Friday, January 21, 2011

isteriku, apakah itu masih cinta?



Kata orang yang arif, “jadilah orang yang baik, nanti kebaikan akan datang kepada kita.” Segala kebaikan akan datang kepada kita seperti besi yang tertarik kepada magnet. Sebab itu sering diperkatakan orang, jika kita murah dengan senyuman, kita akan murah rezeki.

Lihat sahaja peniaga yang ramah mesra dan sentiasa tersenyum melayan pelanggan, kedainya akan sering dikunjungi, produknya akan laku, jualannya sentiasa laris.

Kita tidak perlu tahu mekanisme saintifik tentang aura atau gelombang elektromagnetik untuk memahami semua ini. Atau arif dengan tafsir seribu firman atau al hadis untuk mengamalkannya. Hanya jadilah orang yang baik dan berilah kebaikan. Insya-Allah, kita akan mendapat kebaikan. Allah itu Maha Baik, DIA tidak akan mengecewakan hamba-Nya yang baik. Setiap saat dan ketika tanya diri kita, apakah hari ini, ketika ini aku sedang menjadi atau sedang berusaha menjadi orang baik yang sentiasa ingin memberi kebaikan…

Tidak kira sejahat mana orang yang kita hadapi atau seburuk mana keadaan yang sedang kita alami, tetapi jangan sekali-kali korbankan ‘kebaikan’ diri kita. Biar kalah, tetapi jangan mengalah dengan kejahatan. Jangan ambil kejahatan menjadi ‘guru’ kita. Maksudnya, cubalah beri kebaikan walaupun sering dibalas dengan kejahatan. Tetapi sekiranya kita kecewa, dan mula membalas kejahatan itu dengan kejahatan yang sama atau yang melebihinya … takziah, kerana pada waktu itu kejahatan telah menjadi guru dalam kehidupan kita.

Dalam rumah tangga pun begitu juga. Jadilah pasangan yang baik. Insya-Allah kita akan menarik segala kebaikan untuk diri kita dan seluruh ahli keluarga. Baik tutur kata, manis senyuman dan mudah memberi kebaikan, itulah nanti akan menawan hati pasangan kita. Itulah hukum daya tarikan – law of attraction – yang kebelakangan ini kerap diperbincangkan dalam program latihan dan motivasi. Apakah yang dimaksudkan dengan law of attraction itu?

Pada diri manusia ada daya tarikan yang saling berhubung dengan daya tarikan manusia lain. Maksudnya, jika kita positif dan orang lain juga positif, maka kita akan mudah tertarik dan berhubung dengann harmoni. Pepatah lama mengatakan, burung yang sama bulu kepak dan warnanya akan terbang sekawan. Keceriaan kita akan menarik orang yang ceria untuk bersama kita. Keceriaan itu mudah ‘berjangkit’. Orang yang ceria sering dilingkungi oleh individu, situasi dan keadaan yang ceria juga.

Suasana yang semacam itulah yang akan membahagiakan cinta dalam rumah tangga. Bila kita ceria, fikiran, tindakan, perasaan dan kata-kata kita juga akan turut ceria. Percayakah anda kalau dikatakan untuk mudah belajar, bekerja dan melakukan apa jua aktiviti dengan lebih baik dan berkualiti maka keceriaan itulah yang menjadi syaratnya? Ada hormonendroomorphin yang akan dirembeskan dalam tubuh orang yang ceria. Hormon yang akan memberi rasa tenang, seronok dan gembira. Inilah yang ditegaskan oleh pakar-pakar NLP.

Sebaliknya, orang yang negatif – asyik marah-marah dan merungut, hormon kortisol pula yang akan akan dirembeskan. Hormon ini akan menurunkan darjah keceriaan dan individu itu akan menjadi pemurung, pemarah dan perungus. Orang yang asyik marah-marah, merungut, mengeluh dan membebel akan ‘meletihkan’ pasangannya Ingatlah tidak ada siapapun suka orang yang pemurung atau perampus.

Dia akan menghantar ‘gelombang’ yang negatif dan sebagai balasannya dia juga.akan menerima reaksi yang negatif. Hukum daya tarikan pun berlaku tetapi kali ini ke arah yang sebaliknya. Gelombang negatif ini akan menghakiskan rasa ceria dan gembira dan lambat laun akan turut meranapkan perasaan cinta. Ingat, cinta itu umpama pohon, jika tidak dibajai ia akan layu dan mungkin akan mati. Salah satu baja untuk cinta ialah memberi perasaan gembira kepada orang yang kita cintai.

Cinta tidak dapat diraih dengan ugutan dan ancaman. Ia soal hati yang memberi dan menerima dengan rela. Cinta tidak boleh dipaksa. Gelombang cinta bergerak dalam susunan rasa indah bagaikan satu simponi pada satu gubahan ‘muzik’ yang sinergi dan harmoni. Mainkan muzik cinta itu… ia akan datang dengan senyuman, sentuhan dan pandangan mata yang penuh indah dan berwarna-warni. Sungguh indah!

Bila suami hendak pulang ke rumah, sediakanlah set minda (mind set) yang betul sebelum masuk ke rumah lagi. Niatkan dalam hati ingin menceriakan hati isteri yang di rumah. Betapa besar sekalipun masalah kita di permusafiran atau di tempat kerja, leraikanlah dahulu. Jangan hanya memikirkan masalahnya sahaja yang besar, masalah isteri di rumah pun adakalanya lebih besar dan mencabar daripada masalah suami di luar rumah.

Begitu juga isteri di rumah, menjelang kepulangan suami, tenangkan hati, katakana kepada diri sendiri, “suami ku akan pulang. Aku akan menceriakan kepulangannya dengan memahami, simpati dan empati terhadap segala masalahnya.” Orang yang hanya merasakan bahawa masalahnya sahaja yang besar, peranannya sahaja yang penting dan bebannya sahaja yang berat… sebenarnya adalah orang yang ego.

Aneh sekali pengaturan Allah – kadangkala, cara menyelesaikan masalah kita ialah dengan menyelesaikan masalah orang lain. Kaedah meringankan beban sendiri ialah dengan berkongsi menanggung beban orang lain. Dan kerap kali doa kita akan dimakbulkan bila kita mendoakan orang lain. Jangan nafikan hakikat ini. Sebaliknya, praktikanlah. Lakukan kepada orang yang terhampir dengan kita, siapa lagi kalau bukan isteri atau suami kita?

Sayangnya, set minda yang betul kekadang tercalar oleh sikap curiga. Rasa hati yang simpati dan keinginan memahami dimusnahkan oleh prasangka. Bimbang kalau kebaikan kita dieksploitasi, ketulusan kita dimanupulasi, maka kita enggan menghantar gelombang yang positif. Syaitan mencelah dengan tiupan kata-kata, “ engkau ditipu. Kejujuranmu tidak akan dihargai. Apa gunanya menabur budi kalau nanti engkau akan dipersia?”

Ada juga yang tidak sabar untuk mendapat hasil atau balasan yang cepat. Mereka yang hanya menyiram tidak sampai semusim tetapi mengharap dapat memetik buah dengan segera. Lupakah kita bahawa membina mengambil masa, meruntuh sekelip mata? Kalau hari ini kita menanam benih, kita sirami dan bajainya… apa yang kita akan dapat pada hari esok? Ya, hanya benih yang basah. Bukan bunga, apatah lagi buah. Maka begitulah menanam pohon cinta, salah sekali kalau kita mengharap bunga atau buahnya akan terhasil dengan segera. Berilah masa, berilah peluang dan bukalah ruang untuk pasanganmu berubah.

Petanda minda yang positif dan betul banyak sekali. Cukup kalau di sini kalau dinyatakan hanya dua. Dua yang sangat penting. Sematkan dalam hati dan praktikkanlah dengan hati, lisan dan perbuatan. Pertama, orang yang positif akan dapat melihat sisi yang positif pada diri pasangannya. Who you are determine how you see – siapa diri kamu menentukan bagaimana kamu melihat. Ya, isteri yang positif akan dapat melihat ciri, sifat dan aksi positif pada diri suaminya dan begitulah juga sebaliknya.

Masakan tidak ada langsung sisi positif pada pasangan kita? Jika demikian, mengapa kita memilihnya sebagai pasangan hidup ketika bernikah dahulu? Jadi, cuba positifkan minda kita dahulu nescaya kita akan nampak kebaikan pada pasangan kita. Ya, keburukannya ada, tetapi kebaikannya juga ada. Jadi apa salahnya kalau kita tumpu, hargai, pupuk dan bajai kebaikan itu agar dapat bertahan dan meningkat?

Manusia suka dihargai, disokong dan dianggap wira. Lalu jadikanlah suami kita sebagai wira. Sokong impiannya, bantu cita-citanya dan pulihkan kekecewaannya. Jadikanlah isteri kita sabagai wirawati yang didorong cita-cita, impian dan harapannya. Ketika suami pulang dengan wajah lesu, bimbang dan gentar dengan tribulasi di tempat kerjanya, isteri di rumah tetap menjadi penyokong yang setia. Tidak mengapa jika tidak punya buah fikiran, cukup hanya dengan kata-kata belaian dan sokongan. Buktikan dengan bahawa tubuh mu, bahawa kau adalah benteng dalam hidupnya!

Isteri di rumah kekadang bukan mengharapkan layanan bagaikan ratu atau permaisuri tetapi cukup sekadar suaminya mendengar dengan penuh penghayatan dan memberi penghargaan yang sarat dengan kejujuran. Mata itu jendela hati, maka pandanglah wajah isteri dengan rasa sayang yang tidak berbelah bagi, insya-Allah, pandangan itu akan meresap ke dalam hati menjadi penawar yang sangat mujarab pada keletihan, kelesuan dan kejemuan memikul tugas yang sama sepanjang hari.

Kita hanya boleh memberi kebaikan jika kita menjadi orang yang baik. Jika kita tidak mampu lagi menghulurkan kebaikan, insaflah bahawa kualiti diri kita sebagai insan yang baik sudah boleh dipertikaikan. Walau apapun kesusahan atau beratnya penanggungan kita, itu bukan alasan untuk menggadaikan kualiti hati yang baik. Aku tertekan, aku mesti marah. Aku kecewa, aku mesti mengeluh. Aku letih, aku mesti merintih… Itulah suara-suara hati yang sudah terkena tipuan syaitan dan bujukan nafsu.

Yang kedua, orang yang positif akan fokus kepada penyelesaian bukan pemasalahan. Siapapun akan myudah nampak apa masalahnya, tetapi hanya orang yang positif akan nampak penyuelesaiannya. Orang yang positif akan ‘menyerang’ punca masalah bukan orang yang bermasalah. Maka begitulah isteri yang positif akan memberi penyelesaian kepada masalah-masalah rumah tangga atau masalah yang di hadapi oleh suaminya.

Ummu Salamah pernah memberi buah fikirannya kepada Rasulullah saw dalam menghadapi ‘rasa terkejut’ para sahabat baginda sehingga tidak melakukan apa yang diperintahkan oleh Rasulullah apabila mereka terhalang untuk mengerjakan haji ke Makkah hingga termetrainya perjanjian Hudaibiyah.

Begitu juga Ummu Sulaim yang menyembunyikan berita kematian anaknya demi memberikan kerehatan kepada suaminya yang baru pulang dari musafir sehingga dipuji serta didoakan oleh Rasulullah SAW? Mereka berdua itulah antara ribuan isteri solehah menjadi pemberi tenaga (energy giver) kepada suami dalam menghadapi ujian dalam kehidupan di dalam dan di luar rumah tangga.

