Saturday, November 21, 2009

membina dan memelihara cinta!


“Bagaimana andai selepas bertunang setelah sekian lama, dia tidak suka lagi pada kita? Suka pada orang lain”, soal Kak Raiha tiba-tiba.

“Jangankan semasa bertunang kak. Orang berkahwin pun boleh pudar cintanya”.

“Betul juga”.

Persoalan tergantung. Tidak berjawab.

Masing-masing diam. Mata memandang ke tingkap merenung titisan hujan yang lebat.

Aksesori Cinta

“Sememangnya rasa suka yang memutikkan cinta itu perlu. Namun, cinta sahaja tidak menjamin”, Kak Raiha memecahkan kesunyian.

“Maksud akak?”.

“Cinta perlukan aksesori sampingan. Rasa cinta perlu hadir dengan rasa tanggungjawab”.

“Aksesori lain ialah kepercayaan”, tambah Kak Raiha lagi.

Saya semakin mengerti apa yang Kak Raiha cuba sampaikan.

“Rasa tanggungjawab dan kepercayaan ini tidak akan wujud andai tidak rasa diri berTuhan. Cinta jadi tidak berperaturan. Cinta yang jauh dari berpaksikan Tuhan”, saya cuba membuat kesimpulan.

“Benar. Andai cinta berpaksikan Tuhan, barulah lahir cinta sejati yang menyembuhkan, bukan menyakitkan. Bukan cinta buta buatan manusia”.


Cinta Tanpa Tanggunjawab

“Remaja kini terdedah dengan cinta, namun cetek ilmu menguruskannya. Tanpa ilmu, sukar melahirkan rasa tanggungjawab”, Kak Raiha cuba menghuraikan aksesori pertama.

“Tanpa rasa tanggungjawab, si teruna tidak bersifat melindungi kaum wanita. Kaum wanita pula sewenang-wenangnya menyerahkan jiwa dan raga”.

Saya diam mendengarkannya. Realiti yang harus diterima. Realiti bahawa ramai remaja yang terlibat dengan cinta di awal usia, terjebak dengan maksiat dan zina. Realiti yang bimbang lagi meresahkan.

Dengan rasa tanggungjawab yang tinggi, si lelaki akan menghormati wanita dengan tidak merosakkannya. Kesuciannya dipelihara sehinggalah dihalalkan melalui lafaz janji `aku terima nikahnya`. Rasa tanggungjawab yang tinggi juga membentengi diri seorang wanita untuk memelihara kehormatan diri dan rahimnya. Wanita bertanggungjawab untuk mempertahankan dirinya untuk suami yang halal buatnya. Memelihara kesucian rahimnya untuk zuriat yang bakal dilahirkannya.

“Cinta yang Allah gariskan bukanlah untuk menyekat. Cinta berperaturan untuk meningkatkan darjat. Cinta ekslusif!”, pesanan berharga buat remaja mabuk bercinta.

“Cinta tanpa tanggungjawab juga boleh menyebabkan rumah tangga porak peranda”, Kak Raiha mengubah konteks, daripada isu remaja kepada keluarga.

“Dengan mudah, si ayah mahupun ibu boleh `mencintai` orang lain. Bayangkan, andai ibu ataupun bapa sibuk menunaikan tanggungjawab yang tidak pernah selesai terhadap pasangan dan anak-anaknya, soal `terjatuh cinta` dengan orang ketiga pasti dapat dielakkan. Memanglah cabarannya sentiasa ada. Namun, boleh dielakkan!” Kak Raiha sedikit emosi. Tidak adil, tetapi ingin bercinta lagi.

“Setuju kak. Sekalipun suami dan isteri saling mencintai. Tanpa tanggungjawab, selama manakah cinta dapat bertahan agaknya. Cinta dan sayang terhadap anak-anak juga perlu dinilai dengan tanggungjawab”.

“Benar. Anak-anak juga harus punya cinta yang penuh tanggungjawab terhadap ibu bapa”. Peranan anak-anak pula disentuh.

“Bagaimana pula tu?”.

“Anak-anak zaman kini kadangkala sibuk bekerja. Tiada masa untuk bersama ibu bapa”.

“Sekalipun ibu dan bapa pernah melakukan kesilapan ataupun mempunyai kekurangan dalam mendidik kita, jangan menyimpan dendam. Biarlah kekurangan itu dinilai Allah. Lihat perkara positif pada ibu bapa kita. Selain kuasa Allah, jika bukan jasa mereka, masakan kita hidup sehingga kini. Dibesarkan dan dijaga”.

“Andai semua pihak melihat cinta disertai tanggungjawab, insyaAllah tidak timbul masalah. Masing-masing akan fokus pada memberi. Bukan menuntut hak”, saya cuba membuat kesimpulan mengakhiri perbualan.

“Benar, cinta pada Allah juga menuntut kita untuk menzahirkannya. Laksanakan tanggungjawab sebagai hambaNya yang bertaqwa”.

Dicintai Dan Dipercayai

Selain cinta dengan rasa tanggungjawab, cinta juga perlu lengkap dengan mempercayai.

Boleh anda bayangkan hidup tanpa wujud rasa percaya pada orang lain. Tidak percaya orang lain boleh melaksanakan tanggungjawabnya. Tidak percaya orang lain boleh menyimpan rahsia. Bermacam-macam lagi. Tanpa rasa percaya, sukar untuk hidup bahagia. Asyik resah tidak menentu hala.

Justeru, mempercayai itu amat penting dalam memelihara hubungan. Mempercayai seseorang bukan sahaja membuatkan diri kita tenang, bahkan membuatkan diri orang yang dipercayai itu lebih yakin.

Soalnya ialah bagaimana untuk membuatkan diri ini dipercayai sekaligus membina kepercayaan. Kemudian, bagaimana untuk memelihara kepercayaan itu sepanjang perhubungan?

Saya kira, membina kepercayaan mengambil masa. Memulihkan kepercayaan lebih banyak mengambil masa!

Sebelum menjalin hubungan, kepercayaan boleh mula dipupuk. Syaratnya ialah dengan tidak bermuka-muka ataupun berlakon. Lihatlah pada akhlak dan ibadahnya. Andai si dia menjaga hubungannya dengan Allah dan manusia, insyaAllah, apabila bersama kelak, kepercayaan itu sudah terbina.

