“Cinta itu kan fitrah. Tak salah bercinta,” Kata si fulan 1.
“Islam tak larang lelaki dan wanita berhubung,” Si fulan 2 pula menyampuk.
Ya. Memang betul bahawa lelaki dan perempuan boleh berhubung. Dan patut saling mengenali jika ada hasrat untuk bernikah.
Malah Nabi Muhammad turut menyuruh kita supaya melihat terlebih dahulu bakal pasangan kita itu. Ada satu kes pada zaman Nabi Muhammad yang berlaku antara Habibah binti Sahl dengan Tsabit bin Qais.
Habibah tidak pernah melihat bakal suaminya sebelum berkahwin sampailah tiba malam pertama. Habibah sangat terkejut bila bertemu suaminya sehingga dia pergi berjumpa Nabi Muhammad.
“Wahai Rasulullah, kepala saya tidak dapat bertemu dengan kepala Tsabit buat selama-lamanya. Saya menyingkap ruang kamar, dan melihatnya bersiap-siap. Ternyata dia sangat hitam kulitnya, pendek tubuhnya, dan sangat buruk wajahnya....”
:: HR Al Bukhari dan An Nasa’i ::
Tetapi semua di atas ini bukanlah alasan untuk kita melanggar semua peraturan yang telah digariskan dalam perhubungan antara lelaki dan perempuan. Mahu berkenalan itu adalah perlu, tetapi perlu mematuhi batas pergaulan.
Degup-degup Ta’aruf
“Saya bersembunyi di bawah pohon untuk melihatnya,” Kata Jabir bin Abdullah.
Ungkapan Jabir bin Abdullah ini membawakan perasaan tegang, lucu dan menunjukkan degup di dada kian terasa untuk berkenalan. Memang Nabi Muhammad menyuruh para sahabat untuk mengenali terlebih dahulu pasangan yang ingin dinikahi.
Tetapi para sahabat tidaklah mengambil peluang tersebut – mengenali dengan cara berdua-duaan, berbual-bual berjam-jam, bergelak tawa dan sebagainya. Kerana mereka sedar ada batasan dalam hubungan antara lelaki dan perempuan. Dan mereka faham jika itu yang agama pinta, mesti ada sebabnya.
Apa yang perlu diwaspadai adalah ketika degup-degup itu dihasut oleh syaitan. Lalu menjadi serong. Tersimpang jauh dan menyesatkan. Sampaikan perkara yang salah kita katakan betul. Inilah yang ingin dibincangkan dalam entri kali ini.
Simpan Itu, Untuk Yang Halal Bagimu
“Telah tertulis atas anak Adam akan nasibnya dari sudut zina akan bertemu dalam hidupnya, tidak bisa tidak. Maka kedua mata, zinanya adalah memandang. Kedua telinga zinanya adalah mendengar. Lisan, zinanya adalah berkata. Tangan zinanya adalah menyentuh. Kaki, zinanya adalah berjalan. Dan zinanya hati adalah ingin dan angan-angan. Maka akan dibenarkan hal ini oleh kemaluan, atau didustakannya.”
:: HR Muslim, dari Abu Hurairah ::
Hadis ini meminta kita berhati-hati terhadap setiap yang kita lakukan. Setiap daripada anggota badan kita ada masanya yang memacu kita ke arah zina. Kadang kita sendiri tidak sedar. Tetapi bila ada yang memberi teguran mengingatkan, maka terimalah.
Jangan pula kita cuba mengatakan perkara yang kita buat itu betul.
Bagi yang sudah berpasangan, katakan kepada pasangan anda, “Kalau yang kamu ingin beri itu adalah pesona tatkala saya masih belum layak menerimanya, maka saya harap itu bukan untuk saya. Ya, indera yang boleh memacu kita ke arah zina itu, saya harap bukan untuk saya selagi saya belum berkahwin dengan kamu.”
Setiap indera kita iaitu mata, telinga, lisan dan sentuhan boleh memacu kita ke arah zina. Ini yang perlu kita jaga sebaik mungkin selagi belum berkahwin.
Bantu Aku Menjaga Pandanganku
Pernah saya lihat dompet seorang kawan saya ada gambar seorang perempuan. Nampak macam tidak salah. Ah! Apa salahnya sekadar melihat gambar, bukannya bertemu melihat depan-depan.
Ya, tidak salah kalau kita ingin melihat terlebih dahulu wajah dan bentuk fizikal bakal pasangan kita itu. Tetapi kalau sampai disimpan dalam dompet, laptop dan ditampal di loker untuk ditatap hari-hari itu, mungkin akan mendatangkan masalah.