Mereka sentiasa fokus kepada penyelesaian dengan mencari apakah jenisnya masalah itu, apa puncanya, apakah alternatif penyelesaiannya? Mereka berani menukar gaya berfikir dan mengubah gelombang perasaan untuk mendapat hasil yang berbeza. Justeru mereka faham jika kita tidak mengubah gaya berfikir dan berani menukar perasaan, masalah yang sama akan menjadi keluhan dan rintihan berulang-ulang tanpa kesudahan!

Bagaimana caranya untuk tetap positif walaupun mungkin reaksi pasangannya anda belum seperti yang diharapkan? Jawabnya, ada dua. Pertama, berilah alasan untuknya. Tidak kira samada alasan itu benar atau tidak tetapi andaikanlah alasan-alasan mengapa mereka berbuat demikian. Jika kita menghulur senyuman, tetapi disambut dengan masam muka… katakan mungkin mereka letih, sakit, tertekan atau sebagainya.

Sekalipun mungkin alasan itu tidak benar, tetapi sekurang-kurangnya kita tidak tersiksa memikirkan perkara-perkara yang negatif. Memikirkan yang negatif itu sahaja sudah satu penderitaan. Jadi ciptalah alasan-alasan untuk mereka dan semaikan sikap sangka baik sentiasa. Jangan kecewa dalam membuat kebaikan. Insya-Allah, Allah akan mengikut sangkaan para hamba-Nya.

Jika benar pasangan kita sudah curang, menipu dan jahat, maka kejahatan serta keburukan itu tidak akan menimpa kita. Sangka baik itu adalah peluang yang kita berikan untuk orang lain berubah dan jika mereka tetap tidak berubah seperti yang kita harapkan, itu tidak akan mengubah kita. Sangka baik itu adalah benteng yang akan menyelamatkan kita daripada penzaliman dan tipudaya orang lain.

Kedua, konsistenlah dalam berdoa. Doakan diri kita sendiri dan pasangan kita. Doa itu akan ‘menutralkan’ semula aura negatif yang menyelubungi dan memancar daripada diri kita. Bukankah dengan berdoa kita mengucapkan dan mengharapkan perkara yang baik-baik? Doa bukan sahaja memberi kesan positif dalam perhubungan kita dengan Allah tetapi jua perhubungan diri kita dengan diri kita sendiri. Kita akan selalu memberi ransangan yang positif kepada diri sendiri apabila kita berdoa.

Hukama ada berkata, terhalangnya kita daripada berdoa adalah lebih merbahaya daripada tidak makbulnya doa kita itu. Mengapa? Bila kita tidak berdoa, kita umpama insan negatif yang penuh racun atau ‘toxic’. Kata-kata kita racun, pemikiran kita racun dan perbuatan kita penuh racun. Racun itu bukan sahaja boleh memusnahkan orang lain tetapi ia juga akan memusnahkan diri kita sendiri.

Oleh itu, ayuh… berilah ransangan yang positif. Kuatkan kembali daya tarikan dalam cinta kita. Dan dalam menabur bibit kebaikan, jangan mengharapkan hasil yang segera, jangan dicemari racun prasangka dan paling penting jangan lupa untuk berdoa. Kembalikanlah daya tarikan dalam hubungan cinta. Bukankah simponi cinta itu indah? Tetapi jika tidak ada lagi keindahannya… tanyakanlah kepada diri kita, suami atau isteri kita… apakah itu masih cinta?

Wednesday, December 1, 2010

Tonggak Rumahtangga Bahagia


Allah swt berfirman :


"Dan di antara tanda-tanda kekuasaanNya ialah Dia menciptakan untukmu isteri-isteri dari jenismu sendiri, supaya kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya, dan dijadikanNya di antaramu rasa cinta dan kasih sayang. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda bagi kaum yang berfikir." (QS Ar Rum: 21)


PERKAHWINAN BUKTI KEAGUNGAN ALLAH Ayat ini sebenarnya sebahagian dari cerita tentang tanda-tanda keagungan Allah swt dan kekuasaanNya di mana semua yang ada di langit dan di bumi dan segala yang berlaku adalah datang dariNya.


Ini juga termasuk diciptakannya manusia berpasang-pasangan yang dengannya berlaku kelangsungan hidup seperti yang disebutkan pada ayat di atas.Oleh kerana itu, hakikat perkahwinan dan rumahtangga bagi Allah swt adalah ikatan yang sangat agung kerana dengannyalah akan terserlah keagunganNya.


Sebaliknya, ketika manusia hidup di alam perzinaan, yang ternampak hanyalah sifat kebinatangan.

Bila sifat kebinatangan yang menonjol dalam hidup manusia, kerosakan pasti akan bermaharajalela. Paling tidak yang pertama sekali akan hancur adalah sifat kemanusiaan.


Manusia tidak lagi peduli dengan rumahtangga. Bila rumah tangga hancur, garis nasab akan hilang. Lama kelamaan manusia tidak tahu lagi siapa sebenarnya yang ia gauli. Tidak mustahil suatu ketika (bahkan ini sudah banyak berlaku), akan lahir seorang anak dari hubungan ayah dengan anaknya, atau hubungan ibu dengan anaknya, atau hubungan antara saudara seayah dan sebagainya.


Oleh kerana itu dalam ayat di atas, Allah swt menjadikan hakikat berpasang-pasangan sebagai bukti keagunganNya supaya manusia tidak begitu mudah merendahkan dirinya dengan menganggap bahwa ia boleh membuat hubungan dengan sesiapa sahaja.


Tidak! janganlah sekali-kali perbuatan ini dilakukan kerana dengan melakukan perzinaan, seseorang tidak sahaja menghancurkan kemanusiaannya sendiri melainkan lebih dari itu ia telah merendahkan Allah swt dengan meremehkan tanda-tanda keagunganNya.


Adalah jelas bahwa dari ayat di atas setidak-tidaknya ada tiga tonggak yang boleh kita lahirkan untuk mencapai kebahagiaan dalam rumah tangga:


1. Bangunkan Jiwa Sakinah 2. Hidupkan Semangat Mawaddah 3. Pertahankan Ruh Rahmah Ketiga-tiga langkah di atas adalah bekalan utama setiap rumahtangga. Jika salah satunya hilang, rumahtangganya akan rapuh dan mudah retak. Oleh kerana itu hendaklah ketiga-tiga langkah tersebut benar-benar dihidupkan secara maksimum atau paling tidak mendekatinya semampu mungkin.


1. BANGUNKAN JIWA SAKINAH Allah swt berfirman : "litaskunuu ilaihaa", ertinya agar kau berteduh wahai para suami kepada isterimu.

Perkataan "litaskunuu" diambil dari kata "sakana yaskunu" ertinya berdiam atau berteduh. Dari perkataan "sakana" ini di ambil istilah "sakinah" yang kemudiannya diertikan sebagai tenang, bahkan pengertian dalam ayat ini lebih dalam lagi dari sekadar tenang.

Syaikh Ibn Asyur dalam tafsirnya "At Tahrir wat Tanwiir" memberi pengertian perkataan "litaskunuu" dengan dengan tiga makna :


(a) "lita'lafuu" ertinya agar kamu saling mengikat hati, seperti ungkapan"ta'liiful quluub".

Dalam surah Al Anfal, ayat: 63 Allah swt berfirman:

"Dialah Allah yang telah mempersatukan hati di antara mereka".

Dengan makna ini maka suami isteri hendaklah benar-benar membangunkan ikatan hati yang kuat dan sekuat-kuat pengikat hati adalah iman. Maka semakin kuat iman seseorang, semakin kuat pula ikatan hatinya dalam rumah tangganya. Sebaliknya semakin lemah iman seseorang, boleh dipastikan bahwa rumah tangga tersebut akan rapuh dan mudah retak.


(b) "Tamiiluu ilaihaa" ertinya kau condong kepadanya.

Condong ertinya fikiran, perasaan dan tanggung jawab tercurah kepadanya.

Dengan makna ini maka hubungan suami isteri bukan sekadar biasa-biasa untuk bersenang-senang sejenak melainkan benar-benar dibangunkan di atas tekad yang kuat untuk membangun masa depan rumah tangga yang bermanfaat. Oleh kerananya, mesti ada kecondongan dari masing-masing suami dan isteri. Tanpa kecondongan, pasti akan berlaku suasana keterpaksaan.


Oleh itu, ibubapa jangan memaksakan kehendak mereka jika memang ternyata dalam diri anak mereka tidak ada kecondongan. Seringkali kita menemui anak muda yang mengeluh kerana dipaksa ibu bapa mereka untuk berkahwin dengan seseorang sementara dalam diri anak muda tersebut tidak ada kecondongan sama sekali. Tapi ibubapa mereka mengancam dan bahkan menganggap ia bukan anak mereka jika tidak mengikuti keinginan mereka.


Ini tentunya bukan sikap yang sepatutnya diambil. Ibubapa harus tahu bahwa"sakinah" dalam rumah tangga tidak akan tercapai tanpa adanya kecondongan. Begitu juga ibubapa harus tahu bahwa yang akan hidup bersama isterinya adalah si anak. Maka adalah tidak wajar menggunakan kad merah ibubapa untuk memaksakan kecondongan mereka supaya anak-anak mengikuti kehendak mereka.


Seringkali rumah tangga hancur kerana ibubapa tidak memperhatikan kecondongan si anak. Oleh kerana itu, untuk membangun sakinah, mesti ada dalam diri masing-masing suami dan isteri kecondongan.


(c) "Tathma'innuu biha" ertinya kau merasa tenang dengannya.

Dalam surah Ar Ra'd, ayat 28 Allah swt berfirman:

"Ingatlah, hanya dengan mengingati Allah-lah hati menjadi tenteram".

Dari sini nampak bahwa untuk mencapai ketenangan dalam rumah tangga hanya dengan banyak berzikir kepada Allah.

Para ulama’ menyebutkan bahwa zikir ada tiga dimensi :

1. Zikir dengan lidah.

2. Zikir dengan hati, maksudnya hatinya sentiasa sedar dan ingat kepada Allah.

3. Zikir dengan perbuatan, maksudnya seluruh perbuatannya sentiasa dalam ketaatan kepada Allah swt.


Maka adalah sesuatu yang mustahil untuk mencapai sakinah dalam rumah tangga yang penuh dengan kemaksiatan kepada Allah swt.


Termasuk dalam kemaksiatan adalah ketika masing-masing suami dan isteri suka berbohong. Banyak rumahtangga yang retak kerana ketidakjujuran di kalangan suami dan isteri masing-masing.


Jika seorang suami suka berbohong pasti si isteri akan gelisah. Seterusnya ketenangan akan hilang dalam rumahtangga. Sebaliknya jika isteri suka berbohong, si suami pasti tidak akan merasa tenang bersamanya. Bila suami tidak tenang, boleh jadi kelak rumahtangga akan terancam. Dari sini perceraian demi perceraian akan berlaku. Sebab utamanya adalah kerana tiada kejujuran dan kebiasaan dalam melakukan dosa-dosa.


2. HIDUPKAN SEMANGAT MAWADDAH

"Mawaddah" ertinya cinta. Secara jelasnya bahwa "mawaddah" adalah perasaan cinta dan senang dengannya sehingga rumahtangga menjadi berghairah dan penuh semangat.