Bayangkan seorang lelaki yang matanya liar memandang wanita lain. Apakah kita percaya selepas berkahwin kelak, dia akan menundukkan pandangnya?

Bayangkan seorang wanita yang tidak segan silu bertepuk tampar dengan lelaki yang haram buatnya. Apakah selepas bernikah kelak, dia akan menjadi wanita pemalu yang memelihara kelakuannya?

Bayangkan seorang teman yang suka mengumpat orang di sana-sini. Apakah kita yakin, kita tidak akan diumpatnya selepas menceritakan masalah kepadanya?

Ya, benar, manusia boleh berubah dengan izin Allah. Namun, kepercayaan sudah tercalar. Sukar!

Binalah kepercayaan sebelum menjalin hubungan. Kemudian peliharalah kepercayaan itu. Sekali tercalar, mengambil masa untuk memulihkannya.

Cinta Perlu Disuburkan

Cinta perlu ada rasa tanggungjawab dan mempercayai. Semacam kering sahaja bunyinya. Serius dan tidak berwarna-warni. Disebabkan itulah, cinta sesama manusia ini perlu disuburkan dengan kata-kata dan sentuhan. Sentuhan fizikal mahupun jiwa.

Memuji sahabat tentang kelebihan dan sifat positif dirinya.

Membelai anak yang sudah remaja dengan kasih dan mesra.

Menghadiahkan bunga buat isteri tercinta.

Menggantikan bebelan dengan kata-kata semangat buat suami tatkala perkahwinan bertambah usia.

Mengusap wajah ibu dan ayah yang sudah tua dan tidak berdaya.

Bermacam-macam perkara yang boleh dilakukan untuk menyuburkan hubungan sesama manusia melalui sentuhan dan kata-kata. Kadangkala, kita yang tidak amalkannya. Lama-kelamaan, bertukar menjadi kekok. Kemudian, dilabel buang tabiat. Parah!

Mari kita hayati kembali sirah. Kisah cinta manusia paling agung. Cinta Rasulullah terhadap isterinya. Cinta bukan dalam bentuk `segera`. Cinta Rasulullah disertai usaha yang dibajai sentuhan dan kata-kata. Dengan izin Allah, mencairkan hati, menyentuh jiwa.

Tatkala isteri tidur nyenyak kepenatan, Rasulullah memilih untuk tidur diluar, kerana kasihan.

Rasulullah juga tidak kekok meringankan beban isteri dalam menguruskan rumah tangga.

Pernah satu ketika, hidung Saidatina Aisyah dipicit. “Sabar dahulu ya Humaira”, kata nabi seraya memicit hidung Aisyah. Sentuhan mesra untuk menyabarkan dan meredakan.

Rasulullah dan isterinya saling menasihati, bersama-sama memperbaiki diri.

Biji benih gred A, andai tidak dibaja dan dijaga, masakan dapat menghasilkan buah yang sedap. Samalah halnya dengan cinta, andai tidak dibaja, masakan dapat terus kekal bahagia.

Cinta itu perlu, namun cinta semata-mata tidak membawa ke mana. Permulaan yang baik itu tidak menjamin kesudahan yang baik, tanpa baja dan dijaga.

Semoga kita sama-sama dapat amalkan tatkala diri menjalin cinta sesama makhluk menuju cinta kepadaNya.

Wednesday, November 18, 2009

Lagu kiriman ;-)


Right Here Waiting

Oceans apart day after day
And I slowly go insane
I hear your voice on the line
But it doesn't stop the pain

If I see you next to never
How can we say forever

Wherever you go
Whatever you do
I will be right here waiting for you
Whatever it takes
Or how my heart breaks
I will be right here waiting for you

I took for granted, all the times
That I thought would last somehow
I hear the laughter, I taste the tears
But I can't get near you now

Oh, can't you see it baby
You've got me goin' crazy

Wherever you go
Whatever you do
I will be right here waiting for you
Whatever it takes
Or how my heart breaks
I will be right here waiting for you

I wonder how we can survive
This romance
But in the end if I'm with you
I'll take the chance

Wherever you go
Whatever you do
I will be right here waiting for you
Whatever it takes
Or how my heart breaks
I will be right here waiting for you
Waiting for you

Saturday, November 14, 2009

Eratkan hubungan suami isteri

Persefahaman dan tolak ansur antara satu sama lain adalah antara
petua untuk mencapai rumahtangga yang bahagia dan berkekalan. Petua
ini sering digunakan oelh pasanganyang lebih lama mendirikan
ruahtangga hingga ke anak cucu. Suami atau isteri harus mengetahui
peranan dan tanggungjawab masing-masing. Berikut adalah beberapa tip
untuk mengeratkan lagi hubungan suami isteri.

Persefahaman dan saling bertolak ansur

Sikap saling memahami antara satu sama lain adalah perkara utama
dalam rumahtangga. Suami atau isteri perlu mewujudkan persefahaman
ini sebelum berumahtangga lagi. Tolak ansur dalam apa juga perkara
amat diperlukan untuk mengelakkan sebarang masalah lain yang timbul.
Tanpa kedua-dua sikap ini, suami atau isteri akan menghadapi
kesukaran dalam berkomunikasi. Jika isteri mendapati suaminya
mempunyai minat dan hobi seperti memancing dan melancong, isteri
perlu belajar untuk memahami minat suami begitu juga sebaliknya.

Berterus terang dan bersikap terbuka

Berterus terang dengan pasangan perlu dalam kehidupan berumahtangga.
Ia lebih baik jika disertai sikap terbuka pasangan. Suami atau isteri
yang mengamalkan sikap suka menyembunyikan sesuatu dengan pasangannya
secara langsung boleh merenggangkan hubungan. Ini kerana sikap saling
mencurigai akan wujud secara tidak disedari. Namun begitu, tidak
semua rahsia suami atau isteri perlu didedahkan kepada pasangan
terutama perkara yang telah lepas bagi mengelakkan sesuatu yang tidak
diingini berlaku.

