“Assalamualaikum,” sang suami memberi salam tatkala menjengah di muka pintu usai pulang daripada kerja.
“Waalaikum al-salaam. Abang tolong petik suis kipas tu,” jawab si isteri yang sedang membedakkan anaknya.
Wajah suami menjadi kelat.
Suis dipetik, tetapi cerianya di muka pintu tadi terbang melayang.
“Ina sakit kepalalah. Agaknya sebab kopi yang Ina minum petang tadi. Banyak kafien,” adu sang isteri sambil memicit-micit kepalanya.
“Ayang ada nampak tak butang baju melayu abang? Rasanya semalam abang letak di atas almari ini,” jawab si suami, dengan soalan yang bukan jawapan.
Si isteri bangun dengan air muka yang berubah, sambil teraba-raba mengeluarkan butang baju melayu suami daripada simpanan.
SEMUSIM TELAH BERLALU
Dialog seperti ini tidak melintas kehidupan pasangan yang masih berinai di jari. Tatkala itu, bicaranya panjang-panjang. Selang seminit ada sahaja gurau senda yang memecah tawa. Itu seni berbual di musim bulan madu.
Tetapi selepas masa berlalu, perbualan menjadi semakin ringkas dan isi-isinya lebih banyak bersangkutan dengan rutin harian berbanding butir-butir baru yang menambah warna hubungan antara suami dan isteri. Jika dahulu, had 160 karakter pada SMS itu menambah sulit untuk pesan-pesan dihantar antara dua pasangan yang bercinta, kini 160 karakter itu sering sahaja berbaki. Bukan kerana banyak ringkasan ejaan, tetapi banyak ringkasan pesan.
Ada kalanya perkembangan seperti ini tidak disedari berlaku di antara suami dan isteri. Mereka membiarkan sahaja perbualan sesama mereka hilang kemanisan dan kemesraan. Sebaliknya berasa cukup selesa dengan tercapainya matlamat-matlamat harian, dan tercegah daripada pergaduhan yang kebetulannya sering mencelah hubungan mereka semasa beranak satu dahulu, berbanding sekarang.
Seorang isteri mahu pun suami harus bertanya, apakah isi kandungan kata-kata hariannya kepada pasangan?
Arahan?
Suruhan?
Permintaan?
Larangan?
Kritikan?
MINIT-MINIT PENENTU
Selepas berpisah separuh hari kerana komitmen kerja, memilih perkataan yang betul sebagai pemula bicara di minit-minit awal pertemuan amat penting. Tetapi setelah 12 jam tidak bertemu, dan kalimah yang menyambut pertemuan ialah ‘arahan’ biar pun arahan itu logik, perlu, dan tidak mempunyai apa-apa niat yang tidak baik, ia tetap tabiat yang mampu menghambarkan hubungan perkahwinan.
“Assalamualaikum,” kata suami semasa isteri membuka pintu kereta.
“Waalaikum al-Salaam. Amboi cerianya muka abang. Ada berita baikkah?” jawab si isteri, beserta kenyataan yang memperlihatkan kepekaannya ‘membaca’ suami.
“Oh, tiada apa-apa. Projek abang dah siap. Berita baiknya, balik ke rumah hari ini dengan kepala kosong. Tenang” balas suami. Bijak mewujudkan ‘berita baik’ walaupun mungkin tidak terfikir mengenainya untuk dikongsi bersama isteri semasa terperangkap di kesesakan jalan raya tadi.
“Baguslah. Tidaklah nanti mengigau-ngigau di malam hari. Abang kalau runsingkan sesuatu sampai bercakap dalam tidur, tau” tambah si isteri.
Perbualan itu berterusan dan ia amat berkesan dalam menghilangkan rasa letih bekerja sepanjang hari kedua-duanya. Si suami biar pun sudah 10 tahun berumahtangga, sering mahu bersegera bertemu dengan isteri kerana yakin bakal terhibur dengan celoteh yang menenangkan diri setelah diasak bebanan tugas semenjak pagi. Isteri juga tersenyum-senyum berdiri di bawah redup bumbung pejabat kerana perbualan semalam bersama suami terasa bagai mahu disambung lagi.
