Tuesday, June 29, 2010

Kerana Cinta




Cinta itu cahaya sanubari
Kurniaan tuhan fitrah insani
Dan dimana terciptanya cinta
Di situ rindu bermula

Cinta itu tidak pernah meminta
Tetapi memberi sepenuh rela
Rasa bahagia biarpun sengsara
Berkorban segala-gala

Semua kerana cinta
Yang pahit manis di rasa
Menghibur nestapa merawat luka
Damai di jiwa

Terpadam api benci permusuhan
Terjalinlah kasih sayang
Begitulah cinta yang di idamkan
Tanpa nafsu yang mencemarkan

Dan jangan pula kerana bercinta
Kita pun leka entah ke mana
Dan jangan pula kerana bercinta
Tergadai semua maruah agama

Cinta…oh cinta…oh cinta…oh cinta…
Kerana cinta

Cinta yang sejati hanya cintakan Illahi
Cinta ayah bonda tulus suci selamanya
Cintakan saudara masa berada hanya sementara
Cinta sesama insan suburkan dengan ketaqwaan.

Sunday, June 27, 2010

Munajat Hamba-Mu






Ya Allah Ya rabbul izzati, Engkau saksikan detik ini kami bersama sedang menghadiri peristiwa, dua hamba-Mu mengikat janji. Menunaikan sunnah Rasul-Mu. Yakni pernikahan untuk mencari ketenteraman, keturunan dan ridha-Mu. Limpahkan rahmat dan berkah-Mu kepada kedua kami. Jadikanlah penghidupan kami senantiasa berada dalam ibadah dan bakti kepada-Mu.


Ya Allah Ya Rahiiim, jauhkanlah kedua kami dari fitnah rumah tangga. Jadikanlah Qur’an dan Sunnah Nabi sebagai pedoman hidup kami. Doa dan petunjuk ayah bonda kami sebagai lantera di perjalanan. Perilaku para sahabat nabi sebagai teladan kami. Peristiwa khidmat dan kesaksian kami pada detik ini sebagai pengukuh rumahtangga kami.


Ya Allah Ya rahmaaan, tanamkan kasih sayang antara kami berdua, sebagaimana Engkau tanamkan kasih sayang antara Adam dan Hawa, dan sebagaimana Engkau tanamkan kasih sayang antara Yusuf dan Zulaikha dan sebagaimana Engkau tanamkan kasih sayang antara Rasulllah dengan ibunya orang-orang Mu’min.


Ya Allah Ya Jabbaaar, anugerahilah kami dari isteri-isteri kami dan anak cucu kami keturunan yang menyenangkan kami. Dan jadikanlah kami sebagai ikutan bagi orang-orang yang bertaqwa.


Ya Allah ya Mutakabbiiir, baguskanlah untuk kami agama kami yang menjadi pangkal urusan kami, baguskanlah dunia kami yang menjadi tempat penghidupan kami serta baguskanlah akhirat kamui yang menjadi tempat kembali kami. Jadikanlah hidup kami menjadi bekal bagi kami dalam segala kebaikan dan jadikanlah mati kami sebagai pelepas dari segala keburukan.

Profail Pengantin

Pengantin lelaki

Ahmad Eisa Bin Zakaria. Dilahirkan pada 02 June 1986 di Klang, Selangor . Ayahanda Encik Zakaria Bin Harun dan bonda Puan Sauyah binti Shamwil. Merupakan anak ketiga daripada 12 adik beradik. Tinggal di Sungai Ramal Dalam, Kajang , Selangor. Mendapat pendidikan awal di SKSRD . Peringkat menengah di SMK Jalan 2 Bangi (SMKBBB)(1999-2001), Sekolah Menengah Sains Raja Tun Azlan Shah ( SERATAS )(2002-2003). Mengambil SPM pada tahun 2003.Kemudian menyambung pelajaran di Ukraine dengan mengambil kursus Pra-Perubatan dan seterusnya Ijazah Perubatan di Crimea State Medical University. Sekarang telah menamatkan tahun 5 dan berjaya memasuki tahun akhir.



Pengantin perempuan

Nurul Atikah Binti Ab Latiff.DiLahirkan pada 27 julai 1987 di Tanah Merah,kelantan. Ayahanda Allahyarham Ab latiff Bin Awang dan bonda Pn. Zainab Binti mat Hussin. Merupakan anak bongsu dari 8 beradik. Tinggal di Jalan Klinik Tanah Merah kelantan. mendapat pendidikan awal di SKSS 1, Tanah Merah, Kelantan. Peringkat Menengah di Maahad Ahmadi Tanah Merah (2000-2003) dan SMKA Naim Lilbanat (2004-2005). Mengambil SPM pada tahun 2005 dan kemudian mendapat kursus persediaan ke luar negara di Kolej Shahputra, Kuantan sebelum menyambung pengajian dalam bidang perubatan di Universiti Iskandariah, Mesir.






Watikah jemputan 2010 (P)




Pn. Zainab Binti Mat Hussin

Menyusun kata indah bahasa,
menurut adat resam berteras agama Islam tercinta,
menjemput dan mempersilakan
Dato’/ Datin/ Tuan/ Puan/ Encik /Cik

__________( semua yang berkaitan)__________
ke Majlis Kesyukuran Perkahwinan

NURUL ATIKAH BINTI AB LATIFF
&

AHMAD EISA BIN ZAKARIA


pada hari ahad
bersamaan dengan 12 september 2010

Di kediaman kami beralamat :

Lot 1895, Lorong 1 Jalan Klinik

17500 Tanah Merah Kelantan


Beras kunyit kami taburi,

Air mawar direnjis mewangi,
Berkembang kasih menabur budi,
Undangan kami setulus hati,

Harap sudi kiranya merai.