Hargai pasangan anda

Menghargai pasangan anda adalah sesuatu yang perlu diwujudkan.
Misalnya suami perlu memberi pujian atas apa yang disediakan oleh
isteri. Pujian yang diberikan terhadap masakan si isteri sekurang-
kurangnya menggembirakan si isteri dan merasa dirinya dihargai.
Begitu juga dengan pihak steri, biarpun suami tidak melakukan tugas
memasak, membasuh dan sebagainya, pujian yang diberikan kerana
membantu anda di dapur pada hujung minggu sekurang-kurangnya berasa
mereka dihargai.

Perhatian yang adil kepada pasangan anda

Kadangkala suami atau isteri memerluakan perhatian lebih daripada
pasangannya. Walau sesibuk mana pun anda dengan kerjaya atau
tanggungjawab, luangkan sedikit masa terhadap pasangan anda.
Meluangkan sedikit masa terutamanya pada hujung minggu denganpasangan
anda adalah lebih daripada anda menumpukan perhatian kepada kerja
yang sememangnya tidak akan selesai.

Menghormati antara satu sama lain

Walaupun hak dan kuasa adalah lebih kepada suami, suami juga perlu
menerima pandangan yang diberikan oleh isteri. Sikap saling menerima
pandangan secara langsung akan mewujudkan sikap hormat isteri
terhadap pasangannya. Isteri juga akan berasa dirinya lebih dihormati
biarpun kedudukan mereka hanya sebagai isteri. Menjadi penyokong atau
penasihat kepada pasangan Suami atau isteri adalah individu yang
hampir kepada setiap pasangan. Jadikanlah suami atau isteri tempat
untuk berkongsi pendapat.

Menyesuaikan diri dengan rakan pasangan anda

Sekiranya anda diperkenalkan dengan rakan pasangan anda, seharusnya
anda tahu menyesuaikan diri dengan mereka. Bagi anda yang mempunyai
suami yang bertugas sebagai ketua kepada kakitangannya, sesuaikan
diri sebagai isteri seorang ketua dengan kakitangan bawahan.

Saling mempercayai antara satu sama lain

Sikap saling mempercayai amat pnting dalam kehidupan berumahtangga.
Tanpa sikap tersebut rasa ragu-ragu dan curiga antara satu sama lain
akan timbul. Ini menyebabkan hubungan suami atau isteri menjadi
dingin.

Anak sebagai pengikat kasih sayang

Anak juga merupakan faktor yang boleh mengeratkan lagi hubungan suami
isteri. Namun beitu, bagi pasangan yang belum mempunyai anak, jangan
berputus asa. Ini bukanlah bermakna anda tidak berupaya mewujukan
rumahtangga yang bahagia dan berkekalan. Semua ini bergantung kepada
anda sendiri untuk mencapainya.

Thursday, November 12, 2009

InsyaAllah



insyaAllah Islam akan tertegak di bumi Allah.. kita semua beriman dan bertaqwa kepadaNya.. juga segala rancangan kita dimakbulkan ALlah.. insyaAllah.. :)

Saturday, November 7, 2009

Jika Aku jatuh Cinta...~

Berdepan Dengan Bakal Isteri Dan Ibu

Masih teringat kata-katanya sewaktu saya meminta nasihat tentang panduan mendidik anak perempuan. Maklumlah, majoriti anak-anak saya lelaki. Adakalanya bagai ketandusan idea dan cara untuk berdepan dengan kerenah anak perempuan
"Perlu banyak meraikan".
Begitu kata Tok Wan apabila ditanya tentang tip mendidik anak perempuan.
"Meraikan bagaimana?"
"Raikan mereka dengan kata-kata, belaian dan pemberian. Itu caranya."
"Maksudnya?" "Hargai pandangan, kegembiraan, kesedihan, kejayaan dan kegagalannya. Selalu ucapkan tahniah, takziah, pujian dan pujukan. Pada ketika yang sesuai, berilah hadiah."

"Kenapa Tok Wan?"
"Umumnya perempuan makhluk perasaan berbanding lelaki makhluk akal. Pendekatan meraikan lebih berkesan bila berdepan dengan perasaan. Pendekatan ini lebih menyentuh dan berkesan."
"Itu pendekatannya, bagaimana pula prinsip asasnya?"
"Wah, kau bertanya, macamlah Tok Wan ni seorang profesor!"
Tok Wan bergurau. Sejenak kemudian, sambil tersenyum dia berkata, "Itu kena bayangkan...bakal isteri. Kemudian, bakal ibu!"
Wah, Tok Wan dah mula bersilat kata! Saya perlu lebih kritis menyoalnya.
"Bayangkan isteri? Isteri saya?" usik saya.
"Anak perempuan kita bakal seorang isteri. Jadi bayangkan bagaimana sifat seorang isteri sejati. Itulah "end in mind" yang perlu sewaktu mendidik anak perempuan," jelas Tok Wan yang mempunyai latar belakang pendidikan agama dan Barat itu.
Belum sempat saya mencelah, soalan Tok Wan mula menerjah, "Apa kau inginkan daripada seorang isteri?"
"Ketaatan", balas saya cepat.
"Lalu didiklah anak perempuan tentang ketaatan. Latih agar dia patuh pada perintah yang baik. Apa lagi?"
"Malu."
"Didik supaya dia mengekalkan rasa malu pada tempat dan ketikanya. Latih dia sentiasa menjaga aurat, tidak meninggikan suara dan tidak lasak pada gerak fizikalnya. Ajar erti maruah dan harga diri. Lagi?"
"Cantik...."
"Wah, tak lupa ya....Latih supaya dia menjaga kecantikan, tingkah laku, wajah, pakaian, tempat tinggal, bilik dan lain-lain. Biar dia pandai menjaga kekemasan, kecantikan dan keindahan. Biar dia peka dengan nilai-nilai estetika. Lagi?"

