1) PENDAHULUAN
Setiap individu yang berkahwin mengimpikan satu kehidupan yang bahagia kerana rumahtangga yang bahagia menjadikan penghuni-penghuninya dapat hidup dalam suasana tenang, harmoni dan selesa. Setiap anggota keluarganya saling kasih mengasihi, hormat menghormati dan menjalankan aktiviti-aktiviti rumahtangga dengan penuh kerelaan. Perjalanan hidup sebuah keluarga bahagia didasarkan di atas prinsip saling menjaga dan mengambil berat di antara satu sama lin, sentiasa memberi sokongan semasa menghadapi konflik dan penyelesaian permasalahan. Selain daripada itu, setiap suami isteri dapat meningkatkan lagi potensi diri dan membina hubungan erat dengan orang lain. Di dalam menjalani kehidupan, mereka sentiasa sensitive dengan perubahan serta berupaya menyesuaikan dirinya.
Kebahagiaan hidup sebuah keluarga banyak bergantung kepada persefahaman di dalam menjalinkan perhubungan suami isteri. Kegagalan mereka untuk berbuat demikian akan melahirkan ketegangan dan konflik. Oleh itu tidak mustahil jika dikatakan bahawa krisis adalah suatu perkara lumrah di dalam sebuah rumahtangga walau bagaimana harmoni kehidupan rumahtangga tersebut. Keadaan ini hanya boleh dapat diatasi dengan kebijaksanaan suami dan sokonan daripada isteri yang pengasih.
2) PENGERTIAN KONFLIK RUMAHTANGGA
Merupakan satu keadaan di mana kehidupan suami isteri sentiasa berada di dalam suasana yang tidak harmoni dan berkonflik. Suami isteri saling benci membenci di antara satu sama lain.
Krisis rumahtangga boleh di dapati di dalam keadaan-keadaan :
1. Jelas / Ketara : iaitu suami isteri mudah bertengkar, saling tuduh menuduh, maki hamun dan cepat bercekalan sebaik-baik sahaja dan sesuatu yang tidak kena.
2. Tidak jelas : di mana perselisihan suami isteri tidak dapat dilihat dengan mata kasar dan mereka kelihatan rukun dan damai tetapi sebenarnya kehidupan mereka hambar tidak mesra dan perhubungan yang renggang. Keadaan rumahtangga yang sedemikian selalunya memberi kesan yang mendalam terhadap pertumbuhan jiwa anak-anak.
3) TAHAP-TAHAP KONFLIK DALAM RUMAHTANGGA
Krisis dalam rumahtangga selalunya mengambil masa yang panjang untuk sampai kepada kemuncaknya. Dalam jangka masa yang sama ini dapat dilihat tahap demi tahap berlaku dan suasana menjadi semakin genting jika salah satu pihak / keduanya tidak mengambil sesuatu inisiatif untuk membendongnya. Di antara tahap-tahap atau petanda berlaku krisis di dalam rumahtangga ialah ;
i. Penurunan tahap aktiviti :
Selalu suami atau isteri tidak lagi seaktif biasa, kerja-kerja atau tanggungjawabnya tidak dilaksanakan dengan sempurna, suka termenung dan berfikir.
ii. Tidak dapat berkomunikasi dengan berkesan dengan semua ahli keluarga
Suami isteri tidak boleh merempati dan saling menghormati di antara satu sama lain.
Selalunya mereka akan menhadkan masa untuk berinteraksi seminima yang boleh ataupun hanya sekadar perlu sahaja. Nada suara akan turut berubah, kian menurun atau kerap gunakan bahasa yang kasar dan kesat. Di samping suka menggunakan kata-kata sindiran ataupun perli.
iii. Seringkali menunjukkan tingkahlaku permusuhan terhadap pasangannya
Suami atau isteri saling tuduh menuduh bahawa pasangannya adalah sumber kebosanan atau penderitaan yang dialaminya dan pasangannya juga yang sering menjadi sasaran kemarahan serta suka menentang apa-apa cadangan atau tindakan pasangan.
iv. Kurang keupayaan mengawal emosi sendiri
Di dalam keadaan ini kerap terjadi ketegangan emosi, suka menengking ahli keluarga dan selalu menimbulkan ketegangan dalam perhubungan keluarga.
