Thursday, March 25, 2010

Hairan saya, macam mane boleh terbalik ni....sila betulkan balik

Marilah kita bermuhasabah atau menilai dan menghitung kembali tentang amalan harian kita. Kadang-kadang kita akan dapati amalan kita adalah terbalik atau bertentangan dari apa yang patut dilakukan dan dituntut oleh Islam. Mungkin kita tidak sedar atau telah dilalaikan atau terikut- ikut dengan budaya hidup orang lain. Perhatikan apa yang dipaparkan di bawah sebagai contoh amalan yang terbalik:-

1. Amalan Kenduri ArwahBeberapa malam yang dilakukan oleh keluarga simati selepas sesuatu kematian (malam pertama, kedua, ketiga, ketujuh dan seterusnya) adalah terbalik dari apa yang dianjurkan oleh Rasulullah di mana Rasulullah telah menganjurkan jiran tetangga memasak makanan untuk keluarga simati untuk meringankan kesusahan dan kesedihan mereka. Keluarga tersebut telah ditimpa kesedihan, terpaksa pula menyedia makanan dan belanja untuk mereka yang datang membaca tahlil. Tidakkah mereka yang hadir makan kenduri tersebut khuatir kalau-kalau mereka termakan harta anak yatim yang ditinggalkan oleh simati atau harta peninggalan simati yang belum dibahagikan kepada yang berhak menurut Islam?

2. Kalau Hadir Ke Kenduri Walimatul Urus (Kenduri Kahwin) Orang kerap salam berisi (hadiah wang yang diberi semasa bersalam). Kalau tak ada duit nak dikepit dalam tangan, maka segan ia nak pergi makan kenduri.Tetapi kalau ia menziarah orang mati, tidak segan pula salam tak berisi.Sepatutnya kalau menziarah keluarga si matilah kita patut memberi sedekah. Kalau ke kenduri kahwin, tak bagi pun tak apa kerana tuan rumah panggil untuk diberi makan bukan untuk ia menambah pendapatan.

3. Ketika Menghadiri Majlis Pemimpin Negara Kita berpakaian cantik kemas dan segak tetapi bila mengadap Allah baik di rumah mahu pun di masjid, pakaian lebih kurang saja bahkan ada yang tak berbaju. Tidakkah ini suatu perbuatan yang terbalik.

4. Kalau Menjadi Tetamu Di Rumah Orang Dan Di Beri Jamuan,Kita rasa segan nak makan sampai habis apa yang dihidangkan kerana rasa segan dan malu, sedangkan yang dituntut dibanyakkan makan dan dihabiskan apa yang dihidang supaya tuan rumah rasa gembira dan tidak membazir.

5. Kalau Bersolat Sunat

Di masjid amat rajin, tapi kalau di rumah, sangat malas. Sedangkan sebaik-baiknya solat sunat banyak dilakukan di rumah seperti yang dianjurkan oleh Rasulullah untuk mengelakkan rasa riak.

6. Bulan Puasa Adalah bulan untuk mendidik nafsu termasuk nafsu makan yang berlebihan tetapi kebanyakan orang mengaku bahawa dalam carta, perbelanjaan setiap rumah orang Islam akan kita dapati perbelanjaan di bulan puasa adalah yang tertinggi dalam setahun. Sedangkan sepatutnya perbelanjaan di bulan puasa yang terendah. Bukankah terbalik amalan kita?

7. Kalau Nak Mengerjakan Haji, Kebanyakan orang akan membuat kenduri sebelum bertolak ke Mekah dan apabila balik dari Mekah tak buat kenduri pun. Anjuran berkenduri dalam Islam antaranya ialah kerana selamat dari bermusafir, maka dibuat kenduri, bukan kerana nak bermusafir, maka dibuat kenduri. Bukankah amalan ini terbalik?Atau kita mempunyai tujuan lain.

8. Semua Ibubapa Amat Bimbang Kalau-Kalau Anak Mereka Gagal Dalam Periksa. Maka dihantarlah ke kelas tuisyen walau pun banyak belanjanya.Tapi kalau anak tak boleh baca Quran atau solat, tak bimbang pun bahkan tak mahu hantar tuisyen baca Quran atau kelas khas mempelajari Islam. Kalau guru tuisyen sanggup dibayar sebulan RM20.00 satu pelajaran 8 kali hadir tapi kepada Tok Guru Quran nak bayar RM15.00 sebulan 20 kali hadir belajar pun menggeletar tangan.Bukankah terbalik amalan kita? Kita sepatutnya lebih bimbang jika anak tidak dapat baca Al Quran atau bersolat dari tidak lulus periksa.

9. Kalau Bekerja Mengejar Rezeki Allah Tak Kira Siang Malam, Pagi Petang, Mesti pergi kerja. Hujan atau ribut tetap diharungi kerana hendak mematuhi peraturan kerja. Tapi ke rumah Allah (masjid) tak hujan, tak panas, tak ribut pun tetap tak datang ke masjid. Sungguh tak malu manusia begini, rezeki Allah diminta tapi nak ke rumah_Nya segan dan malas.

10. Seorang Isteri Kalau Nak Keluar Rumah Sama ada dengan suami atau tidak, bukan main lagi berhias. Tetapi kalau duduk di rumah, masyaAllah. Sedangkan yang dituntut seorang isteri itu berhias untuk suaminya, bukan berhias untuk orang lain. Perbuatan amalan yang terbalik ini membuatkan rumahtangga kurang bahagia. Cukup dengan contoh-contoh di atas. Marilah kita berlapang dada menerima hakikat sebenarnya. Marilah kita beralih kepada kebenaraan agar hidup kita menurut landasan dan ajaran Islam yang sebenar bukan yang digubah mengikut selera kita. Allah yang mencipta kita maka biarlah Allah yang menentukan peraturan hidup kita.

Tuesday, March 9, 2010

Kahwin Semasa Belajar


“Ustaz, saya buntu memikirkan bagaimanakah caranya untuk melembutkan hati bapa saya yang degil, enggan membenarkan saya berkahwin semasa belajar. Sedangkan kami sudah bersedia dan ayah pun ilmu agamanya bukan gitu-gitu,” keluh seorang pelajar kepada saya.

“Pujuk dulu. Kalau ayah tak setuju, berhenti sebulan dua. Kemudian tanya lagi,”, saya memberikan cadangan.

“Kalau tak setuju juga?” soalnya.

“Berhenti dua tiga bulan, kemudian tanya lagi,” saya meneruskan ‘nasihat’.

“Kalau macam itu, sempatlah saya habis belajar dibuatnya!” rungut pelajar itu, bosan dengan nasihat saya.

“Baguslah. Itulah trick ustaz!” saya ketawa.

MALAS

“Ustaz macam malas nak beri nasihat sahaja gayanya,” duga beliau.

“Memang malas pun. Banyak kali sangat cerita yang sama. Kenapa tiba-tiba sahaja ramai yang kahwin awal masa belajar setahun dua ni?” saya berterus terang.

“Eh, kenapa pula? Ustaz tak setuju ke pelajar kahwin awal? Bukan sunnah ke kahwin awal ni?” tanya beliau. Nadanya seperti tidak berpuas hati.

“Kahwin itu sunnah. Kahwin awal itu, terserah. Mungkin bagus mungkin tidak. Bergantung kepada keadaan,” saya melangsaikan penjelasan.

Beliau terdiam.

Mungkin faham dengan kebosanan saya untuk menyambung bicara tentang isu ini.

Saya tidak pernah menafikan faedah berkahwin awal. Banyak bagusnya.

Cepat dapat sakinah.

Cepat serba serbinya.

PILIHAN PERIBADI

Tetapi jika saya diberi pilihan, berkahwin semasa belajar dan berkahwin selepas habis belajar, tanpa ada apa-apa situasi yang mendesak, maka saya akan memilih dan mencadangkan pilihan berkahwin selepas habis belajar.

“Wah, kenapa pula ustaz?” tanya seorang sahabat ketika saya berprogram di luar negara.

“Idea ini kontroversi. Dan ia khusus untuk pelajar di luar negara macam kalian sahaja. Dalam negara, ustaz tak komen apa-apa setakat ini,” saya menjawab.

“Idea apa?” soal beliau lagi. Bersemangat sekali mahu mendapatkan jawapan.