Saya diam. Dalam ruang fikiran tergambar isteri saya - ibu anak perempuan saya.
"Kau lupa agaknya..." usik Tok Wan.
"Tok Wan laju sangat...."
"Anak perempuan mesti dibiasakan suka berada di rumah.Bukan bermakna dia tidak boleh keluar, tapi biasakan dia suka di rumah. Rumah adalah gelanggang wanita. Ruang itu kecil tapi besar peranannya. Ketika suami keluar, isterilah pemimpin anak-anak dan pelindung hartanya."
"Ini payah Tok Wan, sekarang ini perempuan dah luas gelanggangnya!"
"Ah, kekadang yang luas hanya gelanggangnya, tapi kecil peranannya. Sedangkan di rumah walaupun kecil gelanggangnya, tapi amat besar peranannya. Pernah dengar madah, tangan yang mengayun buaian boleh menggoncang dunia?"

"Tadi Tok Wan kata, kena bayangkan juga bakal ibu."
"Apa yang paling kau hargai daripada seorang ibu?"
"Kasih sayangnya."
"Didiklah agar anak perempuan agar bersifat pengasih. Pengasih dengan adiknya, abang, kakak, binatang peliharaan dan sebagainya. Sebab itu anak perempuan digalakkan bermain dengan anak patung. Itu menyuburkan rasa kasih sayang kepada bayi. Lagi?"
"Sabar."
"Seorang ibu perlu sabar; sabar menanggung perit kehamilan, sakit melahirkan, menjaga sakit-demam, ragam dan kerenah anak. Tanamkan sifat sabar anak perempuan dalam menanggung kesakitan, keletihan, kekecewaan dan sebagainya."

"Mana lebih bayah didik anak perempuan atau anak lelaki?" tanya saya. Dia senyum sinis. Terasa bodoh pula menyoal begitu.
"Soalan itu tidak betul! Sepatutnya soalannya begini, ada beza tak antara mendidik anak lelaki dengan anak perempuan? Senang dan susah itu terlalu relatif dan subjektif sifatnya."
"Beza tak?" pintas saya penuh akur.
"Tentulah, sebab lelaki dan wanita memang berbeza. Tuhan jadikan darjat kedua-duanya sama, tapi peranannya berbeza. Bukan sahaja ciri-ciri fizikal berbeza tetapi ciri-ciri rohaniahnya jua."
"Kata orang bela lembu 10 ekor lebih mudah daripada seorang anak perempuan."
"Perbandingan yang tak relevan. Manusia berbeza dengan lembu. Kita ada hati, akal dan perasaan."
"Tapi tak ada yang kata membela 10 ekor lembu lebih mudah daripada seorang anak lelaki..."
"Terpulang pada "gembala"nya. Kena gaya dan caranya, 10 orang anak perempuan pun boleh dijaga."

"Apa tip Tok Wan untuk Sang Gembala?"
"Bila berdepan dengan anak perempuan, bayangkan kita berdepan dengan bakal isteri. Adakah menantu lelaki kita nanti akan mendapat isteri yang solehah? Bayangkan kita berdepan dengan bakal ibu, adakah cucu kita kelak bakal mendapat ibu yang mithali?"
"Lagi Tok Wan?"
"Untuk menjadi seorang ayah yang baik kepada anak perempuannya, Sang Gembala mestilah menjadi seorang anak yang baik kepada ibunya dan suami yang baik kepada isterinya!"
"Lagi Tok Wan?"
"Last but not least, Sang Gembala wajib baik kepada Tuhannya!"
Saya terdiam. Diam yang panjang. Perlukah saya menyoal lagi?

Editor: Andai diri seorang ibu dan bakal ibu, boleh juga tukar soalan kepada bagaimana mendidik anak lelaki.
*Berikut adalah prakata buku di atas.
KLIK. Buku yang cukup ringkas tapi setiap Nota penuh makna serta padat dengan isi berguna insyaAllah. Boleh dapatkan di kedai buku berdekatan anda.

Tuesday, November 3, 2009

Pada Siapa Patut Diletakkan Cinta

Oleh Dr Ikmal Online

Assalamualaikum,

Sebelum saya membicarakan bab pada siapa patut letak cinta ini saya ingin mengambil kesempatan merakamkan rasa dukacita tentang pemahaman bab “penderitaan mengundang bahagia“.

cintasiapa.jpgJatuh yang tidak ada orang simpati ialah jatuh cinta. Sebab jatuh cinta indah, tidak macam jatuh tangga atau jatuh pokok, sakit. Cinta banyak perkara cinta. Tidak ada siapa pun yang dapat larikan diri daripada mencintai dan dicintai. Kemuncak cinta, ada orang masuk syurga kerana cinta dan tidak kurang ramai orang yang akan dihumbankan ke neraka gara-gara cinta. Cinta yang begaimana boleh bawa seseorang ke syurga dan kenapa ada yang masuk neraka lantaran kerana cinta?

Cinta, rasa yang ada dalam hati yang tidak boleh disukat-sukat. Hati yang merasainya, sehingga boleh terhibur atau terseksa kerananya. Datangnya dari dua sumber yakni dari nafsu dan dari Allah.

Cinta yang diilhamkan oleh nafsu berlaku bila hati kotor, sering melakukan dosa dan tidak pula bertaubat. Sifat-sifat keji seperti sombong, ujub, riak, gila puji, hasad dengki dan lain-lain sifat jahat bersarang dalam hati tidak dikikis, maka ketika itu nafsulah yang akan jadi Tuhan dalam diri sehingga apa saja yang dilakukan mengikut arahan nafsu. Termasuk dalam meletakkan cinta, ukuran yang diberi dan sebab jatuh cinta pun ikut selera nafsu.

Lelaki akan jatuh cinta pada perempuan yang mendedahkan kecantikannya hingga tubuh badan perempuan itu sudah tidak terlindung lagi pada pandangan nafsunya. Cinta diberi ialah untuk mengisi keinginan nafsu seks lelaki kepada perempuan. Begitu juga wanita, jatuh cinta sebab lelaki kaya, handsome bergaya, ada jawatan dan lain-lain keistimewaan yang disenangi oleh nafsu. Lantas cinta diberi dengan harapan mereka dapat tumpang kemewahan dan kesenangan hidup lelaki tersebut. Jelasnya, cinta yang datang dari nafsu ditujukan untuk kesenangan nafsu semata-mata.