Itu bukan lagi niat untuk berkenalan tetapi sudah menjadi penyakit kepada hati. Kalau lama-lama sampai bertahun-tahun mungkin menimbulkan rasa jemu. Ah, sedangkan kalau seseorang itu pakai baju yang sama berhari-hari pun, sudah tentu kita jemu memandangnya.
“Oit, kau dah takde baju lain nak pakai ke?”
Ini baru soal melihat gambar berhari-hari, belum lagi bagi yang berjumpa mahu berhari-hari jugalah. Bak kata orang yang bercinta ini, sehari tidak jumpa bagaikan hati sudah mahu dirobek keluar. Makan pun tak lalu.
Ha. Kalau makan tak lalu, berpuasalah. Hehe. Lagi saya suka kalau saya yang makan tak lalu. Boleh kuruskan badan.
Mahu dikatakan sepandai-pandai kita pun, lagi pandai si syaitan tersebut. Orang kata lebih lama hidup maka lebih banyak pengalaman. Cuba kira sudah berapa lama kita hidup dan sudah berapa lama syaitan ini wujud di muka bumi.
Betapa pandainya syaitan ini sampai bila kita melihat si dia, mata kita terasa terpikat sampai badan tiba-tiba jadi cergas. Biasalah kalau sudah tergoda, ibaratnya macam disuntik dadah. Kemahuan meluap-luap. Kemudian timbul pula penyakit hati.
Jihad besar umat Islam: Melawan nafsu
Bantu Aku Menahan Kebisingan Syahwat
Wahai perempuan, tahukah anda bahawa imaginasi kaum lelaki ini begitu tinggi? Sampaikan kami ini boleh mengimpikan dan membayangkan dengan detail apa-apa sahaja dengan hanya mendengar suara.
Jika suara anda itu lembut, ia akan membuat dentingan frekuensi yang sangat halus sampai menyengat-nyengat jiwa. Kadang-kadang berbisik-bisik sampai menimbulkan rasa ghairah yang tinggi.
Saya bukannya menyuruh anda berteriak-teriak apabila bercakap dengan kaum lelaki. Memang sudah fitrah suara perempuan itu lembut. Jadi, janganlah dilembutkan lagi. Sampai merengek-rengek bercakap dalam telefon.
Ah! Anda jangan ingat kalau cakap dalam telefon, kami tidak boleh membayangkan sesuatu. Bukankah saya sudah katakan tadi imaginasi kami ini sangat tinggi sampai anda tidak dapat membayangkannya. Hehe. Kalau tidak mana mungkin terlalu banyak iklan klub-klub telefon dalam majalah Mastika.
Apa yang perlu dibuat apabila ingin bertemu dengan lelaki, tegaskan suara. Biar frekuensi itu tidak dapat menjentik sedikit pun hati-hati kami.
Dan kepada kaum lelaki, tahanlah nafsu itu. Nanti niat asal yang hendak berkenalan itu jadi lain pula. Terpikat dengan suara, bukannya terpikat dengan agama.
Bantu Aku Bernafas
Jangan pula dilupakan hidung. Ini pun satu lagi deria yang sangat sensitif.
“Wanita mana yang memakai haruman kemudian keluar dan berharap agar orang ramai dapat menghidu bau haruman tersebut, maka dia adalah penzina.”
:: HR Abu Dawud dan At Tirmizi ::
Sekali lagi ingin saya ingatkan, imaginasi lelaki ini sangat tinggi. Sekali dia membau haruman daripada badan, berkemungkinan dia membayangkan sesuatu yang tidak patut.
Kulitku Sangat Peka
Seorang naqib saya sewaktu di sekolah tersebut pernah mengibaratkan akan persentuhan kulit antara lelaki dan wanita bukan mahram itu seperti persentuhan kulit kita dengan kulit babi.
Jangan salahkannya, kalau tersentuh kulit babi masih boleh disucikan. Tetapi dengar pula hadis yang ini:
“Sungguh, jika kepala salah seorang daripada anda dicucuh dengan jarum besi yang menyala, itu masih lebih baik daripada anda menyentuh perempuan yang tiada halal bagimu.”
:: HR At Thabrani dan Al Bahaiqi ::
Masih lagi saya ingin ingatkan, kita ini kaum lelaki sangat kuat berimaginasi. Kalau dengan mendengar dan bau sahaja pun sudah menerbitkan khayalan-khayalan yang tidak patut, apatah lagi kalau dapat menyentuh si dia.
Ah! Anda mahu berkenalan atau mahu apa ini?