Kahwin awal ini boleh menjadikan kita lembab!” saya memberikan kenyataan.

“Haaa! Ini sudah jadi panas ni ustaz. Kahwin melembabkan? Kali pertama saya dengar. Ramai yang marah nanti ni,” katanya.

“Itu laaa. Tanya lagi. Sebenarnya hal ini berbalik kepada nature seseorang,” saya menyambung jawapan.

Nature yang bagaimana, ustaz?” soalnya lagi.

“Kalau dia seorang yang tidak adventurous, maka eloklah kahwin awal. Daripada melangut, termenung, mengulang rutin setiap kali musim belajar dan musim cuti, elok benarlah dia berkahwin. Tapi kalian duduk di luar negara, banyak perkara yang boleh diteroka, tengok dunia, pergi merantau, cabar diri! Kalau sudah berumahtangga, apatah lagi sudah beranak pinak, maka sulit sekali untuk semua benda ini nak dibuat,” saya meneruskan jawapan.

Beliau mengangguk. Rakan-rakan yang lain pun tersenyum.

withamad

Diskusi panas bersama Amad di pagi itu!

PELUANG SEKALI SEUMUR HIDUP

Peluang belajar di luar negara bukan semua orang berpeluang merasainya. Malah jika belajar di dalam negara sekali pun, peluang menuntut di Menara Gading bukan peluang yang sebarangan. Usia awal 20′an ini adalah peluang yang besar untuk kita mencabar diri. Meneroka dan mencari pengalaman kehidupan.

Itu menjadi sebab utama, mengapa saya tidak langsung mempertimbangkan idea berkahwin semasa belajar.

Bukan tidak terusik hati ini, melihat seorang demi seorang teman berumahtangga. Tambah-tambah pula di musim cuti musim panas. Arab kahwin, Melayu kahwin, semua kahwin. Minggu ini makanmansaf, minggu depan nasi beriyani dengan ayam masak merah!

Tetapi pilihan berkahwin semasa belajar, bukan untuk saya.

Ya, memang zaman belajar adalah untuk belajar. Tetapi definisi belajar itu luas. Bagi yang meletakkan pembelajarannya adalah terfokus kepada kuliah dan pengajian yang formal sahaja, maka fokuslah kepada semua itu dan berkahwin semasa belajar mungkin bisa menambah keelokan hidup belajar begitu.

paris067

Namun bagi manusia ‘bertahi lalat’ di tapak kaki seperti saya, zaman belajar itu adalah satu-satunya peluang untuk saya meluaskan horizon kehidupan. Mengembara dengan bebas ke mana-mana sahaja, secara spontan, dengan belanja yang kecil, bukan untuk melancong, tetapi untuk belajar tentang kehidupan.

Segala pengalaman yang saya perolehi dari kembara itulah yang menjadikan saya sebagai SAYA pada har ini. Saifulislam.Com yang saya coretkan hampir satu artikel sehari di musim-musim puncaknya, juga adalah hasil KEMBARA itu. Dan saya tidak dapat membayangkan kembara untuk misi dan visi begitu berlangsung dalam keadaan saya berkahwin dan beranak pinak.

Kerana sifat adventurous yang sama itu jugalah saya terpelanting ke bumi Eropah. Di sana, kebebasan semasa belum berumahtangga itu saya gunakan sepenuhnya untuk memberi dan menerima pada kehidupan di perantauan yang pengalamannya tidak mungkin dapat dibayar dengan wang ringgit.

SARANAN MENGEMBARA

Aktiviti mengembara dianggap sebagai suatu bentuk pembelajaran yang sangat tinggi nilainya bagi sesetengah orang. Kembara itulah yang membuka matanya, membuka tempurung fikirannya, dan belajar mengenal manusia sebagai sasaran ilmu dan teori. Mengenal manusia bukan boleh sekadar membacanya di kertas, sebaliknya ia menuntut pergaulan, interaksi, komunikasi, menikmati kemanisannya, dan menyabarkan diri terhadap kesakitan akibatnya.

Mengembara itu saranan Allah:

30_42

Katakanlah: “Mengembaralah kamu di muka bumi kemudian lihatlah bagaimana kesudahan orang-orang yang silam; kebanyakan mereka adalah orang-orang musyrik” [al-Room 30: 42]

Saranan yang sama disebut berulang kali oleh Allah SWT di dalam surah aal-’Imraan [3: 137], al-An’aam [6: 11], al-Nahl [16: 36], al-Naml [27: 69] dan al-’Ankaboot [29: 20]. Para Nabi dan Rasul mengembara, para sahabat Nabi SAW juga bertebaran di serata dunia, alim ulama’ mengembara dan sekalian mereka yang hidupnya ada visi dan misi besar, akan mengembara.

Kembara itu tidak terikat kepada idea merentas sempadan. Mengembara itu adalah perjalanan seorang manusia yang keluar dari zon selesa kepada zon cabaran, keluar daripada kebiasaan kepada dunia baru, keluar dari rutin seharian, kepada mencari mutiara hikmah daripada sebuah kehidupan, dan semua itu sangat sinonim dengan penuntut ilmu zaman berzaman.

BAGI YANG TIDAK

Namun, tetap aktiviti mengembara itu hanya menjadi keghairahan segelintir kita. Justeru bagi segelintir yang lain, mengembara diterjemahkan sebagai membuang masa dan harta, lagha dan tiada kepentingannya.

Terpulang…

Akan tetapi, biar pun seseorang itu tidak mengembara di usia mudanya, dia mempunyai pelbagai aktiviti berkaitan dakwah, tarbiyah, menuntut ilmu dan 1001 cabang-cabang aktivisma siang dan malam yang wajar dimanfaatkan sebanyak-banyaknya. Justeru, menangguhkan seketika plan untuk berkahwin muda, tidak merugikan apa-apa. Ia bukan soal halal haram, tetapi soal mencari yang terbaik dalam hidup.

Tambahan pula dengan demonstrasi ketidak matangan yang dipamerkan oleh segelintir mereka yang merancang untuk berkahwin muda ini tatkala menyatakan keinginan mereka. Tidak berani bersemuka dengan ibu bapa, baru sekali cuba sudah kecewa dan berputus asa, yang mana semua ini menunjukkan kelemahan jati diri yang perlu dirawat sebelum menggalas tanggungjawab perkahwinan. Rawatan itu sebahagiannya berkait rapat dengan pendedahan diri kepada realiti kehidupan.

Mengembara dan beraktivisma adalah salah satu wasilah besarnya.

SUDAH BERSEDIA

Ketika saya mengambil keputusan untuk berumahtangga, salah satu perkara yang menjadi pertimbangan saya adalah pada kesediaan diri untuk menamatkan kembara.

Bersediakah saya?

Sudah puaskah saya berkelana?

Di pertengahan usia 20′an, beberapa kejayaan hidup yang saya capai selepas 1001 mehnah kehidupan, terasa hambar apabila kejayaan itu tidak dapat dikongsi bersama. Sebagaimana manusia paling jahat dihukum penjara agar terseksa oleh sebuah kesunyian, perasaan sunyi itulah yang menggerakkan diri saya untuk mencari teman pelengkap hidup.

Berkahwin, adalah titik pengubah corak hidup saya.

Memang benar langkah kaki menjadi pendek, kebebasan bergerak dan membuat keputusan spontan sudah tidak mungkin berulang lagi. Tetapi ketika itu, ‘batasan’ yang terbentuk mengiringi sebuah komitmen kepada perkahwinan, bukan lagi menjadi sesuatu kekurangan kerana segalanya sudah tiba pada masanya.

Apa yang ingin saya cari, telah saya cari.

Berumahtangga adalah fasa baru untuk peningkatan hidup dan diri.

northernireland75896

Lepas kahwin pun masih boleh menulis Diari Kembara, cuma lain sedikit catatannya

Di sinilah saya katakan, bahawa jika seseorang itu ada keinginan untuk adventurous di dalam diri, maka berkahwin semasa belajar sesungguhnya akan menjadikan kita lembab. Tetapi jika seseorang itu secara peribadinya adalah seorang yang tidak menjadikan pendedahan diri kepada dunia luar sebagai salah satu agenda yang ada kepentingannya kepada diri, maka keseluruhan artikel ini tidak relevan buatnya.

“Lepas berkahwin pun boleh juga terus aktif, ustaz!” seorang pelajar mencabar teori saya.