Bila bertaut dua cinta yang dilahirkan oleh nafsu yang punya kepentingan masing-masing maka berlangsunglah babak-babak melahirkan rasa cinta. Dari surat menyurat, telefon, ziarah, keluar makan-makan, berdua-duaan di taman bunga, dalam keadaan saling rindu merindukan.. Ketika itu tak ada lain dalam ingatan melainkan orang yang dicintai. Sehari tak jumpa atau tidak telefon rasa berpisah setahun. Sudah tidak malu pada orang sekeliling, apa lagi pada Allah yang Maha Melihat. Lagi mereka tidak ingat dan takut. Lantaran itu mereka sanggup buat apa saja untuk membuktikan kecintaan pada pasangan masing-masing.

Hatta yang perempuan sanggup serah maruah diri konon untuk buktikan cinta pada lelaki. Yang lelaki pula rela bergolok bergadai untuk memberikan kemewahan pada perempuan sebagai bukti cinta. Akhirnya bila yang perempuan telah berbadan dua, lelaki serta merta hilang cintanya. Habis manis sepah dibuang. Kalau pada lelaki pula, ada duit abang sayang, tak ada duit abang melayang. Kalau pada suami pula, isteri seorang suami disayang, bila hidup bermadu kasih pada suami hilang.

Itulah falsafah cinta nafsu yang melulu. Cintanya hanya selagi nafsu ada kepentingan. Cinta inilah yang banyak melanda orang muda yang dilambung asmara. Hingga sanggup buat apa saja, sekalipun bunuh diri, kalau kecewa dalam bercinta. Walhal sedap dan indahnya sekejap. Sakitnya lama, sakit yang paling dahsyat ialah di neraka kelak. Inilah kemuncak cinta yang paling malang dan memalukan.

Cinta nafsu kalau pun boleh bersambung sampai membina rumahtangga ia tetap akan menyeksa. Kerana suami akan cinta pada isteri selagi isteri masih muda, seksi dan manja. Yakni selagi nafsu dapat disenangkan. Bila isteri tua, kulit berkedut, tampal make-up lagi hodoh, rambut putih dan gigi pun sudah banyak gugur seperti opah, badan pun sudah kendur, maka cinta suami akan beralih pada gadis muda yang menarik. Sekaligus hilanglah cinta suami. Menderitalah isteri yang hilang perhatian suami apalagi kalau terang-terang depan mata suami kepit perempuan lain, lagilah isteri terseksa.

Begitu juga si isteri. Cintakan suami selagi suami boleh membahagiakan dan menunaikan segala keinginan nafsu. Selagi suami kasih dan sayang padanya. Andainya suami hilang kuasa, jatuh miskin, masuk penjara atau suami kahwin lagi seorang maka serta merta hilang cinta pada suami. Sebaliknya berbakul-bakul datang rasa benci pada suami yang dulu dipuja tinggi melangit. Begitu mudah cinta bertukar jadi benci. Akibatnya berlakulah pergaduhan, masam muka, kata-mengata, ungkit mengungkit, suami tidak pedulikan isteri dan isteri pun hilang hormat pada suami. Rumahtangga panas dan menunggu saat untuk ditalqinkan ke kubur perceraian. Ketika itu tak ada lagi pujuk rayu, cumbu mesra sebagaimana waktu cinta tengah membara. Maka doktor yang menulis pun dituduh merendahkan wanita, jangan marah tahu.
Itulah gara-gara cinta nafsu yang sudah menyusahkan manusia di dunia lagi.

Sebaliknya cinta yang dialirkan oleh Allah ke dalam hati, itulah cinta yang benar, suci lagi murni. Cinta yang bukan diukur ikut pandangan mata, tapi ikut pandangan Allah. Ia bersebab kerana Allah dan cinta diberi pun untuk dapat keredhaan Allah. Cinta begini tiada batasannya. Tidak pula kenal jantina dan kedudukan. Dan cinta lahir hasil dari sama-sama cinta pada Allah.

Boleh berlaku pada lelaki dengan lelaki, perempuan dengan perempuan, lelaki dengan perempuan, antara murid dengan guru, suami dengan isteri, sahabat dengan sahabat, rakyat dengan pemimpin, antara umat dengan Nabinya dan yang paling tinggi antara hamba dengan Tuhannya.

Kalau berlaku antara lelaki dengan perempuan yang tidak diikat oleh tali perkahwinan, mereka tak akan memerlukan untuk berjumpa, bercakap atau melakukan apa saja yang bertentangan dengan kemahuan Allah. Cinta mereka tidak akan dicelahi oleh nafsu berahi. Sebaliknya cinta itu ialah tautan hati yang berlaku walaupun tak pernah jumpa atau baru kenal tapi hati rasa sayang dan rindu. Hati sedih kalau orang yang dicintai ditimpa susah, senang kalau yang dicinta itu senang. Sanggup susah-susahkan dan korbankan diri untuk senangkan orang yang dicintai.

Cinta yang begini ada diceritakan dalam hadis, iaitu seorang lelaki yang bertemu dan berpisah dengan sahabatnya kerana Allah maka mereka akan mendapat perlindungan ‘arasy Allah di padang mahsyar nanti, hari di mana masing-masing orang mengharap sangat lindungan dari matahari yang sejengkal saja dari kepala.

Kalau berlaku antara suami isteri maka isteri akan letak seluruh ketaatan pada suami, berkhidmat dan melayan suami tanpa jemu-jemu. Sama ada waktu suami tunjukkan sayang atau masa suami marah-marah. Sama ada suami kaya atau miskin, atau suami kahwin lagi, cinta isteri pada suami tidak belah bagi. Salah satu contohnya penderitaan mengundang bahagia. Kerana cintanya pada suami datangnya dari Allah hasil dari ketaqwaan isteri. Datanglah ribut taufan, angin putting beliung melanda rumah tangga, isteri tetap memberikan cintanya yang utuh dan teguh.

Begitu juga suami, cinta pada isteri tidak kira isteri itu muda atau tua. Samada pada hatinya. Selagi isteri taat pada Allah, isteri tetap dikasihinya. Kalau dia ada empat isteri, tentulah isteri-isteri akan tertanya-tanya, pada isteri manakah yang suami paling cinta? Kalau cinta itu bersumber dari Allah, tentu isteri yang paling taqwalah yang paling layak dicintai oleh suami lebih dari isteri-isteri lain.

Sumber cinta yang datang dari Allah akan meletakkan Allah yang paling tinggi dan utama. Bila berlaku pertembungan antara cinta Allah dengan cinta pada makhluk maka cinta Allah dimenangkan. Misalnya seorang isteri yang cinta suaminya. Tiba-tiba suami larang isteri melakukan ketaatan pada Allah dalam hal tutup aurat, walhal tutup aurat itu Allah tuntut. Maka kecintaan pada Allah itu akan mendorongnya untuk laksanakan perintah-Nya walaupun suami tidak suka ataupun terpaksa kehilangan suami. Sanggup dilakukan sebagai pengorbanan cintanya pada Allah. Sebaliknya kalau dia turut kemahuan suami ertinya kata cinta pada Allah hanya pura-pura, cintanya bukan lagi bersumberkan Allah tapi datang dari nafsu.

Cinta yang datang dari Allah menyebabkan seseorang cukup takut untuk melanggar perintah Allah yang kecil, apalagi yang besar, lagi dia gerun. Seorang yang sudah dapat mencintai Allah, cinta yang lain-lain jadi kecil dan rendah padanya.

Sejarah menceritakan kisah cinta Zulaikha terhadap Nabi Yusuf. Sewaktu Zulaikha dibelenggu oleh cinta nafsu yang berkobar-kobar pada Nabi Yusuf, dia sanggup hendak menduakan suaminya, seorang menteri. Bila Nabi Yusuf menolak keinginannya, ditariknya baju Nabi Yusuf hingga terkoyak. Akibat dari peristiwa itu Nabi Yusuf masuk penjara. Tinggallah Zulaikha memendam rindu cintanya kepada Yusuf.

Penderitaan cinta yang ditanggung oleh Zulaikha menyebabkan dia bertukar dari seorang perempuan cantik menjadi perempuan tua yang hodoh. Matanya buta kerana banyak menangis terkenangkan Yusuf, hartanya habis dibahagi-bahagikan kerana Yusuf. Sehingga datanglah belas kasihan dari Allah terhadapnya. Lalu Allah mewahyukan agar Nabi Yusuf mengahwini Zulaikha setelah Allah kembalikan penglihatan, kemudaan dan kecantikannya seperti di zaman gadisnya. Peliknya, bila Zulaikha mengenal Allah, datanglah cintanya pada Allah sehingga masanya dihabiskan untuk bermunajat dengan Allah dalam sembahyang dan zikir wirid sehingga terlupa dia hendak melayan kemahuan suaminya Yusuf yang berhajat kepadanya. terpaksa Nabi Yusuf menunggu Zulaikha menghabiskan sembahyangnya, hingga hampir hilang kesabaran Nabi Yusuf lantas ditariknya baju Zulaikha sehingga koyak; sebagaimana Zulaikha pernah menarik baju Nabi Yusuf seketika dulu.

Begitulah betapa cinta yang dulunya datang dari nafsu dapat dipadamkan bila dia kenal dan cinta pada Allah. Cinta Allah ialah taraf cinta yang tinggi. Kemuncak cinta ini ialah pertemuan yang indah dan penuh rindu di syurga yang dipenuhi dengan kenikmatan.

Cinta pada Allah akan lahir bagi orang sudah cukup kenal akan Allah. Kerana cinta lahir bersebab. Kalau wanita cinta pada lelaki kerana kayanya, baiknya, tampan dan sebagainya dan lelaki cinta wanita kerana cantik, baik, lemah lembut dan sebagainya maka bagi mereka yang berakal akan rasa lebih patut dicurahkan rasa cinta pada Allah kerana segala kenikmatan itu datangnya dari Allah.

Ibu bapa, suami, isteri, sahabat handai dan siapa saja yang mengasihi dan mencintai kita, hakikatnya itu semuanya datang dari Allah. Kebaikan, kemewahan dan kecintaan yang diberikan itupun atas rahmat dan kasihan belas Allah pada kita. Sehingga Allah izinkan makhluknya yang lainnya cinta pada kita. Walhal Allah boleh bila-bila masa menarik balik rasa itu dari hati orang-orang tadi kalau Allah mahu.

Allah yang menciptakan kita makhluk-Nya, kemudian diberinya kita berbagai-bagai nikmat seperti sihat, gembira, dan macam-macam lagi. Samada masa kita ingat pada-Nya ataupun masa kita lalai, tetap diberi-Nya nikmat-nikmat itu. Begitulah, kebaikan Allah pada kita terlalu banyak sebagaimana firman-Nya: yang bermaksud:

Kalau kamu hendak menghitung nikmat-nikmat Allah, nescaya kamu tak terhitung.”

Besar sungguh jasa Allah dari menciptakan, menghidupkan dan memberi rezeki, suami, isteri, rumah dan macam-macam lagi yang dengannya kita boleh lalui kehidupan dengan aman bahagia. Alangkah biadapnya kita kalau segala pemberian Allah itu kita ambil tapi lupa untuk ucapkan terima kasih, lupa pada yang memberi. Walhal, Allah boleh saja menyusah dan menyenangkan kita dengan kehendaknya.

Oleh itu orang yang betul kenal dan beradab, dia malu pada Allah. malah kerana malunya itu dia tidak nampak yang lain lebih hebat dari Allah. Cintanya tertumpu pada Allah, dan penyerahan diri pada Allah sungguh-sungguh. Setiap saat menanggung rindu lalu masanya dihabiskan untuk berbisik-bisik dengan kekasihnya. Sehingga kerana terlalu mendalam cinta pada Tuhan ada hamba Allah yang berkata, “Wahai Tuhan, aku mencintai Engkau bukan kerana takutkan neraka-Mu. tapi kerana Zat-Mu, ya Allah. Aku rela masuk neraka kalau itulah kemahuan-Mu.”

Itulah rintihan hati seorang wali perempuan Rabiatul Adawiyah dalam munajatnya dengan Allah. Dia menyatakan dua cinta tidak boleh duduk dalam satu hati. Bila cinta Allah sudah penuh dalam hatinya, maka tidak ada tempat lagi untuk cinta selain dari itu.

