa baran menguasai emosi.

Seorang CEO tidak mampu menyelamatkan rumahtangganya yang hanya ada satu perempuan dan dua remaja, sedangkan dirinya begitu sukses mentadbir sebuah syarikat yang ada 500 orang pekerja. Segalanya gara-gara hilang kawalan diri.

Justeru itu, Sunnah Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam memperlihatkan bagaimana khutbah nikah dibina dengan tiga petikan ayat al-Quran yang setiap satunya menyentuh soal TAQWA.

Membina rumahtangga dengan TAQWA itu bukan retorik. Ia adalah sendi terpenting dalam menjaga kesejahteraan rumahtangga yang belayar dengan indah dan payah.

ERTI TAQWA

durijalanan

Seperti ungkapan dialog di antara Ubay bin Ka’ab dengan Umar al-Khattab radhiyallaahu ‘anhuma:

taqwa-hati-hati

Umar al-Khattab telah bertanya kepada Ubay bin Ka’ab radhiyallaahu ‘anhuma tentang TAQWA. Lalu Ubay menjawab (dengan bertanya soalan):,”Pernahkah engkau lalu di jalan yang banyak duri?” Umar menjawab, “Sudah tentu!” Ubay bertanya, “Justeru apa yang engkau lakukan?” Umar menjawab, “Aku akan mengangkat sedikit kainku dengan aku akan melangkah dengan berhati-hati.” Ubay berkata, “Itulah yang dimaksudkan dengan TAQWA”

Jelas sekali perumpamaan yang diberikan oleh Ubay kepada Umar.

Andaikata TAQWA itu diterjemahkan ke dalam konteks sebuah rumahtangga, ia seumpama daya melangkah dan memandu diri yang baik dalam menempuh segala onak dan duri serta liku-liku perjalanan sebuah rumahtangga. Melangkah dengan berhati-hati, yakni hasil suatu daya kawalan diri yang baik.

Kata seorang isteri, “saya benci dengan sikap abang yang mendiamkan diri. Kalau abang dah tak sudi dengan saya…!”

Berhenti!!!

Jangan dihabiskan ayat itu.

Belajarlah mengawal diri dengan baik. Jangan diikutkan perasaan yang sedang panas dan bergejolak itu. Jangan terlalu mudah meminta dilepaskan.

Namun jika hilang kawalan diri itu banyak berlaku di kalangan sang isteri, sekurang-kurangnya ada ruang untuk kita memahaminya. Mereka insan yang kaya perasaan. Emosinya bagai lautan. Justeru hilang pertimbangan itu memang mudah terjadi.

Mulut yang mudah meminta cerai itu, jangan suami tidak bersedia untuk mendepaninya.

SUAMI SAMA EMOSI?

Akan tetapi, bagaimana pula jika suami pun emosi sama? Terlalu mudah hilang pertimbangan, melenting, sama ada kerana tekanan hidup yang berat, atau ego yang menggunung. Sesungguhnya kejantanan seorang lelaki itu bukanlah keutamannya pada misai melintang, badan berbulu atau suara garau ala-ala Suhaimi Mior Hasan. Kejantanan besar seorang lelaki itu adalah pada kuatnya daya kawalan diri, dalam mengemudi kehidupan, khususnya dalam bahtera rumahtangga.

Berfikir panjang.

Bertenang.

Bertindak dengan pertimbangan rasional.

Bukan emosional.

RAMADHAN DENGAN HIKMAHNYA

2498

Besarlah khasiat Ramadhan dalam membantu kita menyelamatkan rumahtangga.

Rumahtangga yang sendinya adalah TAQWA, bukankah Ramadhan datang untuk itu?

“Wahai orang-orang yang beriman, puasa telah difardhukan ke atas kamu sebagaimana ia telah difardhukan ke atas umat sebelum kamu, mudah-mudahan (dengan puasa itu) kamu bertaqwa” [al-Baqarah 2: 183]

Apakah yang diajar oleh puasa, agar meningkat nilai taqwa?

Tidak makan kerana tiada makanan, itu bukan pelajaran.

Tidak minum kerana tiada minuman, itu bukan latihan.

Tetapi ketika kita ada segalanya untuk dimakan, namun kita memilih untuk tidak makan, kerana mentaati Allah, itulah latihan. Ia adalah latihan untuk berkata TIDAK kepada sesetengah kemahuan diri, supaya kita dapat tingkatkan daya kawalan diri!

Itulah Taqwa.

Kawalan diri untuk selamatkan rumahtangga, anak dan bini.

HAMBA KEPADA DIRI SENDIRI

Apabila seseorang itu tidak mampu untuk berkata TIDAK kepada sesetengah kemahuan dirinya, ia menjadi bencana yang amat membinasa. Renunglah firman Allah:

45_23“Apakah engkau tidak melihat gelagat orang yang menjadikan hawa nafsunya sebagai tuhan yang dipatuhinya, justeru dia disesatkan oleh Allah di atas ilmu, dan dimeteraikan pula atas pendengarannya dan hatinya, serta diadakan lapisan penutup atas penglihatannya? Maka siapakah lagi yang dapat memberi hidayah petunjuk kepadanya sesudah Allah (menjadikan Dia berkeadaan demikian)? Oleh itu, mengapa kamu (Wahai orang-orang yang ingkar) tidak ingat dan insaf?” [al-Jaathiyah 45: 23]

Bertuhankan tuhan yang palsu tidak perlu menyembah busut atau berhala.

Cukup dengan Allah berkata A dan nafsu mahukan B, lalu diutamakan nafsunya mengatasi perintah Allah, maka manusia ini telah mengangkat nafsunya sebagai tuhan! Siapakah golongan itu? Iaitulah golongan yang tidak mampu berkata TIDAK kepada kecenderungan dan permintaan hawa nafsunya sendiri.

Tidak mampu mengawal diri.

Dia menjadi hamba, kepada kepentingan dirinya sendiri, semata-mata.

Manusia sebegini, biar pun ilmunya banyak, ilmu itu menjadi lumpuh kerana segala-galanya bukan lagi atas keputusan ilmu tetapi di atas keputusan kemahuan diri yang tidak terkawal itu.

Profesor.

Ustaz.

Ahli pemikir.

Tumbang, apabila ilmu gagal melepaskan dirinya daripada dorongan kemahuan diri yang mengundang binasa.

Di sinilah datangnya hikmah Ramadhan.

Puasa dan segala pakejnya mengajar kita untuk mampu mengawal diri. Mampu berkata tidak kepada diri sendiri, tatkala apa yang dimahukan itu, mudharat dan bukan lagi manfaat!

TENANG DALAM PROVOKASI

akuberpuasa

“Bukanlah berpuasa itu sekadar menahan dari makan dan minum. Sesungguhnya puasa itu juga adalah menahan diri dari perkara yang sia-sia dan kotor (lucah). Jika kamu dimaki oleh seseorang atau diperbodohkannya, maka berkatalah: Sesungguhnya aku berpuasa” [riwayat Ibn Khuzaimah dan al-Hakim / Sahih al-Targhib 1068]

Secara khusus di bulan Ramadhan ini, andaikata kita terperangkap dalam satu situasi yang sangat mengajak kepada berasapnya kepala dengan kemarahan, tindakan yang diajar oleh Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam adalah melepaskan kejadian itu tanpa perlu membalas atau melawan.

Bukan mahu memangsakan diri.

Tetapi belajar untuk mengawal diri.

Teladan inilah seni terbesar dalam mengawal kelangsungan sebuah rumahtangga.

Jangan semua leteran mahu dibalas dengan leteran. Jangan semua cakap menghina mahu dibalas dengan penghinaan. Jangan semua tingkah laku yang menimbulkan kemarahan itu dibalas dengan kemarahan. Belajarlah mengawal diri, belajarlah untuk tidak melatah dan jangan bertindak mengikut rangsangan.

Semoga dengan hikmah Ramadhan, kuranglah pertengkaran. Kuranglah pergaduhan. Kuranglah penceraian.

Selamatkanlah rumahtangga, dengan hikmah Ramadhan dan Taqwa.

Kerana pulut santan binasa,
Kerana mulut badan binasa;
Kerana ribut badai melanda,
Tersalah sebut buruk akibatnya.

ABU SAIF @ www.saifulislam.com
68000 AMPANG