Semoga dengan kehadiran serta doa restu daripada
Dato’/ Datin/ Tuan/ Puan/ Encik /Cik
dapat menambahkan lagi keberkatan majlis ini.
Insya Allah. Terima kasih.



PELAN LOKASI TERATAK PENGANTIN 2010 (P)










Wednesday, June 23, 2010

saat lafaz sakinah~




Heningnya...
Sunyi suasana...
Lafaz sakinah bermula

Apa rasa
Diterjemah hanya
Sebak abah, tangis ibunda

Adalah aku, wali puteriku
Serah kini amanahku ini pada mu
Nafkahilah dia, curah kasih dan cinta
Lebih dari yang ku berikan kepadanya

Dulu esakkannya sandar di bahuku
Tangisannya kini ku serah padamu
Bukan bermakna, dia bukan milikku
Fitrahnya perlukanmu

Jadikanlah dia wanita syurga
Mengerti benar akan maharnya
Taat itu bukan hanya pada nama
Indah ia pada maksudnya


Ku akur
Akan pesanmu
Puterimu kini amanahku

Iringilah
Dengan doamu
Bahagia kami dari redhamu
Taat itu bukan hanya pada nama
Indah ia pada maksudnya




Sayu hati bila mendengar lagu ini.Begitu mendalam maksud yang hendak disampaikan.Bagamana seorang ayah yang menjaga puterinya dari kecil hingga meningkat kepada usia puterinya perlu dilepaskan untuk menjadi puteri kepada yang lain.

Di mana seorang ayah mengharapkan si dia yang bakal menerima amanah dari ayah ini mampu memberi yang terbaik sebagaimana ayah dulu menatang penuh perhatian puterinya ini.

Di mana seorang ayah mengharapkan si dia mampu menjadikan puteri ayah ini ahli syurga dan dapat mendidik puterinya ke arah jalan ALLAH sebagaimana ayah dulu tegar mengajar itu dan ini.

Di mana seorang ayah mengharapkan si dia mampu menjadi penyeri dan penghibur saat puterinya berduka sepertimana ayah memujuk sambil mengesat air mata di pipi puterinya saat puterinya diselubungi kesedihan.

Di mana seorang ayah mengharapkan si dia dapat menjaga puterinya dengan jagaan terbaik tanpa menzaliminya malah melukakan hatinya sepertimana ayah sanggup berkorban perasaan agar puterinya ini tersenyum.

Di mana ayah mengharapkan walau puterinya ini bukan lagi miliknya tetapi si dia mampu untuk menjaga ikatan azali antara ayah dan puterinya ini.

Moga si dia yang bakal mengambil amanah dari ayah nanti mampu memberi yang terbaik untuk semua....

Kahwin tak ikut undang-undang boleh dihukum


Peguam Syarie Menulis : Oleh Tuan Musa Awang

BERKAHWIN tanpa mengikut prosedur yang ditetapkan Islam boleh menjejaskan institusi kekeluargaan Islam. - Gambar hiasan

Maklumat perundangan kekeluargaan Islam perlu disebar elak masyarakat berdepan masalah

KEUTUHAN sesebuah institusi perkahwinan bertitik-tolak daripada punca dan unsur perkahwinan itu sendiri. Jika baik caranya, Insya-Allah akan baiklah juga kesudahannya. Islam sebagai suatu cara hidup komprehensif merangkumi semua urusan kehidupan manusia termasuklah perkahwinan dan perceraian menitikberatkan soal asas dalam membina sesebuah institusi rumah tangga. Oleh sebab itu, undang-undang dikanunkan bagi mana-mana perbuatan orang Islam di Malaysia yang berkahwin tanpa mematuhi prosedur undang-undang adalah suatu kesalahan jenayah Syariah.

Di negara kita, bidang kuasa Mahkamah Syariah sama ada membabitkan urusan kekeluargaan atau jenayah Syariah tertentu berdasarkan peruntukan di dalam Jadual Kesembilan Senarai Dua Perlembagaan Persekutuan. Dengan adanya peruntukan itu, badan perundangan negeri mempunyai kuasa untuk menggubal undang-undang yang mengawal kehidupan tertentu orang Islam seperti urusan kekeluargaan, beberapa jenayah yang berkaitan dengan akhlak dan moral orang Islam dan beberapa perkara lain.

Bagaimanapun, ruang lingkup bidang kuasa Mahkamah Syariah ke atas kesalahan jenayah Syariah secara khusus sangat sempit dan kuasa menghukumnya sangat rendah, berdasarkan peruntukan di dalam Akta Mahkamah Syariah (Bidangkuasa Jenayah) (Pindaan) 1984. Akta ini memberi kuasa kepada Mahkamah Syariah untuk menjatuhkan hukuman penjara maksimum tiga tahun, denda tidak melebihi RM5,000 dan sebatan sehingga enam sebatan.

Sebelum ini perbincangan diadakan untuk memberi kuasa lebih besar, namun perbincangan itu kelihatan sepi kembali, dengan tidak menampakkan potensi untuk merealisasikannya. Berkahwin atau terbabit dalam upacara perkahwinan tanpa mematuhi prosedur undang-undang adalah kesalahan menurut undang-undang Syariah dan boleh dikenakan penalti, sama ada penalti berbentuk jenayah syariah atau penalti yang membawa kepada tindakan mal dan penalti tidak boleh daftar perkahwinan berkenaan.