“Hai, baru sahaja kita ‘mengumpat’ tentang sahabat-sahabat yang baru berkahwin ni, susah benar nak panggil mesyuarat, kan?” saya mengusik.

Semua ketawa. Bukan mengumpat, tetapi cuba mencari punca.

“Lagi pun, kalau nak travel, kena fikir tiket pasangan, apatah lagi campur anak-anak. Sekali travel, beribu-ribu ringgit jawabnya”, saya menambah.

“Apalah sangat travel tu, nak dibandingkan dengan nikmat beristeri dan menimang cahaya mata!” katanya penuh semangat.

“Idea ana hanya untuk mereka yang sanggup menangguhkan nikmat beristeri dan menimang cahaya mata itu dari mengecapinya pada awal 20′an kepada pertengahan 20′an, kerana ada visi dan misi tertentu”, saya mengulangi pra syarat diskusi tadi.

“Jadi, kesimpulan ustaz, berkahwin awal ini melembabkan orang macam ustaz betul tak?” katanya penuh berani.

“Haha. Betul! Cuma, apa yang dikatakan sebagai ‘orang macam ustaz’ tu, terserah kepada anta mendefinisikannya,” saya mengakhiri perbualan.

NASIHAT PERIBADI

Nasihat peribadi saya kepada adik-adik di bangku pengajian, terutamanya buat mereka yang menuntut di luar negara, gunakanlah peluang semasa belajar ini untuk meneroka kehidupan habis-habisan. Mengembara, mencari pelajaran dari sebuah pengalaman, keluar dari kelompok sebangsa seagama untuk mempelajari realiti, lakukan semua ini pada setiap detik dan masa yang terhad itu.

Justeru, selesaikanlah dulu pengajian sebelum bernikah. Dengan ibu bapa pun mudah cerita, prospek diri sebagai manusia da’i juga banyak kelebihannya.

Mungkin dengan lima tahun penangguhan keinginan berumahtangga itu, membolehkan anda menawarkan lebih banyak bahan perkongsian berupa pengalaman dan kebaikan buat diri, keluarga, masyarakat dan ummah.

Apa yang penting, jangan tergesa-gesa, jangan bertangguh-tangguh.

Berkahwin jangan kerana terikut-ikut.

Taqlid buta dalam beragama mengundang binasa, taqlid buta dalam berumahtangga juga mengundang bencana.

Panas! Panas!

ABU SAIF @ www.saifulislam.com
56000 Kuala Lumpur

Epal Busuk Hadiah Pengantin Baru


Sukar sekali mahu menjentik minda.

Lain yang diungkap, lain benar kefahamannya.

Mengupas sisi-sisi terlindung pada minda anak muda yang merancang untuk berumahtangga, sering menimbulkan reaksi yang lelah. Malah tidak kurang yang mencetuskan isu baru, seperti terhasilnya artikel yang anda sedang baca ini.

Ketika saya mengupas sisi-sisi negatif berkaitan dengan poligami, ada yang cepat membuat kesimpulan bahawa saya menafikan hukum poligami. Anti poligami!

Ketika saya mengupas sisi-sisi negatif berkaitan dengan perkahwinan semasa belajar, ada yang pantas membuat kesimpulan bahawa saya menentang perkahwinan semasa belajar atau kahwin muda. Bahkan tergamak menyimpulkan bahawa saya lebih risaukan pasangan suami isteri bergaduh, berbanding couple yang berzina. Mereka yang memilih untuk berzina, dan menyandarkan zina itu kepada saya!

Keadaan ini menambahkan keyakinan saya bahawa cara kita beragama hari ini penuh dengan konflik bukanlah semasa-mata kerana kekurangan ilmu agama, atau kerana kuatnya pengaruh jahiliah semata, tetapi ia juga banyak disebabkan oleh cara berfikir yang tidak betul. Alat untuk memahami nas dan ajaran agama itu sendiri rosak, justeru melahirkan banyak salah faham biar pun sudah disuluh di bawah terik mentari.

Mengapa tidak difahamkan sahaja, tatkala saya bincangkan tentang kepincangan amalan poligami semasa, kesimpulannya ialah, jika mahu berpoligami ambillah perhatian yang lebih agar kepincangan itu tidak berlaku? Bukankah itu sangat mudah untuk difahami? Mengapa harus memutar kesimpulan kepada kritikan terhadap cara mengamalkan poligami itu, adalah kritikan terhadap poligami itu sendiri? Jika tidak enak bicara tentang sisi negatif yang memerlukan pengurusan, lupakah kepada manfaat yang kita perolehi daripada cara Huzaifah radhiyallaahu ‘anhu mengambil hikmah daripada Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam:

“Orang ramai selalu bertanya kepada Rasulullah sallallahu ‘alayhi wa sallam tentang kebaikan. Sedangkan aku pula selalu bertanya kepada baginda tentang kejahatan, kerana khuatir bertemu dan terjebak dengannya” [Hadith riwayat Muslim]

Ya, itulah penjelasan Huzaifah mengapa sisi-sisi gelap kehidupan umat perlu diketahui. Bukan untuk membunuh harapan, tetapi supaya langkah menjadi lebih kemas ketika mengatur perjalanan menempuh kehidupan.

Anak muda,

Tulisan-tulisan saya tidak sama sekali bermaksud mahu menakut-nakutkan kalian. Kecualilah kalian memang penakut, hingga cicak disangka buaya, cacing disangka ular.

Anda memerhatikan kejayaan rakan-rakan yang berkahwin muda, dan memang ramai yang perkahwinan itu adalah baik buat mereka. Anda bertuah kerana dapat melihatnya. Tetapi saya didatangi oleh mereka yang bermasalah. Mereka yang terkapai-kapai mencari jalan keluar daripada cubaan-cubaan hidup pasca perkahwinan yang melampaui persediaan diri mereka. Masalah mereka itulah yang saya k0ngsikan bersama anda, agar persiapan anda lebih baik daripada mereka yang telah mendahului anda.

Ketika saya menulis artikel KAHWIN SEMASA BELAJAR, ia bukan artikel yang berfungsimembuat keputusan bagi pihak anda. Amat jarang saya membuat keputusan bagi anda atau sesiapa. Sentiasa sahaja, tulisan saya menuntut anda menjadi manusia berfikir. Setelah berhasil untuk berfikir, buatlah keputusan dengan fikiran yang matang.

Saya cuba mengajak anda supaya memikirkan terlebih dahulu beberapa isu yang ditimbulkan. Supaya nanti, sama ada anda membuat keputusan untuk berkahwin semasa belajar atau tidak, yang penting anda sudah mempertimbangkan isu-isu yang saya ketengahkan. Apa yang penting kepada anda mungkin berkahwin atau menangguhkan kahwin, tetapi yang penting bagi saya di dalam artikel itu ialah, anda sudah mempertimbangkan isu yang diketengahkan, dengan sebaiknya. Soal keputusan akhir, andalah yang menentukannya.

Apa yang terbaik ialah berkahwin selepas berfikir, juga menangguhkan perkahwinan selepas berfikir. Apa yang buruk pula ialah berkahwin sebelum habis berfikir, atau selepas berkahwin anda mula berfikir yang bukan-bukan.

Demikian juga, tatkala saya menulis artikel JANGAN SEKADAR SYURGA DUNIA, sekali lagi saya menekankan perkara yang sama. Saya tidak sama sekali bermaksud, jangan kahwin awal kerana nanti mungkin dilanda jemu. Tidak sama sekali. Sama ada berkahwin awal atau berkahwin lewat, jemu itu boleh timbul dan selalu timbul.

Tetapi orang yang sudah berfikir panjang dan mendalam sebelum berkahwin, tidak akan bertindak bodoh semasa menguruskan kejemuan yang dialaminya. Apa yang beliau fikirkan semasa membuat keputusan untuk bernikah dahulu, menjadikannya bersedia dan menempuh tempoh jemu itu dengan sabar, teliti dan bukan keanak-anakan.

Saya ditempelak, kerana dianggap lebih rela membiarkan pasangan terdesak di kalangan mahasiswa berzina, berbanding dengan membantu mereka menyegerakan perkahwinan. Sungguh hodoh persepsi itu.

Saya ingin bertanya, siapakah yang berani menjamin, orang sudah berkahwin tidak akan berzina? Justeru anda begitu idealistik malah simplistik pada menganggap perkahwinan terus sahaja boleh menyelesaikan gelora jiwa si anak muda.

TERUK SANGATKAH?

Sepanjang 2009, ada dua suami dan 4 isteri menghubungi saya. Kesemua mereka adalah mahasiswa dan mahasiswi yang masih di bangku pengajian dan sudah berumahtangga. Mengadu masalah jemu dengan pasangan, mencetuskan rasa bimbang yang mendalam pada diri saya.

Lebih menyedihkan, ada pasangan yang suaminya masih berjiwa PSP, tiada keghairahan terhadap anak yang lahir. Ada isteri yang memberikan anak kecil minum susu sejuk kerana tidak tahu susu badan yang dibekukan di peti ais perlu dihangatkan terlebih dahulu sebelum diberi kepada anak. Semuanya gara-gara kurang persediaan dan kurang bersungguh mencari pengetahuan yang diperlukan.

Harganya apa?

Talaq yang menggegarkan arasy?

Atau nyawa anak kecil yang malang itu?

Jadi, penyelesaiannya bukan jangan kahwin, atau nak kahwin juga. Sebaliknya, berfikirlah dengan cermat sebelum apa-apa keputusan dibuat. Kemudian buat persiapan dengan bersungguh-sungguh. Bermula dengan mematangkan fikir daripada rentak seorang anak muda atau pelajar, kepada suami dan isteri, ibu dan bapa, yang sinonim dengan tanggungjawab dan peranan.

SEBUAH KISAH

Suatu hari, Jalaluddin al-Rumi menceritakan bagaimana seorang lelaki tua yang sedang menaiki kuda, ternampak seorang anak muda sedang tidur lena di bawah sebuah pohon pada tengah hari yang panas terik. Begitu lena, hingga mulutnya terngaga.

Sungguh mengejutkan, tatkala lelaki itu melihat seekor ular berbisa sedang merayap dan seterusnya masuk ke mulut si anak muda dan terus ke perutnya. Dengan pantas, lelaki itu mengambil sebatang kayu dan terus membelasah lelaki itu hingga beliau terjaga kesakitan, terkejut, trauma dan kebingungan.

“Makan epal busuk itu kalau mahu selamat!” kata si lelaki tua.

“Jangan pukul saya!” anak muda itu cuba melarikan diri.

Si tua mengejarnya dan terus memukul.

“Makan epal busuk itu kalau mahu selamat!” tegas lelaki tua itu lagi.

Si anak muda yang kesakitan menjamah epal busuk yang bertaburan di atas tanah, menahan bau busuk epal itu, yang sesetengahnya berulat.

“Jangan berhenti. Makan lagi!” tegas si tua misteri itu.

Akhirnya si anak muda yang sudah tidak tahan dengan rasa epal busuk dan baunya yang mengembangkan tekak, beliau termuntah-muntah. Alangkah terkejutnya beliau, keluar bersama muntah epal busuk itu seekor ular berbisa yang nyaris-nyaris meragut nyawa si anak muda yang alpa.

“Maafkan saya!” si anak muda memeluk lelaki tua itu.

Sangkanya si tua itu lelaki gila. Memukulnya dan memaksa beliau memakan epal. Bukan epal ranum tetapi epal busuk. Rupa-rupanya ada ular berbisa di perut si anak muda, yang beliau tidak tahu, hanya kerana sifatnya yang alpa dan bermimpi di tengah hari.

Epal busuk itulah yang banyak dalam tulisan orang tua bernama Abu Saif ini!

Supaya tidak meleret panjang, izinkan saya membuat kesimpulan berikut:

CARA YANG SANGAT BERKESAN UNTUK MEMUSNAHKAN KEHIDUPAN MANUSIA IALAH:

  1. Memusnahkan perkahwinan kerana singkat akal dan lemah pertimbangan.
  2. Menolak perkahwinan kerana takut akan memusnahkan perkahwinan kerana singkat akal dan lemah pertimbangan.

Dan kedua-dua itu adalah cara berfikir seperti robot… yang cuba menafsirkan si tua yang masih ‘analog’ ini!

ABU SAIF @ www.saifulislam.com
68000 AMPANG