Thursday, July 30, 2009

sepuluh pedoman, panduan melayari perkahwinan



RUMAH tangga yang bahagia dan aman tenteram menjadi impian suami isteri. Ikatan kasih sayang dua insan dipadukan dengan harapan semoga berkekalan sepanjang hayat. Namun, dalam kehidupan berumah tangga pasti tidak lekang daripada dugaan dan pancaroba yang boleh menggugat kesejahteraan.

Oleh itu, beberapa petua untuk renungan bersama supaya rumah tangga yang terbina kekal aman serta dilimpahi kasih sayang sepanjang masa. Ini perlu bagi mengelak berlaku perceraian yang semakin meningkat.

Renungi pesanan Umamah binti Harith kepada anaknya sebagai petua dalam rumah tangga yang bahagia. Umamah mewasiatkan kepada anak perempuannya yang akan melangsungkan perkahwinan dengan seorang Raja Yaman, iaitu Al Harith bin Amru.

Dalam wasiat itu, Umamah berkata: “Wahai puteriku, aku ingin memberitahumu 10 perkara sebagai pedoman dan panduanmu dalam melayari alam berumah tangga nanti iaitu jalinkan hubungan dengan suamimu penuh ketaatan, perhatikan tempat menjadi kesenangannya dan jangan sampai dia melihat kepada sesuatu yang buruk atau tercium sesuatu yang busuk.

Hendaklah kamu sentiasa membanggakannya kerana ini akan membuatkannya bertambah kasih padamu. Benarkanlah segala pendapat dan sikapnya nescaya dia akan bersikap lembut terhadapmu.

Kamu hendaklah menguruskan hal ehwal rumah tangga dengan sempurna dan baik. Sentiasalah memelihara diri, keluarga dan kehormatannya. Simpankan segala rahsianya dengan baik, jangan kamu sesekali membantah suruhannya kerana ini akan melukakan hatinya.

Jagalah waktu makannya dan waktu beristirahat kerana apabila perut lapar akan membuatkan darah cepat naik. Begitulah juga dengan tidur yang tidak cukup akan menyebabkan keletihan. Andainya suamimu nanti sedang bergembira, janganlah kamu menunjukkan kesedihan pula, tetapi kamu hendaklah pandai menyesuaikan keadaan dan bijak mengikut suasana hatinya.

Kamu hendaklah sentiasa menghiasi dirimu selalu supaya suamimu nanti berasa senang apabila menatap wajahmu. Jadikanlah dirimu sebagai pembantu kepadanya. Nescaya nanti suami akan menjadi penolong pula pada dirimu.

Demikianlah 10 petua yang diperturunkan kepada anaknya dan sangat relevan buat kita pada zaman ini, iaitu panduan buat wanita yang akan mendirikan rumah tangga supaya bahtera dilayari bersama suami berada dalam landasan yang betul lagi diredai Allah.

Seperti yang diketahui, pelbagai masalah keruntuhan rumah tangga semakin menjadi-jadi dan tidak menampakkan susutnya. Jadi sewajarnya petua Umamah dijadikan sebagai teladan dan peringatan buat muslimah.

Rumah tangga aman bahagia akan membawa keberkatan hidup dan sentiasa dalam lingkungan rahmat Allah. Apa yang mustahak, kedua-dua suami dan isteri mesti memiliki sikap saling hormati-menghormati dan nilai toleransi tinggi.

Tidak dinafikan wanita menjadi tunjang kepada terbentuknya suasana bahagia dan harmoni. Imam Hasan Al-Banna berkata: “Asas kebaikan bangsa adalah kebaikan keluarga dan kunci kebaikan keluarga adalah kebaikan kaum perempuan, kerana perempuan adalah guru dunia.

“Perempuan yang menggoyang hayunan dengan tangan kanannya dan menggoncang dunia dengan tangan kirinya. Ketenteraman, ketenangan dan perlindungan, itulah kata tepat untuk menggambarkan antara lelaki dan perempuan.

“Seorang perempuan, wahai saudaraku, berlindung pada suaminya untuk memperoleh kekuatan dan kehidupan, sedangkan lelaki berlindung kepada isterinya untuk memperoleh kecintaan dan kehidupan.”

Andainya sikap saling memahami dan bertolak ansur diterap antara suami isteri, fenomena cemburu buta yang berakhir dengan perceraian dapat ditangani. Ini tidak, hal remeh temeh mencetuskan polemik, sehingga membesar menjadi punca keretakan hingga meruntuhkan rumah tangga.

Kehidupan berumah tangga yang sentiasa berpayung pada cahaya keimanan kukuh tidak akan mudah digoncang, malah sentiasa mendapat berkat Allah. Ingatlah, keluarga yang aman bahagia akan melahirkan anak cemerlang.

Anak yang dilahirkan dalam ruang lingkup keluarga harmoni akan memacu landasan hidup sempurna. Wujudlah rumahku, syurgaku, yang menjadi impian semua pasangan. Semua inginkan kebahagiaan melalui gerbang perkahwinan dan Islam menggalakkan perkahwinan untuk mencari ketenangan.

