Monday, May 3, 2010

tugas suami isteri membentuk keluarga yang bahagia

leh: Lokman Abdullah


Perkahwinan dan membentuk rumahtangga adalah perkara
yang tidak asing lagi dalam kehidupan manusia. Perkahwinan melahirkan zuriat.
Sesuai dengan fitrah manusia sebagai makhluk yang istimewa maka agama Islam yang maha suci telah menetapkan garis panduan yang harus diikuti oleh manusia, baik lelaki mahu pun perempuan.
Pembentukan rumahtangga yang bahagia dan teratur amatlah dipandang berat dan diberi keutaman dalam Islam. Kerana rumahtangga yang sempurna sahajalah dapat menjamin lahirnya generasi berguna untuk memimpin negara kelak.

Firman Allah dalam surah Ar-Rum ayat 21 bermaksud:
"Dan setengah daripada kekuasaan Allah bahawa Allah telah menjadikan bagi kamu isteri-isteri (perempuan) supaya kamu berumahtangga bersamanya dan Allah jadikan di antara kamu perasaan kasih sayang dan bertimbang rasa, sesungguhnya keadaan demikian menjadi tanda dan pengajaran bagi mereka yang berfikir."

Hidup berkeluarga

Ayat di atas, jelaslah agama Islam menggalakkan umatnya bernikah dengan cara itu sahajalah dapat menjamin kebahagian hidup antara lelaki dan perempuan.Secara kasarnya, rumahtangga itu bermakna hidup berkeluarga antara suami isteri dan anak-anak dan menjadi satu bentuk masyarakat yang kecil. Rumah tangga yang diredhai Allah pula bermaksud rumahtangga yang dibina menurut lunas-lunas dan hukum-hukum Allah s.w.t. dan harus diikuti oleh setiap individu. Pada hakikatnya, bukanlah satu perkara yang mudah untuk membentuk sebuah rumahtangga yang aman damai menurut lunas-lunas Islam. Banyak juga yang kita dengar dan lihat sebuah rumahtangga yang dibina atas asas kasih sayang dan cinta mencintai antara satu sama lain, tetapi berakhir dengan penceraian dan porak peranda. Inilah satu hakikat yang harus diterima oleh kita semua. Kita semua maklum, untuk membentuk rumahtangga yang bahagia, memerlukan kesedaran dan tanggungjawab di antara satu sama lain. Dalam erti kata lain, suami isteri haruslah bersedia bertolak ansur dan mengetahui hak-hak serta tanggungjawab masing-masing. Dengan mengetahui hak-hak dan tugas masing-masing, setiap pasangan itu akan mengetahui batas dan tugas yang harus dilakukan untuk kebaikan bersama. Hak di sini bermakna nilai atau keistimewaan untuk orang-orang tertentu, manakala tanggungjawab pula bermaksud beban tugas yang harus dilaksanakan oleh seseorang. Hak dan tanggungjawab adalah dua asas utama yang saling berhubung kait antara satu sama lain.

Hak suami adalah menjadikan tugas isteri untuk melaksanakannya dan hak isteri pula menjadi tugas suami memikulnya. Manakala hak anak menjadi tanggungjawab kedua ibu bapa dan hak kedua ibu bapa pula menjadi tanggungjawab anak melaksanakannya. Sekiranya suami atau isteri menyedari hak dan melaksanakan hak dan tanggungjawab masing-masing, sebuah rumahtangga itu akan menjadi sempurna.

Di antara hak-hak bersama suami isteri adalah seperti
berikut:

# Amanah: Antara suami isteri hendaklah ada sifat-sifat amanah dan memelihara kepentingan antara satu sama lain.

# Antara satu sama lain hendaklah saling percaya mempercayai dan tanpa perasaan curiga dan syak wasangka. Dengan cara ini terjalinlah rumahtangga yang harmoni dan aman.

# Kasih sayang dan bertimbang rasa antara satu sama lain.

# Pergaulan antara suami isteri hendaklah dengan cara yang baik dan ramah tamah, perlunya sikap tolak ansur dan saling mengerti antara satu sama lain.

# Setiap pihak hendaklah bertolak ansur dan memahami masalah yang dihadapai. Hanya dengan perasaan simpati dan bertimbangrasa sahajalah segala masalah akan dapat diselesaikan.
Si suami hendaklah mengetahui kewajipan mereka terhadap isteri dan kewajipan-kewajipan itu pula hendaklah dilaksanakan dengan penuh kesedaran dan tanggungjawab. Antara kewajipan si suami terhadap isteri dapatlah digariskan sabagaimana berikut:

# Pergaulan yang baik dengan isteri. Si suami hendaklah menyara nafkah, memberi makan minum, pakaian dan tempat tinggal untuk isterinya. Di samping itu si suami juga hendaklah
mendidik isterinya dan memberi didikan agar si isteri menjadi orang yang sopan santun
dan mentaati agama. Selaras dengan ini Tuhan berfirman dalam surah an-Nisak ayat 34 bermaksud:

" Dan perempuan-perempuan yang kamu bimbang melakukan perbuatan derhaka (nusyu) hendaklah kamu menasihati mereka dan jika mereka masih berdegil pulaukan mereka di tempat tidur dan kalau mereka juga masih berdegil pukullah mereka (dengan pukulan ringan yang bertujuan mengajarnya) kemudian jika mereka taat kepada kamu maka janganlah kamu mencari-cari jalan menyusahkan mereka. Sesungguhnya Allah Maha Tinggi lagi Maha Besar." Ayat itu jelaslah Islam menyuruh si suami bergaul dengan isteridengan sebaik-baiknya. Si suami dibenarkan memukul isteri semata-mata untuk tujuan mengajarnya.

# Si suami juga dikehendaki memberi bimbingan dan pelajaran agama yang sewajarnya kepada isteri. Dalam hal ini Nabi Muhammad s.a.w. bersabda yang bermaksud: "Wahai orang-orang yang beriman, jaga olehmu akan diri kamu dan keluarga kamu daripada api neraka."

# Menjaga rahsia isteri. Si suami wajib menjaga rahsia isteri jangan membuka rahsia isteri baik di depannya mahupun di belakangnya.

# Si suami hendaklah mendidik isteri, melatih isteri dengan cara hidup, pergaulan dan juga berpakaian. Si suami adalah diamanahkan untuk membentuk isteri, sebagaimana Rasulullah s.a.w. bersabda: "Dan lelaki (Suami) adalah gembala (pemimpin) keluarganya dan beliau akan
disoal mengenai kepemimpinannya."

# Sekiranya si suami beristeri lebih daripada satu, si suami hendaklah berlaku adil, baik di segi nafkah zahir mahu pun batin dan adil di segenap sudut. Setelah mengetahui secara rengkas kewajipan si suami terhadap isteri, eloklah pula kita mengetahu kewajipan isteri terhadap
suami. Di antara kewajipan isteri terhadap suami adalah seperti berikut:

# Taat dan mematuhi kehendak suami. Tetapi patuh kepada perintah suami selagi kehendak itu tidak bercanggah atau melanggar hukum-hukum Allah. Sehubungan dengan itu, Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud:
"Sekiranya aku diperintah akan seseorang menyembah akan seseorang yang lain, nescaya aku menyuruh perempuan menyembah suaminya."

# Si isteri juga hendaklah memelihara maruah diri dan
kemuliaan si suami. Si isteri dikehendaki menjaga diri dan maruah baik di depan atau di belakang suami. Di samping itu si isteri hendaklah mengatur perbelanjaan dan urusan rumahtangga serta menjaga harta benda suami.Sehubungan dengan ini Rasulullah s.aw. bersabda yang bermaksud:

"Sebaik-baik wanita ialah isteri yang apabila engkau melihat kepadanya membuat engkau gembira dan apabila engkau menyuruhnya sesuatu ia menuruti engkau dan apabila engkau tiada di sampingnya dia menjaga harta engkau dan menjaga maruah dirinya."

# Si isteri juga hendaklah sentiasa berada di rumah. Ini amatlah penting kerana sebaik-baik isteri ialah mereka yang tidak keluar tanpa keizinan suami dan menjaga pandangan,pendengaran dan berpakaian elok yang tidak menyolok mata. Dengan cara itu mudah-mudahan akan terhindarlah daripada fitnah.

No comments: