Wednesday, January 20, 2010

Lelaki pilihan untuk wanita pilihan~

Islam menggariskan empat kriteria untuk memilih pasangan hidup. Rupa parasnya, hartanya, keturunannya dan agamanya. Rupa paras adalah tarikan pertama. Ada orang cinta pandang pertama. Sebab itu pandangan pertama (first impression) adalah penting. Tetapi ada syarat. That impression mestilah yang benar bukan yang dilakonkan. Yang tidak benar akan luntur dan pudar mengikut peredaran masa. Bagi orang lain cinta itu datang setelah melalui masa yang panjang. Kenal hati budi, kenal wajah-wajah berbeza orang itu, tinggi dan rendah nilai hidupnya dan sebagainya. Setelah diyakini barulah ada tali tarikan yang dihulur dan ditarik. Bak mata kail, untung-untung mengena.

Rupa paras yang cantik hanya pada fasa pertama. Adakah kecantikan itu akan kekal? Ingat wajah wanita berubah-ubah mengikut perubahan fizikal dan semangatnya. Waktu bernikah memang cantik, cun melecun. Waktu mengandung kecantikannya hilang, waktu bersalin kecantikannya hilang, waktu mengurus anak-anak yang masih kecil kecantikannya hilang, waktu sakit kecantikannya hilang dan waktu tuanya kecantikannya hilang. Jika tidak ada rasa cinta dan kasih sayang yang mengikat hati, peredaran masa akan mengubah perasaan lelaki yang bernama suami.

Rupa paras lelaki juga mudah berubah. Lelaki gagah yang dinikahi mungkin tiada bandingannya. Awas! Lima tahun kemudian perutnya mungkin boyot, rambutnya botak, giginya rongak, matanya rabun dan akalnya jadi pendek kerana beban kerja, isteri, anak-anak dan masalah keluarga. Selepas 10 tahun penyakit mungkin mula menyerang. Gaut, kolestrol, darah tinggi, kencing manis, darah rendah, sakit pinggang, sakit sendi dan berbagai penyakit lain yang mengganggu kedamaian kekeluargaan.

Belajarlah untuk mengenali bakal pasangan yang anda pilih. Jika paras rupa tidak menjamin kekal, maka ada pilihan yang lebih baik. Cari yang ada potensi kekal atau bertambah cantik, sihat dan menarik. Yang ini kena kaji latar belakang keluarga pasangan. Lihat bapanya yang sudah tua. Lihat ibunya yang sudah tua. Lihat juga abang-abang dan kakak-kakaknhya yang sudah berumjur. Jika mereka masih "ganteng" dalam ketuaan mereka dan yang wanita masih ayu dalam ketuaan mereka maka kebarangkalian yang pasangan yang anda pilih lambat dimakan tua, lambat pudar cantiknya adalah lebih tinggi.

Harta adalah penting tetapi bukan segala-galanya. Paling minimum lelaki pilihan mestilah yang berpendapatan mantap. Mungkin bekerja tetap atau ada sumber pendapatan yang tetap seperti berniaga dan bertani. Itu jaminan masa hadapan untuk menafkahi isteri dan anak-anak. Jika kaya adalah pilihan maka ada beberapa petua yang harus diselidiki. Kaya kerana usaha. Banyak berhemah dengan harta. Banyak bersedekah. Banyak menderma. Banyak buat kebajikan. Banyak membantu kepada yang memerlukan. Tidak boros dengan harta. Rumahnya mungkin besar dan cantik tetapi pengisiannya ala kadar. Di rumahnya selalu dibaca al-Quran. Menjamu orang miskin dan jiran tetangga. Jenis orang yang sukakan masjid dan surau. Dengan jiran menjadi sebutan. Disegani dan dihormati. Manis tutur katanya. Sopan santun. Tinggi budi bahasanya. Dipendekkan cerita tidak ada cacat cela. Anak keluarga ini yang sedang anda tenang mewarisi sikap dan sifat orang tuanya. In Sya Allah masa depan anda akan lebih cerah.

Memilih bakal isteri yang kaya juga tidak ada halangan. Prinsip hidup bakal isteri itu mestilah yang tidak memandang harta sebagai segala-galanya. Tidak berselera besar. Redha dengan berpada-pada. Keluarganya seperti digambarkan di atas.