Firman Allah yang bermaksud:

“Dan Allah menjadikan bagimu rumahmu sebagai tempat tinggal (untuk ketenangan).” – (Surah An-Nahl, ayat 80)

Wednesday, July 29, 2009

ciri-ciri suami pilihan~

KASIH manusia sering bermusim,
sayang manusia tiada abadi.
Kasih Tuhan tiada bertepi, sayang Tuhan janji-Nya pasti.

suamisoleh.jpgITULAH sedikit dari bait-bait lagu Raihan. Lantaran kasih manusia yang sering bermusim dan sayangnya yang tidak kekal lama, kita perlu sentiasa berwaspada terutamanya dalam memilih pasangan. Andainya sedikit daripada cinta itu hendak diberi pada seseorang yang boleh digelar suami, secara ringkas pilihlah seorang lelaki yang…

- Kuat agamanya
Biar sibuk sekalipun, solat fardu tetap terpelihara. Utamakanlah pemuda yang taat pengamalan agamanya. Lihat saja Rasulullah menerima pinangan Saidina Ali buat puterinya Fatimah. Lantaran ketaqwaannya yang tinggi biarpun dia pemuda paling miskin. Utamakanlah pemuda yang jujur membimbing dan memelihara iman anda.

- Baik akhlaknya
Ketegasannya nyata tetapi dia lembut dan bertolak-ansur hakikatnya. Sopan tutur kata gambaran peribadi dan hati yang mulia. Rasa hormatnya pada warga tua ketara. Mudah di bawa berbincang. Tidak terlalu berahsia.

- Tegas mempertahankan maruah
Pernahkah dia menjengah ke tempat-tempat yang menjatuhkan kredibiliti dan maruahnya sebagai seorang Islam? Adakah dia jujur sebagai pelindung maruah seorang perempuan?

- Amanah
Jika dia pernah mengabaikan tugas yang diberi dengan sengaja ditambah pula salah guna kuasa, bila berjanji tidak ditepati, lupakan saja si dia.

- Pemurah tetapi tidak boros
Dia bukanlah kedekut tapi tahu membelanjakan wang dan harta dengan bijaksana. Setiap nikmat yang ada dikongsi bersama mereka yang berhak.

- Tidak liar matanya
Perhatikan apakah matanya kerap meliar ke arah perempuan lain yang lalu-lalang ketika berbicara. Jika ya jawabnya, dia bukanlah calon yang sesuai buat kamu.

- Terbatas pergaulan
Sebagai lelaki dia tahu dia tidak mudah jadi fitnah orang, tetapi dia tidak mengamalkan cara hidup bebas.

- Rakan pergaulannya
Rakan2 pergaulannya adalah mereka yang sepertinya. Sebaik-baik teman adalah teman yang soleh.

- Bertanggungjawab & setia
Rasa tanggungjawabnya dapat diukur kepada sejauh mana dia memperuntukkan dirinya untuk ibu bapa dan ahli keluarganya. Jika ibubapanya hidup melarat sedang dia hidup hebat, nyata dia tidak bertanggungjawab. Setia mengharungi hidup bersama walau susah mahupun senang.

- Tenang wajah
Apa yang tersimpan dalam sanubari kadang2 terpancar pada air muka. Wajahnya tenang, setenang sewaktu dia bercakap dan bertindak.

Berbahagialah kamu jika diintai calon yang demikian sifatnya

Tuesday, July 28, 2009

Lelaki Acuan Al-Quran

“Lelaki acuan al-Quran ialah seorang lelaki yang beriman
Yang hatinya disaluti rasa taqwa kepada Allah SWT
Yang sentiasa haus dengan ilmu
Yang sentiasa dahaga dengan pahala
Yang solatnya adalah maruah dirinya
Yang tidak pernah takut berkata benar
Yang tidak pernah gentar untuk melawan nafsu

Lelaki acuan al-Quran aialah lelaki yang menjaga tuturkatanya
Yang tidak bermegah dengan ilmu yang dimilikinya
Yang tidak bermegah dengan harta dunia yang dicarinya
Yang sentiasa berbuat kebaikan kerana sifatnya yang pelindung
Yang mempunyai ramai kawan dan tidak mempunyai musuh yang bersifat jembalang

Lelaki acuan al-Quran ialah lelaki yang menghormati ibubapanya
Yang sentiasa berbakti kepada kedua orangtua dan keluarga
Yang bakal menjaga keharmonian rumahtangga
Yang akan mendidik anak anak dan isteri mendalami agama Islam
Yang mengamalkan hidup penuh kesederhanaan
Kerana dunia baginya adalah rumah sementara menunggu akhirat

Lelaki acuan al-Quran sentiasa bersedia untuk agamanya
Yang hidup dibawah naungan al-Quran dan mencontohi sifat Rasulullah SAW
Yang boleh diajak berbincang dan berbicara
Yang sujudnya penuh kesyukuran dengan rahmat Allah ke atasnya

Lelaki acuan al-Quran tidak pernah membazirkan masa
Matanya kepenatan kerana kuat membaca
Yang suaranya lesu kerana penat mengaji dan berzikir
Yang tidurnya lena dengan cahaya keimanan
Bangun subuhnya penuh dengan kecerdasan
Kerana sehari lagi usianya bertambah penuh kematangan

Lelaki acuan al-Quran sentiasa mengingati mati
Yang baginya hidup didunia adalah ladang akhirat
Yang mana buah kehidupan itu perlu dibajai dan dijaga
Meneruskan perjuangan Islam sebelum hari kemudian

Lelaki acuan al-Quran ialah lelaki yang tidak mudah terpesona
Dengan buaian dunia
Kerana dia mengimpikan Syurga
Disitulah rumah impiannya
Bersama wanita acuan al-Quran”