v. Selalu mengasingkan diri
Pada tahap ini suami atau isteri suka mengasingkan diri (boikot). Di antara mereka berdua tidak lagi bertegur sapa dan segala keperluan diuruskan melalui perantaraan ataupun secara ‘message’ (nota). Mereka selalunya akan tidur berasingan dan kedua-dua pihak dan hakikatnya sudah tidak menjalankan fungsi dan tugas masing-masing walaupun masih tinggal di dalam satu rumah.
vi. Kerap bertengkar
Pertengkaran yang sengit kerap terjadi. Mereka akan bergaduh asal saja bersua muka. Suami isteri sering mencari-cari punca kemarahan pasangan dan segala ketidakpuasan hati diluahkan di samping kata-kata ungkitan. Kadangkala bila kemarahan memuncak akan libatkan masalah keluarga, keturunan dan sebagainya.
vii. Mengambil tindakan yang nekad.
Apabila pergaduhan suami isteri berlaku, kerap kali juga mereka mengambil sesuatu tindakan yang agresif seperti menggunakan kekerasan fizikal terhadap pasangan. Selain daripada itu ada di antara suami isteri yang ambil tindakan keluar rumah atau buat hubungan sulit di luar rumah. Di dalam setengah-setengah keadaan, kedapatan pasangan suami isteri yang berusaha mendapatkan sokongan daripada pihak-pihak lain bagi memperkuatkan (backing) tindakan seperti sokongan ibubapa, saudara mara, kawan-kawan dan sebagainya.
v. Pengaduan
Apabila sesuatu isu yang terjadi di dalam rumahtangga berpanjangan tidak diselesaikan, pihak suami / isteri akan membuat pengaduan kepada pihak-pihak tertentu seperti imam, ketua kampung ataupun ke pejabat agama untuk diambil tindakan sewajarnya terhadap pasangan.
ix. Tuntutan cerai
Kemuncak kepada krisis di antara suami isteri ialah masing-masing akan mengemukakan tuntutan perceraian melalui pejabat Kadi / Mahkamah.
4) KATAGORI KONFLIK RUMAHTANGGA
Krisis rumahtangga boleh berlaku sama ada berpunca daripada pihak suami atau pihak isteri. Oleh itu, kedua-dua pihak yang memainkan peranan dalam mewujudkan sebuah rumahtangga bahagia ataupun menjadikan rumahtangga mereka porak poranda.
1. Krisis yang disebabkan oleh isteri berlaku apabila isteri enggan memenuhi kehendak suami, sering marah, benci serta tidak taat kepada suami. Isteri juga meninggalkan tugas dan kewajipannya serta meninggikan diri serta berlaku curang terhadap suami. Banyak faktor-faktor yang menyebabkan isteri bertindak sedemikian, termasuk faktor pada diri isteri sendiri, suami dan factor-faktor luaran.
a. Faktor diri isteri sendiri meliputi kecantikan diri, kedudukan dan pendidikan.
b. Suami memberi pengaruh yang kuat kepada seorang isteri. Ia meliputi cara pergualan, akhlak dan juga perlaksanaan tanggungjawab. Seringkali hal ini menjadi factor penggerak kepada isteri untuk berfungsi dengan baik di dalam sebuah rumahtangga.
c. Pengaruh luar meliputi rakan atau jiran, media massa dan juga keluarga (mertua, ipar dan sebagainya).
2. Konflik rumahtangga yang berpunca daripada pihak suami terjadi apabila seorang suami bersikap keras, isteri tidak bergaul dengan baik, tidak menjalankan kewajipan terhadap isteri, buat hubungan dengan perempuan lain dan sebagainya.
Di antara faktor-faktor yang mempengaruhi ialah faktor diri dan faktor luaran:-
a. Faktor kepada diri suami sendiri ialah kedudukan, pendidikan dan juga pembawaan diri.
b. Faktor luaran meliputi pergaulan, persekitaran dan keluarga.
5) PUNCA-PUNCA KONFLIK RUMAHTANGGA
Krisis rumahtangga boleh berlaku disebabkan oleh berbagai-bagai faktor. Bagaimanapun ia boleh disimpulkan kepada tiga faktor utama yang membuatkan kegagalan suami isteri untuk bersefahaman dan seterusnya mengakibatkan krisis di dalam rumahtangga.
1. Komunikasi
Kegagalan pasangan suami isteri untuk berkomunikasi dengan berkesan selalunya akan membawa implikasi yang buruk terhadap sesebuah rumahtangga. Komunikasi agresif seringkali terjadi di dalam hubungan suami isteri. Di mana suami isteri memaksa pasangannya menerima sesuatu pendapat. Hal ini kerap menimbulkan reaksi pertelingkahan. Bagaimanapun teknik inilah yang kerap digunakan oleh suami isteri di dalam menyampaikan hasratnya.
Di antara teknik agresif ialah :
a. Paksaan : Memaksa pasangan menerima apa yang dikemukakan dengan menggunakan bahasa yang keras, ugutan dan sebagainya.
b. Menyakinkan : Dengan cara pujuk rayu, berjanji dan sumpah, tujuannya untuk menyakinkan pasangan bahawa untuk kebaikan bersama.
c. Penilaian : Memberi penilaian kepada sesuatu perkara dengan cara merendah-rendahkan pasangan.
d. Melindungi : Tidak menyatakan sesuatu dengan sebenarnya.
e. Menangguhkan : Melengah-lengahkan sesuatu harapan atau permintaan dengan tujuan supaya dilupakan atau sebagai satu dalihan untuk menolak.
f. Menyalahkan orang lain : Berlaku bila seseorang rasa marah dan tidak diketahui sebabnya. Oleh itu, ia mula mencari sasaran untuk melepaskan kemarahan.
2. Tanggungjawab
Pertelingkahan di dalam rumahtangga berlaku bila satu-satu pihak tidak menjalankan kewajipannya dengan sempurna.
Tanggungjawab di dalam rumahtangga meliputi :-
a. Nafkah : Suami tidak disediakan nafkah yang mencukupi kepada anak dan isteri.
b. Tempat tinggal : Tidak menyediakan tempat tinggal yang selesa dan kadang kala tidak menjelaskan sewa dan sebagainya.
c. Kebajikan : Termasuk soal perhatian, kesihatan perubatan, layanan persekolahan anak-anak dan pendidikan kerohanian.
d. Keselamatan : Perlindungan dari segala ancaman luaran dan dalaman.
e. Kasih sayang : Kasih sayang di antara suami isteri perlu sentiasa dipupuk supaya sentiasa mekar dan bersemarak. Jika suami isteri gagal atau tidak berusaha ke arah tersebut ia akan semakin pudar dan berkurangan.
3. Seksual
Seksual di dalam sesebuah perkahwinan merupakan suatu tuntutan biokologikal. Ia juga merupakan terjemahan kepada perasaan cinta dan kasih sayang suami isteri. Oleh itu, hubungan seksual adalah keperluan yang mesti dipatuhi dengan penuh kerelaan di antara suami dan isteri. Kerapkali berlaku krisis rumahtangga bila suami / isteri mengalami masalah seksual seperti :
a. Rendah nafsu atau perbezaan keinginan di antara suami isteri disebabkan oleh penyakit atau kejemuan.
b. Nafsu yang tinggi.
c. Penghindaran seks. Suami isteri sering kali menolak atau mencari helah untuk tidak membuat hubungan seks.
d. Enggan melakukan seks dengan pasangan tetapi dalam masa yang sama berkeinginan untuk melakukannya dengan orang lain.
e. Tidak ada tindakbalas / dingin.
f. Tidak sampai ke kemuncak
g. Keuzuran
h. Ketakutan
i. Takut mengandung
j. Sakit semasa atau selepas melakukan seks.
6) CARA-CARA MENGATASI KONFLIK RUMAHTANGGA
Di dalam sebuah perkahwinan, suami adalah ketua dan pemimpin ke atas semua ahli keluarganya. Hal ini telah disebut dengan jelas oleh Allah SWT di dalam firmannya, yang bermaksud :
“Kaum lelaki adalah pemimpin yang bertanggungjawab ke atas perempuan oleh kerana Allah telah melebihkan kaum lelaki dengan beberapa keistimewaan di atas kaum perempuan dan kaum lelaki membelanjakan sebahagian daripada hartanya.”
(Surah An- Nisa : 4)
Sesuai dengan tanggungjawab dan penghormatan yang begitu tinggi diberikan kepada suami maka beliau berkewajipan untuk mencari jalan bagi mengatasi persoalan-persoalan yang timbul di dalam rumahtangganya, termasuklah bila berlaku krisis dengan penuh hikmah dan kebijaksanaan.
Di antara tindakan-tindakan yang patut dilakukan oleh suami ialah :
a. Suami hendaklah sentiasa sensitif dengan setiap kejadian di dalam rumahtangga.
b. Suami mesti mengkaji dengan teliti sebab-sebab punca insiden.
c. Sebab-sebab kejadian.
Setelah tindakan tersebut dilakukan dan ternyata ia berpunca daripada pihak suami sendiri maka suami mesti mengakui kesilapannya sendiri, buat perubahan tingkah laku. Selain daripada itu suami mesti melaksanakan ssegala tanggungjawab dengan sempurna dan membentuk kepimpinan pada diri suami sendiri. Di samping segala usaha dilakukan suami mesti berdoa dan bertawakal kepada Allah.
Bagaimanapun jika suami mendapati punca masalah adalah daripada faktor luaran suami mesti melakukan tindakan-tindakan berikut :
1. 1. Menasihati isteri supaya hentikan perbuatan.
2. 2. Suami patut ubah keadaan dalam rumahtangga.
3. 3. Adakan sekatan atau kawalan, jika perlu.
4. 4. Suami patut memberi alternatif-alternatif kepada isteri, supaya isteri boleh buat pilihan
i. Jikalau konflik rumahtangga itu berlaku berpunca daripada diri isteri semata-mata bukan dipengaruhi oleh anasir-anasir luaran. Allah SWT telah menggariskan panduan melalui firmannya yang bermaksudnya
“Dan isteri-isteri yang kamu curigai atau bimbang berlaku nusyuznya(derhaka), maka hendaklah kamu (suami) menasihati mereka, dan jika sekiranya mereka berdegil tinggalkan mereka di tempat tidur, dan jika mereka masih berdegil juga pukullah mereka (dengan pukulan yang tidak mencederakan) kemudian jika mereka taat kepada kamu maka janganlah kamu mencari jalan untuk menyusahkan mereka dan ingatlah sesungguhnya Allah Maha Tinggi Lagi Maha Besar.”
(Surah An-Nisa’: 34)
7) MENASIHATI ISTERI
Dalam menghadapi sesuatu permasalahan suami sewajarnya memberi nasihat kepada isteri dengan penuh bijaksana. Nasihat yang diberi meliputi menerangkan hukum dan akibat perbuatan : Memberi contoh-contoh teladan yang boleh diambil iktibar oleh isteri. Suami juga mesti memberi panduan apa yang patut isteri lakukan dan peringatan-peringatan supaya menjadi pegangan isteri. Suami juga hendaklah bersedia memaafkan isteri di atas kesilapan yang dilakukan. Tindakan yang dilakukan oleh suami hendaklah dengan cara yang lembut, sopan dan berperikemanusiaan, sesuai dengan Sabda Rasulullah SAW, maksudnya:
Dari Abi Hurairah r.a.; Katanya, Nabi s.a.w. bersabda ,
“Sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari Khiamat, maka apabila ia menyaksikan sesuatu peristiwa, hendaklah ia menanggapi dengan baik atau diam. Bijaksanalah membimbing wanita kerana wanita itu diciptakan dari tulang rusuk. Dan bahagiannyan yang paling bengkok ialah sebelah atas. Jika engkau berusaha meluruskannya, nescaya ia patah tetapi jika engkau biarkan, ia akan sentiasa bengkok kerana ia bijaksanalah membimbing wanita dengan baik.”
(Riwayat Muslim)
8) MENINGGALKAN TEMPAT TIDUR
Merupakan langkah yang kedua yang disarankan kepada suami untuk bertindak setelah langkah pertama menemui kegagalan. Langkah ini boleh dilakukan dengan cara berikut :
a. Suami tidak melakukan persetubuhan dengan isterinya.
b. Tidur berasingan (berlainan bilik).
c. Tidak bertegur sapa atau bercakap hanya sekadar dengan perlu sahaja
d. Tidur dengan cara membelakangkan isteri
Tempoh bagi suami melaksanakan tindakan ini ialah selama 30 hari (sebulan). Hal ini dikiaskan kepada tindakan yang telah diambil oleh Rasulullah terhadap Safiah apabila Rasulullah marah terhadapnya. Walau bagaimanapun ia boleh dilanjutkan sehingga 4 bulan (120 hari) mengikut keperluan.
Dalam melaksanakan tindakan ini suami tidak boleh meninggalkan rumah dan tidak boleh melampau di dalam tindakannya. Apabila isteri telah kembali taat suami hendaklah memberhentikan semua tindakan dan suami tidak boleh sekali-kali mencari jalan untuk menyusahkan isteri atau membalas dendam.
9) PUKUL
Salah satu langkah yang boleh dilakukan oleh suami terhadap keengkaran isteri setelah langkah pertama dan kedua tidak memberi apa-apa kesan. Tujuan pukulan ialah untuk menyedarkan isteri tentang sikap buruknya serta untuk mengembalikannya ke pangkal jalan. Sabda Rasulullah SAW; maksudnya :
“Hendaklah kamu memukul isteri-isteri kamu apabila mereka mendurhakai kamu tentang perkara yang baik”.
Di dalam melaksanakan langkah ini, syarak telah menerapkan syarat-syarat seperti berikut :
1. Memukul isteri dengan pukulan yang tidak melukakan atau yang boleh meninggalkan sebarang kesan.
2. Tidak memukul di bahagian muka / tempat-tempat yang merbahaya seperti dada.
3. Tidak menggunakan alat-alat yang boleh mencederakan.
Selain daripada itu, suami mestilah bertindak di dalam keadaan yang waras dan tidak sekali-kali dengan mengikut perasaan marah atau dendam. Islam melarang keras suami memukul isteri yang tidak membuat kesalahan. Sebolehnya mengelakkan daripada memukul isteri, sekali pun langkah-langkah terdahulu telah gagal.
10) MELANTIK ORANG TENGAH
Setalah suami melakukan ketiga-tiga langkah terdahulu dan didapati tidak menampakkan apa-apa kesan positif malahan bertambah keingkaran isteri, sedangkan suami masih mengharapkan kebaikan maka suami bolehlah melnatik orang tengah. Ini berdasarkan firman Allah dalam surah An-Nisa’ : 35, maksudnya :
Dan jika bimbangkan perpecahan di antara mereka berdua (suami isteri) maka lantikan orang tengah untuk mendamaikan mereka iaitu seorang dari keluarga lelaki dan seorang dari keluarga perempuan, jika orang tengah itu (dengan ikhlas) bertujuan hendak mendamaikan nescaya Allah akan menjadikan kedua suami isteri itu berpakat iaitu sesungguhnya Allah sentiasa mengetahui lagi di dalam pengetahuannya”.
ii. Konflik yang berpunca daripada pihak suami.
Dalam menghadapi konflik rumahtangga yang berpunca daripada sikap buruk suami, isteri hendaklah bertindak berdasarkan firman Allah SWT, (Surah An-Nisa’ : 128) maksudnya :
Dan jika seorang wanita khuatir akan nusyuz atau sikap tidak acuh dari suaminya, maka tidak apa bagi keduanya mengadakan perdamaian yang sebenar-benarnya, dan perdamaian itu lebih baik (bagi mereka walaupun manusia itu menurut tabiatnya kikir ……..
Daripada ayat di atas, tindakan yang patut dilaksanakan oleh isteri ialah memujuk suami dengan menyatakan bahawa suami sebagai tempat perlindungan isteri dan anak, isteri hendaklah memberi peluang kepada dirinya dan suami untuk meneruskan kehidupan suami isteri di samping meningkat potensi diri bagi menarik minat dan kesedaran suami supaya untuk memberi perhatian terhadap rumahtangga. Di dalam keadaan ini, pihak isteri tidak patut menggalakkan sikap terburu-buru atau mencerca. Suami di atas kesilapannya dan memohon pertolongan daripada Allah SWT.
Walau bagaimanapun dalam keadaan tertentu isteri perlu mendapatkan bantuan dan nasihat daripada pihak tertentu seperti keluarga sahabat atau orang tengah yang dilantik untuk membaiki keadaan rumahtangga yang kian meruncing. Kemuncak daripada krisis rumahtangga mungkin isteri perlukan mengambil sesuatu tindakan isteri perlu menunjukkan permasalahan ke pejabat-pejabat agama. Bagaimanapun semasa krisis, isteri tidak boleh sekali-kali untuk meninggalkan rumah tanpa persetujuan daripada pihak suami melainkan untuk mendapatkan perlindungan (kes-kes deraan dan sebagainya).
11) KESIMPULAN
Krisis di atas suami isteri merupakan perkara yang lumrah berlaku di dalam rumahtangga walau sebagaimana rukun sekali perhubungan mereka. Kejadian krisis dalam rumahtangga boleh memberi kesan yang positif apabila ia dikendalikan atau ia diselesaikan dengan baik kerana ia boleh mengeratkan lagi hubungan suami isteri. Bagaimanapun jika terlalu kerap berkrisis akan menjadikan rumahtangga sentiasa bergelombang dan jika dibiarkan ia akan karam. Oleh itu, tolak ansur dan persefahaman di antara suami isteri selalunya akan menyelamatkan keadaan dan rumahtangga akan terus kekal bahagia
Wallahua’lam
No comments:
Post a Comment