DIALOG PEROSAK
Berbeza sekali kesan perbualan pasangan berikut ini:
“Assalamualaikum. Lama tunggu?” tanya suami kepada isteri setelah tiba lewat sedikit akibat traffic jam.
“Wa ‘alaikum al-Salam. Biasa aje. Abang jom pergi kedai sekejap. Tadi bibik sms, katanya sabun mandi anak sudah habis,” jawab isteri, beserta ‘permintaan’.
“Ok,” jawab suami, benar-benar ringkas.
“Letih betullah di tempat kerja tadi. Minggu depan ada pemeriksaan ISO. Habis semua orang dikerah bos supaya menyediakan laporan. Rasa bengkak tangan ini dibuatnya,” kata isteri sambil menunjukkan tangannya.
Suami hanya menjeling di hujung mata.
“Jadi minggu depan, you balik kerja lewatlah ya?” tanya suami.
Soalannya langsung tidak mempunyai sebarang indikasi yang menunjukkan kepeduliannya terhadap bengkak tangan si isteri.
“Agaknya” balas isteri.
Suami terus memerhatikan trafik.
Isteri pula merenung jauh ke luar tingkap.
Hanya hilai tawa DJ radio sahaja yang memecah hening sepi di dalam kereta.
Kedua-duanya sedang membunuh kasih sayang mereka tanpa sedar, tatkala bicara masing-masing gersang dari sebarang emosi dan usaha yang bisa menyuburkan cinta. Mereka tidak bergaduh, tetapi menyediakan tapak untuk perang dingin yang membingungkan.
RAFAS DAN JANGAN RAFAS
Pernahkah kita terfikir mengapa di dalam suasana-suasana tertentu, kita dilarang daripada mengungkapkan kata-kata atau melakukan sebarang perbuatan yang dikategorikan sebagai rafas di dalam al-Quran dan al-Sunnah? Bagi mereka yang berada di dalam ihram, atau yang sedang berpuasa khususnya di bulan Ramadhan, larangan terhadap unsur rafas itu diulang berkali-kali.
Rafas ini adalah perkataan atau perbuatan yang bersangkut paut dengan seks, bermula daripada cakap-cakap dan tindak tanduk hinggalah membawa kepada menggauli pasangan.
Jika negatif ia bernama lucah.
Jika positif ia bermaksud intim.
Kedua-duanya harus dielak tatkala sedang berihram atau berpuasa kerana kondisi masing-masing yang sedang ‘terbatas’.
Tetapi ketika suami dan isteri tidak berihram mahu pun berpuasa, ‘berrafaslah’ kamu antara satu sama lain!
Ia tidak sama sekali bermaksud melucahkan perkataan atau perbuatan. Tetapi apa yang diperlukan dalam hubungan suami isteri adalah kata-kata dan perbuatan yang intim serta menerbitkan rasa cinta.
HAMBAR DAN HILANG ‘SENSE OF HUMOR’
Seandainya suami yang balik bekerja, mengajak isteri berbual tentang pandangannya berkaitan dengan perkembangan Papan Kedua Bursa Saham Kuala Lumpur, atau gosip ekonomi di saluran Bloomberg, di manakah saluran untuk terbitnya rasa cinta dan mesra antara pasangan berkenaan?
Mungkin pandangan ini lebih perlu ditegaskan kepada pasangan-pasangan yang bertemu jodoh di medan dakwah. Kita pasti, ramai daripada kalangan aktivis dakwah yang berkahwin adalah di atas faktor-faktor yang tinggi, dan bukan didorong oleh kecantikan isteri, atau ketampanan suami.
Tetapi, biar pun perkahwinan itu bukan kerana kecantikan, janganlah sampai sang suami langsung tidak pernah menghargai kecantikan isteri.
“Abang, cantik tak baju raya saya ni?” tanya si isteri yang baru membeli baju raya dengan warna sedondon baju raya suami yang telah ditempah lebih awal.