Seksyen 36 dibaca bersama Seksyen 28 dan Seksyen 32 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam memperuntukkan bahawa seseorang yang tidak dilantik oleh Sultan tidak boleh menyimpan daftar atau rekod sesuatu perkahwinan atau mengeluarkan sebarang dokumen perakuan perkahwinan (Surat Nikah). Jika dia berbuat demikian, dia boleh dikenakan denda tidak melebihi RM500, penjara maksimum tiga bulan atau kedua-duanya sekali bagi kesalahan kali pertama. Bagi kesalahan berikut boleh didenda tidak melebihi RM1,000, penjara maksimum enam bulan atau kedua-duanya sekali.

Seseorang yang melakukan apa-apa kekerasan atau ugutan untuk memaksa seseorang berkahwin yang bertentangan dengan kemahuan orang itu atau jika bertindak menghalang seseorang lelaki berumur 18 tahun atau seseorang perempuan berumur 16 tahun daripada berkahwin adalah melakukan kesalahan yang hendaklah dihukum denda tidak melebihi RM1,000, penjara maksimum enam bulan atau kedua-duanya (Seksyen 37). Seseorang yang membuat pernyataan palsu untuk berkahwin boleh didenda tidak melebihi RM2,000, penjara maksimum setahun atau kedua-duanya (Seksyen 38).

Seseorang yang menjalankan akad nikah sedangkan dia tidak diberi kuasa menjalankannya juga adalah suatu kesalahan hendaklah dihukum denda tidak melebihi RM1,000, penjara maksimum enam bulan atau kedua-duanya (Seksyen 39 dan 40). Seksyen 124 enakmen yang sama memperuntukkan hukuman kepada seseorang suami yang berpoligami tanpa kebenaran mahkamah iaitu denda tidak melebihi RM1,000, penjara maksimum enam bulan atau kedua-duanya sekali.

Dalam kes Muhamad Mat Diah melawan Pendakwa Syarie Kelantan di mana perayu disabitkan dan dihukum di atas empat pertuduhan di bawah seksyen 99 dan 100(1)(a) Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Kelantan kerana mengakadnikahkan pasangan yang berkahwin tanpa diberi kuasa untuk berbuat demikian dan perkahwinan itu tidak mendapat kebenaran terlebih dulu. Perayu mengemukakan pembelaan alibi antara lainnya dengan menunjukkan pasportnya bahawa beliau pergi ke Thailand sehari sebelum kejadian dan kembali sehari selepas kejadian. Mahkamah memutuskan bahawa mahkamah boleh menerima pasport sebagai dokumen kerajaan. Bagaimanapun, orang yang bertanggungjawab mengecop tarikh masuk dan keluar seperti yang tertera di dalam pasport harus dipanggil sebagai saksi bagi menentukan kesahihan tarikh keluar masuk tertuduh ke Thailand.

Sungguhpun wujud peruntukan undang-undang yang mengenakan penalti terhadap pesalah yang melakukan kesalahan berhubung pra perkahwinan, namun masih banyak kesalahan ini dilakukan dengan sewenang-wenangnya oleh mereka yang tidak bertanggungjawab. Malah masih terdapat banyak sindiket pernikahan sebegini di luar sana yang menjalankan aktiviti ini tanpa mengira tempat dan masa.

Persoalan juga timbul adakah pelaku kesalahan ini tidak dibawa ke muka pengadilan, walhal ada peruntukan undang-undang yang membolehkan tindakan diambil ke atas mereka. Adakah disebabkan kadar penalti yang dikenakan amat rendah jika dibandingkan dengan kesalahan yang dilakukan, menyebabkan segelintir pihak berani untuk terus melakukannya memandangkan kebanyakan mereka yang melakukan kesalahan itu mampu untuk membayar penalti yang dikenakan terhadap mereka?

Melihat kepada era moden kini, penulis berpendapat pentingnya maklumat perundangan kekeluargaan didedah dan disebarkan kepada masyarakat. Ini bagi membolehkan masyarakat lebih peka terhadap implikasi yang wujud terhadap sesuatu perkahwinan yang melanggar peruntukan undang-undang. Secara tidak langsung perlanggaran ini akan menjejaskan institusi kekeluargaan Islam kerana perkahwinan tanpa mengikut prosedur tidak boleh didaftarkan, lebih malang lagi jika suami bersikap sambil lewa dan apa yang merisaukan sekiranya anak yang lahir nanti tidak diketahui statusnya.

Adalah wajar juga dilakukan penilaian semula terhadap bentuk penalti dan hukuman yang diperuntukan kepada Mahkamah Syariah supaya suatu hukuman dan penalti yang bakal dikenakan dapat memberi kesan mendalam kepada pesalah, seterusnya mencegah mereka mengulangi kesalahan yang sama.

Tuesday, June 22, 2010

Nikah, Nafkah, Mukjizat dan Karamah!


“Masalah kamu dengan bos sudah selesaikah?” emak bertanya kepada Ahmad.

“Sudah” jawab si anak.

Pantas.

“Hai, senang pula selesainya. Kamu buat macam mana?” tanya emak lagi.

“Berhenti kerja!” balas Ahmad.

“Astaghfirullah! Berhenti kerja lagi? Habis kamu menganggurlah sekarang?” emak terkejut dengan jawapan anaknya itu.

Sudah banyak kali Ahmad berhenti kerja. Usia sudah lanjut. Tetapi masih kelihatannya tidak stabil. Tidak sesuai bekerja, berhenti. Tidak betah saban hari diarah, berhenti. Senang sungguh berhenti kerja. Jauh lebih senang berbanding mencari kerja baru.

“Habis, sudah ada kerjakah?” emak susah hati.

“Esok-esok ada la tu, mak!” tegas Ahmad.

Si ibu hanya mampu menggelengkan kepala. Risau memikirkan tabiat Ahmad. Anak lelaki yang seorang ini seperti masih belum pasti apa yang dimahukannya di dalam hidup. Usia sudah lanjut. Kerja masih tidak menentu.

Lebih merisaukan benak hati si ibu, tanpa wang bagaimanakah Ahmad akan berkahwin?

SUMBATAN MINDA


“Sebab itu saya tidak dapat menerima pandangan ustaz bahawa sebelum bernikah, kena pastikan terlebih dahulu ada duit untuk hantaran, mas kahwin, kenduri dan sebagainya. Bukankah ini menyalahi Sunnah?” seorang anak muda membantah pandangan saya.

“Benarkah saya bermaksud begitu?” saya menyoalnya semula.

“Itu yang ustaz sebut dan tulis!” tegas beliau.

“Wallaahi, itu tidak pernah menjadi maksud tulisan ana” saya menafikannya.

Habis, bagaimana ustaz memahami firman Allah di dalam Surah al-Nur ayat 32?” beliau memanjangkan soalan.

“Dan kahwinkanlah orang-orang bujang (lelaki dan perempuan) dari kalangan kamu, dan orang-orang yang soleh dari hamba-hamba kamu, lelaki dan perempuan. Jika mereka miskin, Allah akan memberikan kekayaan kepada mereka dari limpah kurnia-Nya kerana Allah Maha Luas (rahmatNya dan limpah kurnia-Nya), lagi Maha Mengetahui” [al-Nur 24: 32]

“Maksud kamu, perkahwinan memberikan kekayaan harta?” saya inginkan kepastian.

“Benar” jawab beliau.

“Berapa ramai orang yang berkahwin tetapi tidak kaya-kaya dan mati dalam kemiskinan? Sedikit atau ramai?” saya menyambung soalan.

Beliau diam.

Bagaimana mungkin seorang anak muda yang begitu idealistik dalam pemahamannya terhadap Sunnah, terus beranggapan bahawa tatkala nas menyebut tentang kekayaan, ia terus sahaja bermaksud kekayaan harta? Bukankah Nabi sallallaahu ‘alayhi wa sallam pernah bersabda:

“Bukanlah dikatakan kaya itu sebagai banyak harta. Akan tetapi kekayaan sebenar itu adalah kekayaan jiwa” [al-Bukhari 6446]

Justeru, janji Allah untuk membantu memberikan kekayaan kepada orang yang bernikah itu mesti dilihat daripada dua sudut.

Sudut pertama, kekayaan yang dikurniakan itu berupa kekayaan jiwa dalam bentuk sifat Qana’ah. Al-Samarqandi pernah menyebut berkenaan ayat 32 Surah al-Nur itu bahawa, “kekayaan mempunyai dua keadaan. Pertama, kekayaan harta dan itu adalah selemah-lemah makna kekayaan. Kedua adalah sifat Qana’ah dan itu adalah sekuat-kuat makna Qana’ah”. Malah al-Qurtubhi juga pernah memberikan ulasan bahawa yang dikatakan nikah itu mengurniakan kekayaan kepada si miskin ialah kerana si miskin itu dianugerahkan pilihan yang HALAL iaitu NIKAH berbanding ZINA.

Oleh yang demikian, untuk mengambil Surah al-Nur ayat 32 itu sebagai jawapan simplistik bahawa kemiskinan boleh dirawat dengan nikah, seorang anak muda yang datang melenggang dengan hajat meminang, mestilah mempunyai jawapan yang jelas tentang ASBAB berupa IKHTIAR dirinya untuk mengambil alih tugas bapa yang memberi nafkah kepada perempuan yang mahu dipinangnya itu.

RAWATAN KEMISKINAN

“Mengapa kamu belum bernikah?” Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam bertanya.

“Aku fakir” jawab pemuda itu.

“Mengapa kamu belum bernikah?” Baginda menyoal lagi.

“Aku fakir” pemuda itu memberikan jawapan yang sama.

“Mengapa kamu belum bernikah?” Baginda mengulang soalan yang sama buat kali yang ketiga.

Pemuda itu tidak berani mengulang jawapan yang sama.

“Ya Rasulallah. Aku memang mahu bernikah. Carikanlah buatku seorang isteri!” jawab anak muda itu.

“Kamu pergilah ke sebuah kampung di sana. Nyatakan kepada orang kampung itu bahawa Rasulullah menyuruh mereka mengahwinkan seorang anak gadis kampung itu denganmu” arah Rasulullah sallalaahu ‘alayhi wa sallam.

Pemuda itu pergi ke kampung tersebut, menyatakan mesej yang dibawanya kepada penduduk di situ. Dia kemudiannya kembali kepada Baginda sallallaahu ‘alayhi wa sallam dengan sebuah persoalan.

“Aku tidak punya apa-apa untuk dijadikan mas kahwin” adu beliau.

“Carilah sebentuk cincin besi!” Baginda mengajar.

Sungguh unik. Seorang anak muda yang miskin, diperintahkan oleh Nabi sallallaahu ‘alayhi wa sallam supaya bernikah. Tidakkah nikah itu memerlukan perbelanjaan? Bukankah selepas nikah, lelaki fakir itu memikul tanggungjawab memberi nafkah. Apa yang mahu disumbat ke mulut isteri?

TELADAN


Kisah pemuda itu tidak harus dipandang mudah pada sekadar bermaksud gesaan Nabi sallallaahu ‘alayhi wa sallam agar bernikah.

Bagaimana Baginda berulang kali bertanya soalan yang sama mengapa beliau belum berkahwin? Jawapan yang diberi adalah kemiskinan. Tidak berkahwin dan miskin bukanlah masalah paling utama dalam situasi anak muda tersebut. Sebaliknya Nabi sallallaahu ‘alayhi wa sallam mahu menolak anak muda itu KELUAR DARI ZON SELESA beliau agar:

  1. Usahakan mencari calon
  2. Usahakan mas kahwin walaupun sekadar sebentuk cincin besi

Kata kuncinya, BERUSAHA.

Lelaki itu kelihatannya selesa dengan keadaan dirinya yang miskin. Benar sekali dalam hidup ini, ada yang lebih susah daripada susah, iaitu BERUBAH. Sehingga ada manusia yang lebih rela untuk terus hidup susah berbanding membuat perubahan. Di dalam kes anak muda ini, NIKAH menjadi DORONGAN untuk memaksa pemuda itu membuat perubahan. Usaha cari calon. Usaha dapatkan cincin besi. Pokoknya, kamu kena bangkit berusaha.

Demikianlah perkahwinan mampu mengubah ‘nasib’ seseorang. Jika semasa bujang dia boleh membiarkan dirinya miskin melarat, bekerja bila mahu dan berhenti kerja sesuka hati, pilihan itu tidak ada bagi seorang yang bernikah dan sedar akan tanggungjawabnya. Ada mulut yang mahu disuap, justeru dia tidak sewenang-wenang membuat keputusan mudah bekerja atau menganggur, sabar dengan karenah di tempat kerja atau berhenti.

Begitulah nikah mencetus perubahan diri.

Justeru, memang wajar seorang bapa menolak pinangan anak muda yang fasih mendatangkan nas tentang tuntutan nikah, tetapi gagal menjawab satu soalan ringkas tetapi penting untuk bapa, “jika kamu bukan Nabi dan Wali yang terkecuali daripada asbab untuk mukjizat dan karamah, apa rancangan kamu untuk mengambil alih tugas aku memberi makan minum kepada anakku?”

Sekali lagi, memahami nas secara kaku menjadi sumbatan minda yang membelenggu!

Ayuh permudahkan nikah, namun jangan memudah-mudahkannya!

ABU SAIF @ www.saifulislam.com
68000 AMPANG

Saturday, June 19, 2010

Doa Taubat

AGAR BERPISAH TIDAK GELISAH

dari ummuhusna

Sukar untuk saya menggambarkan rasa hati. Kerana itu, saya sering tersenyum, berfikir dan mencari makna ketika membaca komen daripada teman-teman lewat status saya di FB; terutama pada kata-kata saya yang menggambarkan kerinduan tatkala berjauhan dari suami tercinta. Paling terbaru, semasa suami berpergian selama lima hari ke Bahrain. Di sana, beliau menghadiri satu wacana ekonomi dan perbankan Islam bersama tokoh-tokoh ulama’ semasa.

Dalam debar menunggu kepulangan suami, saya sempat menukilkan apa yang dirasa pada status FB. Sekadar luahan berbaur muhasabah untuk diri sendiri.

Berjauhan dengannya bukanlah perkara baru bagi saya, kerana seawal empat hari bergelar seorang suri, saya dan suami terpaksa berpisah buat sementara. Ketika itu, suami masih sibuk dengan amanah dan tanggungjawabnya sebagai presiden sebuah gabungan persatuan mahasiswa Islam.

Ada kalanya, sebelum berangkat pergi, beliau meninggalkan saya untuk bermalam di rumah sewa sahabat-sahabat seuniversiti. Mungkin kasihan melihat isterinya yang acap kali ditinggalkan. Sementelah, kami juga masih bergelar pelajar, sekurang-kurangnya ketiadaannya di sisi dapat saya manfaatkan untuk menelaah dan mengulangkaji pelajaran.

Namun, di kebanyakan masa, saya hanya di rumah bersendiri. Menunggu dan menanti.

CINTA JARAK JAUH
Kehidupan kami yang kerap berjauhan itu, berlanjutan sehingga kehadiran cahaya mata pertama. Berlansung pula selepas beroleh anakanda kedua, ketiga dan hingga kini, telah empat permata hati kami melihat dunia dengan izin-Nya. Andai pertama kali berjauhan dari suami, sedih dan pilu mengisi hati, tetapi kini, ia bagaikan sudah sebati.

Sungguhpun begitu, setiap kali berjauhan, perasaan rindu tidak juga memudar, malahan semakin menebal berbanding kali pertama dahulu. Mungkin benar, semakin lama hidup bersama, mengharungi susah dan senang sepanjang usia perkahwinan, membuatkan dua hati kian dekat, biarpun jarak tujuh lautan memisahkan.

Saya yakin, isteri mana yang hatinya tidak merindui suami yang jauh di mata. Lebih-lebih lagi, perpisahan yang terjadi itu bukan kerana suka-suka, tetapi lebih kepada memenuhi peranan dan tugas suami mencari nafkah keluarga. Juga, tanggungjawab kepada agama yang mulia.

Namun, saya akui perpisahan sementara antara saya dan suami yang hanya seminggu dua, pasti tidak terbanding perpisahan pasangan suami isteri yang menempuh perhubungan jarak jauh ( PJJ ). Berpisah bukan sehari dua, tetapi memakan masa berbulan-bulan, malah ada yang menjangkau bertahun lamanya. Paling kurang pun, suami dan isteri bertemu melepas rindu hanya di hujung-hujung minggu.

Persoalan berkait perhubungan jarak jauh ini pernah dihadapkan kepada saya. Ia bukan hubungan cinta bagi mereka yang belum bernikah, tetapi kepada pasangan yang telah pun melafaz akad sebagai suami isteri yang halal dan sah. Dan berpisah yang dimaksudkan bukanlah bercerai, tetapi hidup berjauhan antara suami isteri atas sebab-sebab kerjaya, menuntut ilmu dan seumpamanya.

Saya cuba memahami situasi hari ini dengan berbual dan meminta pandangan rakan-rakan yang lain. Kesimpulannya, keadaan ini bukanlah penghalang untuk suami isteri menjalinkan ikatan yang harmoni. Berjauhan atau tidak, ia bukan jaminan keutuhan sesebuah mahligai perkahwinan. Jarak sama sekali bukan penghalang bagi mencipta mawaddah, rahmah dan sakinah di dalam sesebuah rumahtangga. Asal saja kemahuan dan usaha membaja cinta dilakukan dengan saksama oleh suami dan isteri, ketiga-tiga elemen penyeri itu akan tetap subur mewangi.

YANG MANIS
Saya juga sempat membaca pandangan mengenai ini daripada Pensyarah Jabatan Psikologi dan Pembangunan Manusia, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Prof. Madya Dr. Khaidzir Ismail menerusi kolum Pesona di Kosmo! Online.

Menurut beliau, hubungan jarak jauh ini sebenarnya, jika difikir dari sudut positif adalah lebih manis.

"Ia ibarat jauh di mata, dekat di hati. Pasangan yang terlibat akan semakin rindu antara satu sama lain kerana berjauhan rentetan timbul rasa kehilangan dan kekosongan.

Rasa kehilangan itu ditebus dengan berutus surat, menghantar e-mel, menelefon. Tetapi bahayanya perhubungan ini adalah, jika terlalu lama berjauhan dikhuatiri kasih sayang mula pudar," katanya.

Memang benar, andai dilihat dari sudut positif, perpisahan yang terjadi mampu menatijahkan kebaikan. Ketiadaan pasangan dirasakan bagai satu kehilangan. Perginya diiring doa, pulangnya ditunggu penuh setia. Saat jauh di mata, rasa rindu bertandang, menjadi tali kepada dua hati untuk saling mengenang. Menambah kasih, merimbun sayang.

Inilah manisnya perpisahan sementara.

Akan tetapi, jika lalai dan cuai dalam menanganinya, ia sangat berpotensi menjadikan jarak perhubungan sedia ada kian ketara jauhnya. Semakin sepi dan dingin. Cinta tidak menggebu. Rindu bukan lagi pengikat untuk bertemu.

Sudahlah jauh dari pandangan mata, jauh juga dari jiwa!

RENUNGAN : UJIAN DAN CABARAN
Jujurnya, saya cuba melihat persoalan hubungan jarak jauh ini dari sudut yang agak berbeza.

Sebagaimana pasangan suami isteri yang berdepan perselisihan, poligami dan perceraian, mereka yang mengalami perhubungan jarak jauh ini juga sebenarnya sedang berdepan dengan ujian. Ujian dalam kehidupan. Cabaran dalam memaknakan ikatan perkahwinan.

Dan ujian ini boleh menjadi berganda cabarannya jika jalan-jalan yang dilalui dalam mengisi dan memaknakannya lebih banyak membawa kepada perselisihan sehingga menatijahkan poligami atau perceraian. Keadaan ini tidak mustahil, dan banyak yang telah melaluinya lantaran kedua-dua pihak memandang ringan terhadap usaha-usaha ‘mengikat’ kemas ikatan yang telah mereka jalinkan atas nama Allah.

Saya melihat ini sebagai sesuatu yang besar, lantaran menurut penilaian saya, sebab utama yang menjadikan perhubungan jarak jauh ini sebagai ‘trend’ hidup masa kini adalah kerana desakan kewangan demi menstabilkan ekonomi keluarga, membayar hutang pinjaman pelajaran, untuk membantu ibu bapa dan adik beradik yang masih belajar dan sebab-sebab lain lagi sehingga ramai para isteri rela atau terpaksa berpisah daripada suami tercinta kerana perlu bekerja jauh.

Tambahan pula, bila mana isteri yang bekerja jauh ini sukar mendapat kelulusan pertukaran tempat berkhidmat, atau tidak sanggup bertukar kerana sayang dengan suasana kerja yang telah lama diperolehi, atau seumpamanya.

Pelbagai sebab dan punca menjadi pemisah dua jiwa, dan keadaan inilah yang sewajarnya dijadikan renungan bersama.

BENARKAH INI TAWAKAL?
Justeru itu, perkara utama dan pertama perlu diperhatikan, ialah keyakinan dan tawakal kepada Allah SWT. Ramai manusia yang lupa untuk memantapkan aspek ini di dalam kehidupan. Sebagai hamba Allah SWT yang berusaha meraih kesejahteraan hidup di dunia, manusia sering memohon untuk mendapatkan kejayaan, penghasilan dan kemewahan.

Dan itu bukanlah satu kesalahan, bahkan Allah SWT sendiri menganjurkan hamba-hamba-Nya untuk memohon apa-apa pun kebaikan kepada-Nya, beserta janji bahawa DIA akan memenuhi permohonan mereka.