Memilih pasangan yang berada mungkin banyak manfaatnya. Yang pastinya keluarga masing-masing tidak mengganggu ekonomi pasangan, tidak mengganggu kesejahteraan. Keluarga masing-masing berada dalam kecukupan.

Lelaki pilihan biarlah dari yang keturunan orang baik-baik. Pengertiannya agak luas. Lelaki itu biarlah anak sah taraf kecuali pilihan terhad. Keluarganya orang baik-baik. Tidak berpenyakit berat. Tidak berpenyakit keturunan. Bukan orang fasik (kaki judi, kaki perempuan, kaki minum arak). Akhlak mereka baik. Budi bahasanya baik. Tutur katanya baik. Menyenangkan. Jika ada cacat cela dalam hal ini, kemungkinannya akan diturunkan kepada bakal suami dan anak-anak yang akan dilahirkan. Implikasinya bukan segera. Memakan masa bertahun-tahun. Satu lagi jangan terpilih kaki dera. Nauzubillah.

Bagaimana mengesan ciri-ciri negatif seorang lelaki? Mudah. Bila tersepak batu apa tindakan dan bahasa yang keluar dari mulutnya? Jika batu itu dimarahi dan dimaki hamun, hindarilah dia kerana orangnya panas baran, kurang sabar, bertindak melulu dan cepat hilang pertimbangan. Bila nampak kanak-kanak, apakah reaksinya? Penyayang? Benci? Tak ambil peduli? Itulah sikapnya nanti bila ada anak. Pindahkan sahaja analogi itu kepada dirinya nanti apabila sudah menjadi suami dan bapa. Anda perlukan suami yang pandai mengurus anak, memandikan, membasuh kencing beraknya, memakaikan baju, memberi makan, menidurkan, membelai sakit peningnya, melayan mainnya, melayan karenahnya, melayan tangis jeritnya dan banyak lagi. Carilah lelaki itu.

Bakal suami hendaklah orang yang pandai mengurus rumah. Anda juga penat kerana menjadi isteri berkerjaya. Maka suami mestilah yang juga pandai mengemas rumah, membasuh baju, menyidai kain, melipat baju, menggosok baju, memasak, mengemas dapur, membersihkan bilik air, mengemas katil. Carilah lelaki itu.

Jangan tertipu dengan pujuk rayu. Jika suka meminjam wang, tinggalkan dia. Jika meminta untuk merasa yang bukan haknya lagi, nanti ia akan jemu. Lelaki ini, tinggalkanlah dia. Yang banyak mengawal dan mengongkong, tinggalkanlah dia. Yang banyak meminta dan meminta-minta, tinggalkanlah dia.

Akhir sekali pilihan yang terbaik ialah lelaki yang beragama. Paras rupanya berpada-pada tetapi mungkin ada potensi. Hartanya cukup untuk menyara keluarga. Keluarganya ala kadar. Agamanya ampuh. Solatnya terjaga. Ibadah yang lain dipelihara. Tidak melengahkan waktu. Semasa berkawan dan bertunang, batas pergaulan sangat dijaga. Tak perlu bertunang lama-lama. Tiga bulan patutnya paling lama.

Lelaki ini hatinya di masjid, di surau, membaca al-Quran. Bual bicaranya yang hak belaka. Guraunya berbatas. Gelaknya terkawal. Malasnya tidak kelihatan. Carilah lelaki itu.

Selain daripada itu, kenalilah minatnya, hobinya, kebiasaannya, rakan-rakannya, makan minumnya dan tempat-tempat yang dikunjunginya. Semua akan memberi petunjuk siapa lelaki itu. Rokok? Dadah? Arak? Perempuan? Judi? Berhutang? Kaki gaduh? Putar alam? Banyak alasan dan dalih? Cari lelaki yang tidak terlibat dengan semua itu. Bertuahlah badan jika dapat memiliki lelaki sempurna begitu. Akan bahagia dunia dan akhirat.


FASA KEDUA. Bila umur meningkat. Senarionya: ekonomi mantap, jawatan meningkat, kedudukan selesa dan sudah membina nama. Manusia yang benama lelaki alias suami mungkin berhadapan dengan dua wajah. Kekal seperti lelaki yang dulu. Berubah menjadi lelaki baru yang tidak anda kenali. Pada masa ini lelaki sudah banyak bergaul, cara hidupnya berubah, rakan taulannya meluas, bual bicaranya menggarap hal-hal besar dan global, dan pembawaan dirinya berubah. Pemikiran dan "mind set"nya bebas dari belenggu adat dan pantang larang. Bayangkan lelaki ini semakin matang, penampilannya menggugat, kenderaannya agak mewah, rumahnya besar dan kehidupannya dalam serba kecukupan.