Tanpa "mawaddah", rumahtangga akan kering. "Mawaddah" biasanya sangat berbentuk "keindividuan". Ia tidak bergantung kepada kecantikan isteri atau ketampanan suami.


Boleh jadi di mata orang ramai, wanita itu tidak cantik, tetapi si suami sangat mencintainya. Begitu juga, boleh jadi wanita itu disepakati sebagai wanita yang cantik, tetapi si suami ternyata sangat membencinya.


Sebahagian ulama’ tafsir mengatakan bahwa cinta biasanya sering menggebu di masa muda atau di awal-awal perkahwinan. Lama kelamaan setelah melalui kehidupan rutin rumahtangga, getaran cinta menjadi semakin melemah.

Oleh sebab itu Allah swt bekalkan rahmah sebagai pengimbangnya supaya ketika kekuatan cinta mulai redup, masih ada semangat rahmah yang akan menyelamatkan rumah tangga tersebut. Lain pula halnya dengan orang-orang yang membangun rumahtangga hanya dengan modal cinta di mana rumahtangga mereka tidak kukuh dan mudah roboh.

Ibarat sebuah mesin, "mawaddah" adalah dinamo penggerak yang menghairahkan. Dengan "mawaddah", rumahtangga menjadi

  1. Dinamik.
  2. Produktif.

Sebaliknya jika jiwa "mawaddah" hilang, rumahtangga akan hilang keceriaan serta menjadi "monotonous" tanpa wujud unsur dinamik sama sekali.


Secara minimanya mawaddah mempunyai tiga ciri utama :

(a) Sentiasa saling memberi hadiah, ini sepertimana sabda Nabi saw iaitu dengan saling memberi hadiah cinta akan sentiasa hangat.

(b) Sentiasa saling mengingatkan kebaikannya. Ini kerana dengan mengingatkan kebaikannya seseorang akan sentiasa merasa terhutang budi. Hindarkan diri dari melihat keburukan dan kekurangannya kerana itu akan menumbuhkan kebencian dan perselisihan tiada henti.

(c) Sentiasa saling berkomunikasi kerana hasil dari komunikasilah prasangka akan hilang. Kita lihat banyak perkara yang sebenarnya dimaksudkan untuk kebaikan, tetapi kerana lemahnya komunikasi, seringkali kesalahfahaman berlaku.


3. PERTAHANKAN RUH RAHMAH

"Rahmah" ertinya kasih sayang, diambil dari perkataan "rahima yarhamu".Dari perkataan ini pula diambil kata "Ar Rahmaan" salah satu nama Allah swt iaitu Allah Maha Penyayang.

Para ahli tafsir mengatakan bahwa RahmanNya Allah meliputi seluruh makhlukNya samada manusia, binatang, dan makhluk-makhluk lainnya termasuk juga orang-orang yang tidak beriman. Oleh sebab itu, mereka masih boleh hidup dan boleh menikmati kemudahan kehidupan dari Allah, padahal mereka setiap hari tidak mentaatiNya.


Perkataan "rahmah" lebih bermakna kesungguhan untuk berbuat baik kepada orang lain, apa lagi kepada keluarga.

Memang setiap orang mempunyai kekurangan dan tidak ada seorang pun yang mencapai kesempurnaan. Maka, jika setiap manusia mempunyai persepsi bahwa ia mengimpikan adanya pasangan yang sempurna, pasti pada akhirnya ia tidak akan sekali-kali memiliki pasangan tersebut.


Pepatah Arab ada menyebutkan :

"Orang yang mencari kawan tanpa cacat, pasti pada akhirnya ia tidak akan mempunyai kawan". Perkataan "rahmah" lebih mencerminkan sikap saling memahami kekurangan masing-masing lalu berusaha untuk saling melengkapi. Sikap "rahmah" menekankan adanya sikap saling tolong menolong dalam ‘bersinergi’ sehingga kekurangan berubah menjadi kesempurnaan.