Firman Allah SWT :

وَقَالَ رَبُّكُمُ ادْعُونِي أَسْتَجِبْ لَكُمْ إِنَّ الَّذِينَ يَسْتَكْبِرُونَ عَنْ عِبَادَتِي سَيَدْخُلُونَ جَهَنَّمَ دَاخِرِينَ

Maksudnya : “Dan Tuhanmu berfirman: ""Berdoalah kepada-Ku, niscaya akan Kuperkenankan bagimu. Sesungguhnya orang-orang yang menyombongkan diri dari menyembah-Ku akan masuk neraka Jahanam dalam keadaan hina dina.” ( Surah Ghafir ayat 60 )

Malangnya, realiti yang melata, tindakan kebanyakan manusia selalu tidak selari dengan doa dan permohonan yang dipinta. Ramai lebih cenderung mencari harta yang sementara sehingga mengabaikan sesuatu yang lebih utama, antaranya memilih untuk tidak bersama ‘harta’ yang lebih bernilai iaitu keluarga, dengan hidup bersama walau serba sederhana.

Mereka lebih merasa selesa ketika beroleh penghasilan yang besar, baik melalui kerjaya atau tugasan lainnya, bukan karena merasa memiliki Allah yang Maha Pemberi Rezeki, sebaliknya lebih cenderung untuk yakin dan ‘berserah diri’ kepada pihak atasan yang dirasakan memberi imbuhan dan gaji. Malahan, ada yang menganggap merekalah yang menentukan nasib, merasakan mereka yang menentukan kenaikan pangkat, pendapatan, juga beranggapan merekalah yang memberikan sebarang posisi yang diinginkan.

Kehidupan bersama keluarga dikesampingkan dengan anggapan ia tidak memberi nilaian pangkat, wang dan harta yang menjanjikan kesenangan. Inilah gerak ‘rasa’ yang tersasar dan amat menguji.

Oleh itu, pasangan yang sanggup menempuh hidup berjauhan, terutama kepada para isteri yang bekerja jauh dari suami, semata-mata dengan tujuan mendapatkan wang yang lebih, perlu kembali menilai tahap tawakal mereka kepada-Nya. Jika merasakan hanya dengan kewangan yang utuh lebih menjamin masa depan yang lebih senang dan cemerlang, maka di sinilah bermula ‘salah’ penafsiran terhadap sifat tawakal dan redha yang sebenarnya kepada Tuhan.

TAWAKAL YANG BENAR
Sewajarnya, niat bersulam tawakal yang benar ketika hidup berjauhan ini sentiasa disematkan iaitu dengan berusaha sebaiknya sebagaimana yang diperintahkan oleh Allah. Menjaga halal haram dan menjauhi yang syubhah agar sebarang imbuhan yang diperolehi disinari barakah dari Allah, seterusnya dapat melangsaikan apa-apa tujuan yang menjadi penyebab mereka suami isteri hidup berpisah.

Jiwa seorang hamba Allah yang melafazkan tawakal yang benar, ialah yang mengetahui dan menyedari bahawa setinggi manapun pangkat, kedudukan atau jawatan dan sebanyak manapun imbuhan, gaji dan pendapatan, ia bukanlah satu persoalan yang besar dan mengusutkan fikiran, selama dia menyedari dan menginsafi bahawa dia masih memiliki kedudukan di sisi Allah ar Rahman. Pergantungannya yang sebenar hanya kepada DIA Yang Maha Pemberi Kurniaan.

Firman Allah SWT :

وَمَن يَتَّقِ اللَّهَ يَجْعَل لَّهُ مَخْرَجًاوَيَرْزُقْهُ مِنْ حَيْثُ لَا يَحْتَسِبُ وَمَن يَتَوَكَّلْ عَلَى اللَّهِ فَهُوَ حَسْبُهُ إِنَّ اللَّهَ بَالِغُ أَمْرِهِ قَدْ جَعَلَ اللَّهُ لِكُلِّ شَيْءٍ قَدْرًا

Maksudnya : “Barang siapa yang bertakwa kepada Allah niscaya Dia akan mengadakan baginya jalan keluar. Dan memberinya rezeki dari arah yang tiada disangka-sangkanya. Dan barang siapa yang bertawakal kepada Allah nescaya Allah akan mencukupkan (keperluan) nya. Sesungguhnya Allah melaksanakan urusan (yang dikehendaki) Nya. Sesungguhnya Allah telah mengadakan ketentuan bagi tiap-tiap sesuatu. “ ( Surah at Thalaq ayat 2 – 3 )

Justeru itu, pasangan yang mengerti dan memiliki kefahaman sebegini, mereka akan segera mencari jalan untuk kembali bernaung di bawah bumbung yang sama, setelah sebab-sebab yang menjarakkan hubungan mereka suami isteri berjaya diharungi atau dilunasi.

Mereka menginsafi, bahawa sunnatullah di dalam perkahwinan adalah suami melindungi isteri, manakala syari’at juga menekankan, tempat seorang isteri adalah untuk berada di sisi suami. Dua keadaan ini amat sukar dijayakan andai suami dan isteri tidak duduk sekali.

KISAH SAYYIDINA UMAR
Saya teringat kepada suatu kisah di zaman Sayyidina Umar Al khattab.


Suatu ketika Umar, sebagai seorang Khalifah yang amanah dan bertanggungjawab, melakukan rutin rondaan malam. Ketika beliau melewati sebuah rumah, tiba-tiba terdengar dari dalamnya, suara seorang perempuan sedang bermadah. Nadanya merintih, membayangkan jiwanya yang sedih dan pedih:


“Sungguh malam ini sangat panjang, sekelilingnya penuh kelam. Situasi ini menjadikan aku tidak baik, kerana tidak ada kekasih yang bisa kuajak bermain. Demi Allah, seandainya aku tidak takut azab dan akibat, sungguh ranjang ini akan bergoncang hebat.”


Mendengar itu, Umar berusaha untuk menyelidiki kisah si perempuan dengan rintihannya yang lirih. Akhirnya diketahui, bahawa suaminya telah meninggalkan rumah sekian lama sebagai mujahid di medan jihad.