“Hmm…” jawab si suami, langsung tidak menampakkan sebarang emosi.
Lebih teruk lagi, jika usaha isteri untuk berhias, diperlekeh pula oleh si suami.
“Ok la, berbanding dengan nangka berbalut kain batik di pokok tu!” kata suami.
Aduh, hancur hati isteri mendengarnya.
Sama jugalah dengan sang isteri. Andaikata perkahwinan yang dibina tiada kena mengena dengan soal paras rupa sekali pun, berilah galakan kepada suami untuk berhias. Tidaklah sampai bersolek pula, tetapi cukuplah dengan memakai pakaian yang kemas, rambut bersikat, janggut dikemaskan, bulu ketiak dan kuku dipotong, serta tubuh badannya diberi galakan agar maintain dan tidak terlalu membesar.
TELADAN NABAWI
Pernah di suatu ketika, terdapat sebuah kisah yang disampaikan oleh ‘Abbas al-’Aqad di dalam ‘Abqariah al-Siddiq berkenaan dengan sebuah syair yang telah dihafal oleh ‘Aisyah radhiyallaahu ‘anha. Syair berkenaan dipelajari oleh ‘Aisyah daripada bapanya Abu Bakr al-Siddiq radhiyalaahu ‘anhu.
“Suatu hari ketika cuaca begitu panas terik, Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam memperbaiki kasut baginda. Di dahi baginda sallallaahu ‘alayhi wa sallam mengalir peluh hingga ke pipi. Ketika itu ‘Aisyah mampir dan memerhatikan baginda dari dekat, seolah-olah beliau teringatkan sesuatu.
Lalu Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam bertanya, “Apakah hal yang menyebabkan engkau tercengang?”
‘Aisyah menjawab, “Diriku merenung wajahmu, dan keringat yang mengalir itu menerbitkan kilauan yang menakjubkan diriku. Sekiranya Abu Kabir al-Hazli melihatmu, pastilah dia tahu bahawa engkaulah orang yang paling berhak ke akan syairnya.”
Baginda bertanya lagi, “apakah yang dia katakan?”
‘Aisyah menjawab dengan lantunan syair:
Tidak berbekas padanya (kebudak-budakan) susuan ibu atau sakit yang melarat
Jika engkau memandang kepada wajahnya yang berseri-seri
Bercahaya bagaikan kilatan petir yang menyambar
Baginda Rasulullah sallallaahu tatkala mendengar syair itu melepaskan apa yang ada di tangan Baginda, bangun lalu mencium dahi ‘Aisyah dan berkata, “kemanisan apa yang telah engkau ungkapkan, adalah lebih mengujakan berbanding pandangan peluhku berbekas kepada dirimu!” [Lihat juga Rahmat-ul-lil-Aalameen: jilid 2, ms. 153]
Catatan itu begitu indah pada menggambarkan keintiman hubungan di antara Uswah Hasanah kita dengan isterinya. Bagaimana ‘Aisyah menggunakan kuasa kata-kata syair yang indah untuk memuji suaminya yang kepenatan bekerja, manakala suami pula menunjukkan penghargaan tertinggi kepada usaha itu lantas membalasnya dengan ciuman mesra di kening sang isteri.
Tidak hairanlah pada titis peluh pun boleh ada sinar cinta!
Keindahan Rumahtangga Nabawi itu bukan dicampakkan Allah daripada Syurga tanpa harga. Ia datang bersama usaha Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam dan isteri baginda pada menimbulkan perasaan cinta dan kasih sayang yang membawa ke Jannah.
Justeru bagi para suami dan isteri yang sudah masuk sedekad mengharung kehidupan, hitungkanlah kata-kata dan perbuatan seharianmu. Apakah ia baja menyubur cinta, atau bahang kemarau gersang.
Bertindak sebelum terlambat.
Mencegah lebih indah daripada mengubat.
Hambar kata mendingin rasa, perang tanpa berkasar suara, sebelum tiba malang dan petaka, beringat-ingatlah meniti usia.
ABU SAIF @ www.saifulislam.com
68000 AMPANG