Sikap rahmah seringkali berperanan ketika semangat cinta mulai menurun. Biasanya ini berlaku setelah usia suami isteri sama-sama mencapai tahap tua. Cucu sudah mulai ramai. Badan pula sudah merasa sakit-sakit. Pada ketika itu, ketahanan rumahtangga sangat bergantung kepada kekuatan "rahmah" (kasih sayang) antara suami dan isteri.

Oleh kerana itu, "mawaddah" dan "rahmah" ibarat dua sayap bagi burung.


Bila kedua sayap itu berfungsi dengan baik, maka rumahtangga akan berlangsung penuh kebahagiaan. Ibarat burung terbang di angkasa, ia menikmati keindahan alam semesta dan penuh dengan kelapangan dada tanpa sedikit pun ada bebanan di hatinya. Terbang ke mana sahaja ia mahu, tidak ada halangan dan kesulitan.


KESEDARAN AKHIRAT

Pada penutup ayat di atas, Allah swt berfirman maksudnya bahwa itu semua merupakan bukti bagi orang-orang yang berfikir iaitu orang-orang yang menggunakan akalnya untuk memahami ajaran Allah swt.

Dalam Al Qur'an banyak sekali penegasan bahwa kelak di hari Kiamat ramai manusia yang menyesal kerana selama hidup di dunia tidak menggunakan akalnya.


Allah swt berfirman,

"Dan mereka berkata: "Sekiranya kami mendengarkan atau memikirkan (peringatan itu) niscaya tidaklah kami termasuk penghuni-penghuni neraka yang menyala-nyala." (QS Al Mulk : 10) Dari sini nampaklah bahwa yang membezakan antara manusia dan makhluk lainnya adalah Allah bekalkan akal kepada manusia.


Di antara ciri-ciri orang-orang yang berakal bahwa ia sentiasa menegakkan kedamaian dalam hidupnya terutama dalam rumahtangganya.


Maka ketika ia tidak dapat membangunkan kedamaian dalam rumahtangganya, boleh dipastikan bahwa ia akan gagal dalam lapangan kehidupan yang lain.


Bila seseorang gagal dalam rumahtangganya secara automatiknya ia menyesal. Menyesal kerana telah menyia-nyiakan kesempatan untuk berbuat baik selama hidup di dunia. Penyesalan itu kelak akan terjadi setelah ia tahu bahwa ternyata Allah tidak menyia-nyiakan sekecil apapun yang dilakukan oleh manusia.


"Barangsiapa yang mengerjakan kebaikan seberat zarrah pun, niscaya dia akan melihat (balasan) nya. Dan barangsiapa yang mengerjakan kejahatan seberat zarrah pun, niscaya dia akan melihat (balasan) nya pula." (QS Al Zalzalah : 7-8)Kesedaran akhirat seperti inilah yang sepatutnya sentiasa dihidupkan oleh setiap pasangan suami isteri kerana hanya dengan kesedaran ini, semua perilaku akan menjadi baik dan rumahtangga akan dapat dibina dengan kukuh manakala setiap pasangan akan melaksanakan tugas dan tanggungjawab mereka dengan penuh dedikasi dan bersungguh-sungguh.


Ya Allah, kami memohon kepadaMu sakinah, mawaddah dan rahmah dalam rumahtangga kami kerana hanya dengan tiga unsur inilah, rumahtangga kami akan menjadi lebih kukuh dan mampu menghadapi badai kehidupan serta pertautkanlah hati-hati setiap pasangan dari kami sehingga mereka akan merasa tenang, cinta dan saling berkasih sayang dalam melahirkan rumah tangga yang bahagia yang bercirikan "Rumahku Syurgaku".


Ameen Ya Rabbal Alameen