Umar kemudian menanyakan puterinya Hafsah, berapa lama seorang isteri mampu bersabar diri dari suami ? Jawab Hafsah: empat bulan. Waktu itulah Umar melaksanakan satu ketetapan dan peraturan, bahawa seorang suami tidak boleh meninggalkan isterinya lebih dari empat bulan.


Perlu diingat, objektif yang digariskan oleh syari’at melalui perkahwinan tidak mampu disempurnakan sebaiknya tanpa suami isteri hidup bersama. Bukan sekadar memenuhi tuntutan batin semata-semata, tetapi juga untuk mengisi naluri kemanusiaan yang selalu ingin dikasihi, diambil berat, dibelai dan dirawat.


ACUAN PERCAYA
Selanjutnya, perkara kedua yang tidak kurang pentingnya dalam perhubungan jarak jauh ini ialah kejujuran diri dan kepercayaan terhadap pasangan. Tanpa jujur dan percaya, ramai pasangan akan kecundang mempertahankan keindahan perkahwinan. Ia umpama baja yang menyuburkan cinta. Semekar mana pun cinta, ia akan layu tanpa dibajai kejujuran dan percaya.

Richard Templar ada menyentuh hal ini di dalam bukunya, The Rules Of Love. Templar menegaskan :

“Trust is an absolute essential between partners. It doesn’t matter whether you’re talking about being faithful, sticking to promises, keeping spending within what you can afford, or anything else. If you can’t trust your partner, you’ll never be happy.”

Walaubagaimanapun, di dalam Islam, kepercayaan setiap pasangan harus berteraskan acuan agama. Tanpa acuan agama, sebarang usaha kepercayaan yang dilaksanakan tidak mampu membuahkan 100% rasa percaya yang benar-benar diyakini. Tanpa sedikit pun sangsi, tiada lansung gerak naluri bahawa pasangan mahu menyelidiki atau mengintipi.

Justeru itu, seorang isteri yang jauh dari suami harus menghadirkan kepercayaan kepada suami dengan sentiasa menjaga maruah diri, berpakaian sopan, sempurna menutup aurat, tidak keluar tanpa tujuan dan hala serta selalu memastikan pergaulan dengan rakan sekerja lelaki hanya sebatas yang perlu sahaja. Bercakap, berurusan dan lain-lain kerana tugas dan tidak lebih dari itu. Sebarang tindakan yang boleh mengundang fitnah, sedaya mungkin disesah. Bimbang, andai ada mata dan mulut yang hasad menyampaikan sesuatu yang tidak benar sehingga mencetuskan perselisihan, sekaligus memudarkan kepercayaan.

Sementara kepada para suami pula, perkara-perkara berkaitan isteri hendaklah sentiasa ada ‘up-date’ terkini. Tidak lengah dan tangguh untuk menasihati gaya dan keterlanjuran isteri dalam berpakaian, penampilan dan pergaulan di samping mereka juga mesti menjaga batas hubungan dengan wanita lain terutama rakan sekerja.

BUKTIKAN UPAYA CINTA
Jika kejujuran dan kepercayaan terhadap pasangan hadir sepenuhnya, barulah kestabilan emosi sentiasa berada di tahap yang tinggi, walau yang disayangi tiada di sisi.

Setelah itu, barulah mempertingkatkan upaya dan ikhtiar berbentuk teknikal demi memastikan rasa cinta dan kasih terhadap suami atau isteri sentiasa mekar dan merimbun di dalam hati.

Ini termasuklah sering berhubung dan mengemaskini ‘laporan’ kehidupan masing-masing, sama ada melalui perbualan di telefon, sms, emel atau lain-lain medium perhubungan yang canggih dan terkini.

Selain itu, buktikan juga upaya cinta kepada pasangan dengan mempertingkatkan kemahiran-kemahiran yang diperlukan dalam menjayakan sesuatu perkahwinan. Contohnya, di pihak isteri memperbaiki kemahiran memasak dan menghias diri buat tatapan suami yang dikasihi, manakala di pihak suami pula melengkapkan ilmu dan maklumat untuk mendidik diri dan keluarga, juga usaha daripada kedua-duanya dengan kemahiran keibubapaan bagi melengkapkan pengetahuan sedia ada untuk menjadi ibu bapa yang berjaya.

AGAR BERPISAH TIDAK GELISAH
Akhirnya, saya meyakini, setiap pasangan yang berkahwin sentiasa ingin didampingi suami atau suri hatinya. Selalu mengimpikan mahligai indah yang dibina, dihiasi gelak tawa yang ceria. Menatap wajah insan yang dicintai, memegang jari-jemarinya yang halus berbudi.


Dekat di mata, lebih dekat di hati.

Justeru itu, perbincang dan perancangan sebaiknya perlu ada agar perhubungan jarak jauh ini tidak melewati suatu tempoh yang lama. Gusar, jemu dan bosan akan hadir tanpa dipinta, selain ia juga tidak menepati kehendak sebenar agama.

Namun, dalam saat melewati hidup berjauhan, renung dan berusahalah untuk 3 perkara yang utama:

1) Tawakal yang benar
2) Acuan percaya
3) Buktikan upaya cinta

Agar berpisah tidak gelisah, kerana perpisahan tidak sesekali menghadirkan resah, perpisahan adalah penantian, menanti saat kembali bergandingan.

Saya kembali meneliti dan menghayati status saya di FB :

“Penantian satu ujian, penantian satu renungan, penantian satu kesyukuran, penantian bukti kecintaan.”

Mencari dan terus mencari cinta Ilahi.

Jumpa lagi, InsyaAllah.