Ada orang mangatakan: “Jika kau berikan hatimu ataupun cintamu pada manusia nescaya dia akan merobek-robekkannya. Tapi kalau hati yang pecah itu diberikan kepada Allah nescaya dicantum-cantumkan-Nya. Ertinya cinta dengan Allah pasti berbalas. Dan Allah tidak membiarkan orang yang dicintai-Nya menderita di akhirat.”

Jadi seorang yang bijak dan beradab akan meletakkan kecintaan yang besar pada Allah, pada Rasulullah dan barulah pada makhluk-makhluk lain di samping-Nya. Itulah perletakan cinta yang betul dan menguntungkan di dunia dan juga di akhirat. Itulah dia cinta kita pada Allah swt yang patut kita letakkan.

Erti Pernikahan

Pernikahan itu adalah salah satu anugerah dan nikmat yang dikurniakan oleh Allah SWT kepada hamba-hambaNya, khususnya kepada kita iaitu umat Rasulullah SAW. Pernikahan merupakan jalan yang sah lagi diredhai oleh Allah SWT bagi menghalalkan hubungan antara lelaki dan perempuan.

Adalah merupakan fitrah manusia yang sihat bahawa seorang lelaki akan tertarik kepada perempuan, dan begitulah sebaliknya. Maka, apabila telah wujud rasa suka dan cinta seorang lelaki kepada seorang perempuan, syariat Islam telah menyediakan pernikahan sebagai jalan memanifestasikan kecenderungan dan kecintaan yang wujud di antara dua insan tersebut.

Firman Allah SWT yang lebih kurang maksudnya:

“Dan di antara tanda-tanda (kebesaran)-Nya ialah Dia menciptakan pasangan-pasangan untukmu dari jenismu sendiri, agar kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya, dan Dia menjadikan di antaramu rasa kasih dan sayang. Sungguh, pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda bagi orang-orang yang mengetahui.”
(Surah Ar-Ruum, ayat ke-21)


Sememangnya fitrah seseorang lelaki akan menyukai perempuan, dan seseorang perempuan akan menyukai lelaki. Rasa suka, cinta, dan cenderung itu adalah fitrah yang tidak boleh dinafikan malah tidak perlu dinafikan. Apa yang penting ialah perasaan itu haruslah disalurkan dan dimanifestasikan dengan cara yang halal dan baik.

Imam Al-Ghazali menyatakan bahawa cinta itu adalah kecenderungan jiwa kepadanya (kepada sesuatu yang dicintai itu) kerana keadaannya yang merupakan suatu kenikmatan kepadanya. Semakin bertambah kenikmatan, semakin bertambahlah kecintaan.

Allah SWT melengkapkan manusia dengan pancaindera yang dengannya manusia dapat merasai kenikmatan dan kelazatan dalam perkara yang disukai dan dicintai. Dalam salah sebuah hadith yang dipetik oleh Imam Al-Ghazali di dalam Ihya’ ‘Ulumuddin;

Rasulullah SAW bersabda yang lebih kurang maksudnya:

“Tiga hal dari duniamu yang dijadikan aku menyukainya, yakni: wangi-wangian, wanita, dan kesejukan hatiku dalam solat.”

Maka, kesukaan yang diwujudkan antara seorang lelaki dan perempuan itu, haruslah disatukan melalui jalan pernikahan. Sudah tentu, pernikahan itu ada syarat-syaratnya dan adab-adabnya. Adab-adab dalam pernikahan perlu diberikan perhatian yang teliti kerana pernikahan membawa erti yang cukup besar. Antara tujuan pernikahan adalah bagi menghalalkan perhubungan antara seorang lelaki dan perempuan. Segala batas pergaulan antara lelaki dan perempuan, dari segi pandangan, sentuhan, mahupun pendengaran, diangkat melalui pernikahan. Namun, erti pernikahan yang sebenar tidaklah sekecil itu.

Pada hari ini, apabila pernikahan itu difahami hanya dalam konteks menghalalkan perhubungan antara seorang lelaki dan seorang perempuan, maka kita dalam melihat banyaknya masalah dalam rumahtangga dan kehidupan berkeluarga. Antara erti yang paling besar melalui pernikahan adalah pernikahan ini merupakan suatu ibadah, yang dapat membantu kehidupan beragama seseorang itu. Dalam salah sebuah hadith, Rasulullah SAW menerangkan betapa besarnya erti pernikahan dalam konteks melengkapkan agama seseorang itu.

Sabda Rasulullah SAW yang lebih kurang maksudnya:

“Barangsiapa yang telah dikurniakan oleh Allah dengan isteri yang solehah, maka ia telah dilengkapkan sebahagian daripada agamanya. Maka, bertaqwalah kepada Allah untuk sebahagian yang lain itu.”
(Hadith Riwayat At-Tabrani dan Al-Hakim dan dinyatakan sahih sanadnya)

Dalam matan yang lain, disebut bahawa pernikahan itu melengkapkan separuh daripada agama, dan hendaklah bertaqwa kepada Allah untuk separuh lagi. Justeru, hal ini seharusnya menggambarkan kepada kita betapa melalui jalan pernikahan itu dapat melengkapkan sebahagian besar daripada agama. Hal tersebut, sudah tentu berkait rapat dengan maksud dan hikmah pernikahan yang lain.

Antaranya, melalui pernikahan kelangsungan hidup manusia sebagai manifestasi tanggungjawab khalifah dapat dipastikan berlaku. Melalui pernikahan juga akan dapat meneruskan kehidupan manusia, melalui anak-anak yang dilahirkan. Anak-anak yang dilahirkan itu akan lahir sebagai umat Rasulullah SAW. Maka, apabila terdidik pula anak-anak itu dengan baik menjadi anak yang soleh dan solehah, berbanggalah Rasulullah SAW dengan bilangan umat baginda yang banyak. Ibubapa akan mendapat kebaikan, dan masyarakat akan mendapat manfaat.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:

“Kahwinilah olehmu wanita yang pencinta (sangat mencintai suami dan anak-anak) dan peranak (subur). Maka sesungguhnya aku bermegah-megah dengan banyaknya kamu (umat Rasulullah) itu terhadap nabi-nabi yang lain di hari kiamat.”
(Hadith Riwayat Ahmad dan Ibnu Hibban)

Pernikahan juga adalah merupakan perkara yang akan dapat menenangkan jiwa, serta membantu proses untuk meningkatkan kualiti kerohanian seseorang. Hal ini demikian kerana melalui jalan pernikahan akan lebih memelihara kehormatan serta kesucian jiwa seseorang itu. Hati akan lebih tenang kerana sesebuah pernikahan yang baik itu akan dikurniakan oleh Allah SWT dengan ‘Mawaddah wa Rahmah’, yakni rasa kasih dan sayang.

Selain daripada itu, pastinya adalah lebih mudah bagi seseorang yang telah berkahwin untuk memelihara diri daripada melakukan dosa dan maksiat, termasuklah maksiat hati. Apabila seseorang itu lebih mampu memelihara dirinya daripada maksiat, maka lebih mudahlah untuk seseorang itu memberikan penumpuan kepada ibadah dan usaha mendekatkan diri kepada Allah SWT.

Sabda Rasulullah SAW yang lebih kurang bermaksud:

“Barangsiapa yang telah merasa sanggup (mampu) untuk berumahtangga, maka hendaklah ia bernikah. Sesungguhnya nikah itu lebih melindungi penglihatan dan lebih memelihara kehormatan. Dan sesiapa yang belum sanggup (mampu), hendaklah dia berpuasa, kerana puasa itu dapat mengurangkan nafsu syahwat.”
(Hadith Riwayat Bukhari)


Maka, apa yang penting untuk difahami adalah bahawa pernikahan itu merupakan salah satu cara untuk meningkatkan kualiti ibadah, serta seharusnya menjadikan seseorang itu lebih dekat kepada Allah SWT. Hal ini demikian kerana pada hakikatnya, pernikahan itu sendiri adalah merupakan satu kurniaan yang besar daripada Allah SWT kepada hamba-Nya.

Bukankah jodoh itu ketentuan Allah? Oleh sebab itulah kita dapat melihat pada hari ini, begitu ramai orang yang bercinta selama bertahun-tahun lamanya, tetapi akhirnya tidak sampai kepada pernikahan. Ada juga yang bercinta begitu lama, akhirnya menikah jua. Ada juga yang berkenalan hanya seketika, kemudian terus mendirikan rumahtangga.

Keadaan-keadaan tersebut seharusnya memberikan kepada kita suatu pengertian bahawa soal jodoh bukanlah terletak kepada usaha manusia, tetapi adalah merupakan ketetapan dan ketentuan Allah SWT. Usaha manusia itu hanyalah sebagai sebab. Maka, bagi sesiapa yang setelah menikah dengan seseorang itu, semakin jauh hatinya daripada mengingati Allah serta beribadah kepada-Nya, bukankah itu namanya kufur nikmat?

Kerana erti syukur itu, adalah apabila kita menghargai pemberian dan kurniaan daripada Allah SWT untuk lebih mendekatkan kita kepada-Nya. Justeru, adalah penting juga untuk difahami bahawa di sebalik kenikmatan dan faedah pernikahan, terdapat risiko dan cabaran yang seandainya seseorang itu lalai dalam menjalankan tanggungjawabnya, khususnya tanggungjawab kepada Allah dan kepada Rasulullah, maka pastinya seseorang itu akan mudah terjerumus dan terperangkap dalam hal-hal yang tidak baik yang hadir bersama sesebuah pernikahan.

Imam Al-Ghazali mengingatkan tentang hal ini di dalam Ihya’ ‘Ulumuddin. Antara kesusahan dan cabaran yang akan hadir bersama pernikahan adalah untuk mencari nafkah buat keluarga daripada sumber yang halal. Hal tersebut adalah merupakan kewajipan bagi seorang suami. Selain daripada itu, antara kemudaratan paling besar apabila seseorang itu lalai dalam kehidupan berkeluarganya adalah kelalaian daripada zikir kepada Allah SWT dan persiapan menuju akhirat.

Kesibukan duniawi, kesibukan menguruskan hal keluarga, boleh sampai melalaikan seseorang itu daripada mengingati Allah SWT. Kesusahan dalam mencari nafkah, boleh sehingga mewujudkan sifat bakhil. Tuntutan kehendak dan keperluan isteri dan keluarga, boleh membawa kepada kefakiran, yang akhirnya boleh membawa seseorang itu kepada kebinasaan.

Imam Al-Ghazali memetik sebuah hadith Rasulullah SAW sebagai peringatan, yang kira-kira maksudnya:

“Akan datang pada manusia suatu zaman di mana lelaki binasa di tangan isterinya, kedua orang tuanya, dan anaknya. Mereka mencelanya dengan kefakiran dan membebaninya dengan sesuatu yang tidak mampu dipikulnya. Maka ia memasuki tempat-tempat yang akan menghilangkan agamanya. Lalu ia binasa.”

Justeru, adalah sangat penting bagi seseorang itu untuk meningkatkan keimanan dan ketaqwaan kepada Allah SWT, serta memahami dan menyikapi pernikahan itu dalam erti dan konteks ibadat yang luas. Kecintaan seorang suami kepada isteri, mahupun kecintaan seorang isteri kepada suami, haruslah jangan sampai melalaikan kecintaan yang lebih berhak. Kecintaan kepada Allah dan Rasulullah itu sudah tentu adalah yang paling utama.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:

“Tidaklah seseorang di antara kamu beriman sehingga ia menjadikan Allah dan Rasul-Nya lebih ia cintai daripada keluarganya, hartanya, dan manusia seluruhnya.”

Apabila seseorang itu mencintai keluarganya, hartanya dan dunianya lebih daripada kecintaan kepada Allah SWT dan Rasulullah SAW, maka sudah tentu Allah akan menyerahkan seseorang itu untuk diurus dan diaturkan kehidupannya oleh dunianya. Namun, apabila seseorang itu menjadi kekasih Allah SWT dan Rasulullah SAW, maka kehidupannya diatur dan diurus oleh Allah SWT.

Bukankah Allah itu sebaik-baik pengurus? Bukankah Allah itu sebaik-baik pembantu dan penolong? Sungguh, sebaik-baik tempat bergantung hanyalah Allah!