Kawal Kata-kata
Orang kata bila mahu berkenalan perlulah memaniskan kata-kata. Ya, betul. Tetapi memaniskan kata-kata bukan bermaksud sengaja membunga-bungakan kata-kata.
Cukuplah mengeluarkan ayat-ayat yang sopan. Jangan sampai keterlaluan sampai bahasa berbunga-bunga. Kalau mahu menulis sajak, bolehlah.
“Saudari, minggu depan rasanya kita perlu buat meeting untuk program ini.”
“Saudari, rasanya sudah tidak tertahan hati ini untuk berjumpa. Moga silaturrahim yang dibina akan memantapkan gerakan program ini.”
Bezakan dua ayat di atas. Kalau rasa pernah dengan sengaja mengeluarkan kata-kata dengan harapan dapat menyentuh hati si dia, maka cubalah berhenti sekarang. Bukankah anda kata sekadar mahu berkenalan. Apabila sudah berkahwin nanti, buatlah ayat yang macam mana sekalipun.
Jaga Jarak
“Janganlah seorang lelaki berdua-duaan dengan seorang perempuan yang bukan mahramnya. Dan janganlah seorang wanita keluar dengan seorang lelaki kecuali ditemani mahramnya.”
:: HR Al Bukhari dan Muslim ::
Kalau tidak bertemu atau berjumpa, orang kata tidak sah sebagai syarat untuk berkenalan. Tetapi ada syaratnya juga.
Kalau mahu berkenalan dengan si dia, jadilah lelaki yang berani terus berjumpa dengan ibu dan bapanya. Bukannya sekadar berjumpa di taman, di cafe atau di library.
Dan kalau ada hal yang betul-betul penting, seperti meeting atau mahu buat kumpulan belajar bersama, pastikan perkara itu betul-betul perlu. Atau betul-betul terdesak. Jangan jadikan alasan dengan mengatakan sekadar mahu belajar. Eh, rakan sekuliah yang sama jantina bukankah ramai?
Berkenalan Sebelum Berkahwin
Saya cuba meringkaskan apa yang saya tulis di atas. Menurut Syeikh Muhammad al-Munajjid, beliau menggariskan beberapa perkara dalam pergaulan lelaki dan perempuan:
1. Elakkan dari berkata-kata perkara yang di luar topik.
2. Tidak membuat lawak atau melembutkan suara.
3. Tidak bertanya mengenai perkara peribadi (personal).
4. Berhenti bercakap jika berlaku keinginan didalam hati.
Dan adat Melayu janganlah diabaikan. Bukankah adat Melayu itu juga banyak terselit unsur Islam. Ingat lagi adat merisik?
Orang waktu dulu bila menyukai seseorang, dia akan meminta orang lain merisikkan untuknya. Bukannya dia yang dengan muka tidak tahu malu merisik sendiri.
Janganlah kata adat merisik kita ini kolot. Tidak kena dengan peredaran zaman. Dan kemudian mengguna pakai adat Barat yang kononnya dikatakan moden. Tetapi adat mereka itulah yang merosakkan institusi kekeluargaan di sana.
Masihkah anda mahu kata adat kita ini kolot?
5 comments:
perkongsian untuk yang betul2 mahu berusaha menjaga hubungan walaupun ia teramat susah di zaman kini.. rabbuna yusahhilna..
puan ika... :)) thanks sebab perkenalkan lagu maher zain yang sedap ni
imaginasi lelaki itu sangat tinggi! haha, can't deny that. syukran atas peringatan, semoga Allah memberkati dan memudahkan urusan akhi eisa dan ukhti atikah.
Article yang membina.semoga kita semua mengambil manfaat dari article ini..tetapi bagaimana kalau mereka yang tahu bercakap ini halal haram,buat link dan sebagianya tetapi ym/fb juga dengan ramai perempuan? dan keluar menemaani perempuan berduaan tanpa ditemani orang lain? bersamalah kita renung dan muhasabah diri sendiri
zainal:jzkk
quirky:menusia diciptakan punyai iman yang tak seperti para nabi dan rasul sentiasa meningkat.. xseperti para malaikat yg statik.. tp dikurniakan nafsu yg menyebabkan iman sntiasa turun dan naik..sebagai penilai..adakah syurga mahupun neraka?? semoga Allah memberkati usaha seseorg yg sentiasa cuba berubah.. mungkin semasa dia berbuat silap imannya tengah rendah.. ?? =)) disitulah peranan sahabat menegur.. dan disaat dia cuba berubah.. sokonglah beliau.. wallahualam.. tiada manusia sempurna dan maksum sebagaimana nabi junjungan Muhammad s.a.w =))
dari hamba Allah yang hina..
Post a Comment