Ketika ini ramai peminatnya. Musuhnya ingin menjatuhkannya. Saudara mara ingin berteduh di bawah pohon rendangnya, rakan-rakan menunggu untuk memangkahnya, rakan sejawat akan mengganyangnya dalam mesyuarat dan dia diminati oleh wanita-wanita muda yang berminat dengan kemantapan ekonominya, kedudukan dan kematangannya.

Isteri. Isteri. Isteri. Awasilah dirimu. Andalah yang semestinya mengatur segala perancangan untuk sentiasa mengekalkan kasih sayangnya, yang mengikatnya di rumah, yang mengikatnya pada anak-anak.

Jangan biarkan kecantikan dan kemanisan wajahmu luntur. Jaga dan rawatlah wajahmu untuk kekal cantik di mata suami. Berpakaian cantik, berhias cantik, bersolek dan sentisa berkeletah muda. Itulah yang suami lihat di luar rumah. Jika balik ke rumah senario itu tidak dilihatnya maka hatinya tidak lekat di rumah. Dia akan mencari kecantikan itu di luar rumah. Kekalkan dan gilaplah kecantikan anda. Suamimu adalah hak milikmu. Sesungguhnya firman Allah: Perempuan adalah pakaian lelaki dan lelaki adalah pakaian perempuan.

Isteri mestilah bijak menyayangi kerjaya suami. Hendaklah mengetahui sistem kerjanya. Mengetahui butiran tugasnya. Memahami istilah dan perkataan kebisaannya. Dengan demikian isteri sentiasa sekufu dari segi berfikir dan berbicara.


Sekarang kita sampai ke FASA KETIGA. Pada masa ini wanita sampai ke peringkat menopause. Wanita Melayu berdepan dengan konsep dan tanggapan yang sangat salah. Salah dari segi biologi. Salah dari segi agama. Salah dari segi sosial. Salah dari segi Psikologi.

Ketahuilah bahawa pada masa ini "men no pause". Pada usia emas ini lelaki masih tetap lelaki. Ia tidak pernah surut. Mungkin ia perlukan cinta kedua dan bulan madu kedua bersama isterinya yang dari dulu digilai, dicintai dan dinikahinya. Harapannya tetap sama, tetap membara. Ia perlukan layanan mesra dari wanita yang bernama isteri. Wanita yang dikenali, fizikalnya, karenahnya, nafasnya, harapannya. Ia kenal bayang dan ghaibnya. Suaranya, baunya semua dalam dirinya.

Tetapi pada masa ini wanita yang bernama isteri ingin berhenti berfungsi menjadi isteri. Ia sibuk di luar rumah. Rakan taulan lebih diutamakan. Kepekaannya bukan di rumah, bukan pada suami. Sibuknya pada anak, pada menantu, pada cucu. Kepada wanita ini, menopause adalah tanda terputusnya tanggungjawab sebagai isteri. Peranannya terhenti di situ. Ia tidak perlukan cinta kedua. Tidak perlukan bulan madu kedua.

Itulah kesilapan besar wanita. Ia mempercayai sesuatu yang tidak benar. Menopause adalah cahaya kedua yang menyinar hidup bersuami isteri. Temuilah semula dirimu yang muda suatu ketika dulu. Jika usia adalah penghalang, semangatmu patut muda kembali. Lelaki yang bernama suami sangat mengetahui bahawa kamu adalah berusia emas tetapi kepadanya kamulah emas tempauan yang ditatangnya selama ini, selama-lamanya. Ia tidak mahu beralih kepada yang lain. Tidak perlu ada yang kedua atau ketiga atau keempat. Di matanya, di nafasnya, di benaknya, di sanubarinya, di qalbunya hanya isteri itulah sahaja.

Dia adalah lelakimu, suamimu, temanmu, kekasihmu, dambaanmu, harapanmu, pembimbingmu, pemandumu ke syurga. Dua hati mesti bertemu, bertaut, terikat selama-lamanya. Abadan abada.

Carilah lelaki itu. Kesetiaannya dan kecintaanya kepada kamu terlalu syahdu dan abadi. Carilah. Semoga kamu sampai ke destinasi bahagia. Amin, amin ya Rabbul 'Alamin.

No comments: